MY BELOVED FOLLOWER (^__^)

Monday, November 17

PERMAINAN ACI-ACI BUKA PINTU


PENGENALAN
Aci-aci buka pintu juga dikenali sebagai tung-tung buka pintu. Aci-aci buka pintu adalah unik kerana mempunyai dialog untuk memulakan permainan. Disebabkan keunikan itulah ramai kanak-kanak tidak kira jantina memainkannya untuk mengisi masa lapang. Oleh sebab ini,  aci-aci buka pintu merupakan suatu permainan yang mudah, bermakna dan permainan ini boleh dimainkan di mana-mana sahaja.Permainan ini amat popular antara tahun 1970-an sehingga 1980-an.

JENIS-JENIS PERMAINAN ACI-ACI BUKA PINTU
Seperti permainan yang lain, aci-aci buka pintu tidak mempunyai pelbagai jenis. Semua jenis dialog dan pergerakan pemain adalah sama ketika memainkannya. Namun yang membezakannya ialah bentuk bulatan yang akan dilakarkan oleh para pemain. Lakaran bulatan atau bentuk lakaran pada tanah adalah berbeza mengikut persetujuan dan jumlah pemain. Semakin ramai pemain, semakin besar pula lakaran bulatan yang dibuat. Bahkan pemain juga bebas menghasilkan pelbagai bentuk lakaran untuk menyeronokkan lagi permainan tersebut.

CORAK DAN UKIRAN
Bagi memainkan permainan aci-aci buka pintu, satu lakaran akan dibuat. Sekiranya permainan itu dimainkan di tanah lapang, lakaran di tanah boleh dibuat dengan menggunakan kayu atau kaki sahaja tetapi jika di lantai yang bersimen, kapur tulis terpaksa digunakan. Saiz lakaran dan bentuk bergantung kepada pemain. Namun harus diingatkan setiap bulatan tidak harus besar supaya pemain yang menjadi “hantu” mudah mencolek atau menampan anggota badan pemain yang yang lain. Kemudian setiap bulatan yang disediakan harus dilakarkan sebuah anak tangga. Ini adalah sebagai pembuka “cerita” dalam permainan aci-aci buka pintu itu. Dari situlah pemain “hantu” akan memulakan permainan.

BAHAN PENGHASILAN
Oleh sebab permainan aci-aci buka pintu tidak memerlukan peralatan tetapi perlu menggunakan kapur tulis untuk melakar bulatan pada lantai. Harus diingatkan bahawa lakaran tersebut tidak boleh padam sepanjang permainan. Sekiranya lakaran hilang kerana terpijak semasa bermain, adalah sukar untuk para pemain dan pemain “hantu” mengejar antara satu sama lain. Oleh itu, jika lakaran telah terpadam, garisan baru akan dibuat semula.

CARA BERMAIN
Bagi memainkan permainan aci-aci buka pintu ini amatlah mudah. Permainan ini memerlukan sekurang-kurangnya tiga orang pemain. Adalah lebih menarik sekiranya jumlah pemain adalah ramai. Sebelum memulakan permainan, sebuah lakaran atau bulatan dibuat pada permukaan tanah. Lazimnya, kanak-kanak menggesekkan kaki mereka pada tanah untuk membentuk garisan. Setiap bulatan yang dibuat harus mengikut jumlah pemain. Bulatan harus sederhana untuk memudahkan pemain “hantu” kelak mencolek pemain yang berada di dalamnya.

Ada kanak-kanak yang melakarkan pelbagai bentuk sama ada segi empat, lonjong, berbentuk kepala beruang atau sebagainya. Semuanya bergantung kepada pemain. Setelah itu, undian akan dilakukan. Undian ini penting untuk memastikan pemain yang bakal menjadi “hantu”. Selepas itu, pemain “hantu” dikehendaki berdiri di kotak yang berbentuk tangga. Ketika itulah para pemain itu akan berdialog. Antara dialog yang sering diperkatakan ialah seperti berikut :

DIALOG PEMAIN “HANTU”
DIALOG RAMAI
“Tung, tung !”
“Siapa itu?”
“Saya !?”
“Nak pa?”
“Kunci emas !?”
“Tak ada !”
“Periuk Emas!”
“Ada !”
“Di mana?”
“Atas langit !”
“Macam mana nak ambil?”
“Pakai tangga !”
Kalau jatuh !”
“Sakitlah engkau !”
Sebaik sahaja menghabiskan dialog itu, pemain “hantu” akan mengelilingi lakaran atau garisan yang berbentuk bulatan atau sebagainya. Sepanjang larian itu, pemain “hantu”  akan mendepangkan tangan dengan matanya tertutup dan berusaha untuk mencolek pemain yang berada di dalam bulatan.

Pemain “hantu” bebas sama ada berlari secara perlahan, berjalan atau mengacah pemain lain dalam usahanya mencolek pemain tersebut. Begitu juga pemain yang berada dalam bulatan akan berusaha untuk mengacah pemain “hantu” demi untuk menjaga keselamatan pemain lain.

Oleh itu, setiap pemain yang berada di dalam bulatan ibarat satu keluarga. Muafakat penting supaya pemain “hantu” tidak dapat mencolek mereka. Sekiranya terdapat pemain yang berada di dalam bulatan alpa atau dihampiri pemain “hantu”, pemain lain boleh menjerit atau menarik tangan pemain itu. Ini penting supaya terselamat daripada menjadi mangsa pemain “hantu”.

Sekiranya pemain “hantu” telah berjaya mencolek pemain yang berada di dalam bulatan, pemain itu akan disingkirkan dan permainan diteruskan dengan bilangan pemain yang tertinggal untuk menjaga periuk emas tersebut.

Permainan ini juga boleh dimainkan serentak untuk kedua-dua kumpulan. Seandainya kedua-dua kumpulan mempunyai lima orang pemain, maka  tiga orang daripada setiap kumpulan akan menjadi pemain dan dua lagi daripada kumpulan akan menjadi hantu. Contohnya, tiga orang pemain daripada kumpulan A  akan dikejar oleh dua orang pemain daripada kumpulan B (pemain hantu), keadaan sedemikian akan dialami oleh kedua-dua kumpulan secara serentak. Pemain yang menang akan mendapat markah yang lebih rendah banding dengan kumpulan pemain “hantu” iaitu 3 markah, jika pemain “hantu” yang menang, maka kumpulan pemain “hantu” akan mendapat sebanyak 5 markah.

 Seandainya mana-mana kumpulan yang menang dalam kedua-dua permainan tersebut, maka kedua-dua markah yang diperoleh  akan dicampur. Kumpulan yang mendapat markah yang tinggi adalah pemenang dalam permainan tersebut.
Seterusnya, bagi membolehkan permainan tersebut lagi mencabar, penetapan masa boleh dilakukan. Masa yang dicadangkan adalah dalam lima minit. Contohnya, jika dalam lima minit, pemain ‘hantu’ dapat menyingkirkan semua pemain, maka kumpulan pemain ‘hantu’ dikira menang, dan sebaliknya.

PARA PEMAIN
Aci-aci buka pintu merupakan satu permainan yang boleh dimainkan sama ada kanak-kanak lelaki atau perempuan. Ini disebabkan permainan ini berbentuk bebas. Cuma setiap pemain harus mempunyai ketahanan kerana pemain akan terus berlari daripada menjadi mangsa “hantu”
Jumlah pemain adalah tidak terhad. Tiga orang pemain sudah boleh memainkan permainan aci-aci buka pintu ini. Namun begitu jumlah pemain yang ramai amat menyeronokkan. Bahkan keriangan akan terpancar apabila pemain “hantu” akan lengit atau terus mengejar pemain yang berada di dalam bulatan.

PERATURAN PERMAINAN
*      Permainan ini hanya boleh dimainkan sekurang-kurangnya tiga orang pemain.
*      Pemain yang jadi “hantu” akan diundi secara adil dan saksama.
*      Pemain yang ingin mengacah pemain “hantu” tidak dibenarkan menyentuh anggota badan pemain “hantu”. Sekiranya tersentuh secara sengaja, pemain akan disingkirkan.
*      Pemain “hantu” akan ditutupkan matanya dengan sehelai kain. 
*      Bulatan yang dilakarkan harus bersesuaian dengan jumlah pemain. Amat dilarang melakar bulatan yang besar bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa pemain “hantu”
*      Dialog terlebih dahulu dibacakan sebelum memulakan permainan.
*      Sekiranya garisan/ lakaran telah hilang, masa yang sedikit akan diluangkan untuk melakar semula lakaran tersebut.
*      Pemain terakhir yang dapat bertahan dalam bulatan selama 5 saat dengan memegang harta yang dijaganya sebelum ditangkap oleh hantu, maka kumpulannya akan menang.

ALATAN
Kapur, bola getah berloceng, kain penutup mata, kapur, skitel, jam rintik dan wisel,.

FUNGSI PERMAINAN
*      Menguji kecekapan pemain berlari, mengacah dan mencolek pemain lain.
*      Melatih pemain mempunyai kesabaran yang tinggi.

PENUTUP
Walaupun permainan ini amat popular pada 1970-an sehingga 1980-an, tetapi seperti permainan tradisional yang lain, permainan tersebut juga turut mengalami perubahan dan terus dipinggirkan sehingga ramai kanak-kanak yang tidak mengetahui cara permainan ini lagi pada masa kini. Oleh sebab itu, semua pihak harus melakukan sesuatu bagi memastikan permainan aci-aci buka pintu diminati semula. Jika tidak, permainan ini akan hilang sebegitu sahaja. 

BIBLIOGRAFI

JASIMAN AHMAD (2004) PERMAINAN TRADISIONAL, PERMAINAN DAERAH, GOODMARK ENTERPRISE, KUALA LUMPUR.