MY BELOVED FOLLOWER (^__^)

Wednesday, October 16

KEPENTINGAN PERPADUAN DAN INTEGRASI DALAM KONTEKS HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA


 Kepentingan perpaduan ini boleh dikaitkan kepada 3 elemen utama dalam memastikan pembangunan dan perpaduan di Negara kita terus dikekalkan dan dipelihara. 3 elemen dalam perpaduan dan integrasi itu ialah dari segi ekonomi, budaya dan keselamatan. Dari segi ekonomi, perpaduan dan integrasi dalam pelbagai etnik di Malaysia sangat penting dalam memberi peluang kepada setiap golongan etnik untuk menceburi bidang ekonomi tanpa sebarang halangan. Setiap golongan etnik di Negara ini layak untuk menjalankan sebarang aktiviti berteraskan ekonomi tanpa halangan daripada sesiapa pun kerana mereka semua adalah rakyat Negara ini. Keadaan ekonomi yang stabil juga hanya boleh diperolehi dengan adanya perpaduan antara kaum ini kerana tiada sebarang pergaduhan dan perpecahan antara kaum yang boleh menggugat ekonomi Negara. Seterusnya, menghapuskan penguasaan satu ekonomi untuk satu kaum sahaja. Semua kaum layak untuk menguasai ekonomi dengan usaha masing-masing dan berjaya dengan kerjayanya. Seperti pada zaman sebelum era kemerdekaan, kaum yang menguasai ekonomi adalah merupakan kaum Cina yang kebanyakannya menetap di kawasan bandar-bandar besar. Kaum Cina ini telah dilatih untuk memegang ekonomi dan sehingga sekarang buktinya jelas kelihatan bahawa ekonomi Negara kita masih dipegang oleh kaum Cina. Oleh itu, pendekatan kerajaan sekarang untuk memastikan kaum lain juga boleh memegang ekonomi dengan meningkatkan penguasaan orang kaum Melayu dalam bidang ekonomi supaya orang Melayu tidak terus membiarkan orang-orang Cina menguasai ekonomi Negara kita. Akhir sekali, dengan adanya perpaduan ini, ia dapat  menjana ekonomi negara dengan pelaburan dari pelbagai bidang. Ini kerana, perpaduan dapat memberi manfaat kepada Negara dalam perkembangan ekonomi Negara. Tanpa adanya perpaduan yang kita kecapi ini kemungkinan besar Negara kita tidak akan membangun dengan pesat seperti ini.
            Selain kepentingan dari aspek ekonomi, aspek budaya juga memainkan peranan yang sangat penting. Aspek budaya ini mempunyai kepentingannya yang tersendiri dan harus dipelihara dalam hubungan etnik supaya dapat menjamin kesejahteraan hidup bersama dalam masyarakat majmuk. Antara kepentingan perpaduan dalam aspek budaya ialah mewujudkan budaya yang pelbagai dalam Negara. Seperti yang kita ketahui, Negara Malaysia terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum dan masyarakat di Negara ini mempunyai pelbagai budaya, adat dan agama. Dengan adanya perpaduan dari aspek budaya ini, ia akan dapat mengeratkan lagi hungan sesama etnik di Negara kita. Selain itu, dengan adanya perpaduan yang sangat mantap ini, ia akan dapat merapatkan lagi jurang perbezaan antara kaum dan seterusnya melahirkan masyarakan berbilang etnik yang hidup bersama dengan aman dan harmoni. Di samping itu, perpaduan ini juga akan dapat menghapuskan sikap pentingkan kaum sendiri. Semangat pentingkan kaum sendiri ini ialah seperti mengagung-agungkan budaya kaum masing-masing dan tidak mahu bekerjasama dalam apa juga aktiviti. Sebagai contoh, etnik kaum Melayu tidak dapat menerima kehadiran etnik kaum lain dengan memulaukan etnik kaum lain ini tanpa memberi bantuan sekiranya mereka dalam kesusahan. Perbuatan ini sama sekali tidak relevan lagi pada masa kini kerana masyarakat Malaysia sudah hidup aman dan harmoni dalam etnik yang berbilang kaum tanpa ada perbezaan budaya kerana semua etnik ini merupakan rakyat Malaysia. Akhir sekali, kepentingan perpaduan dari segi budaya ini adalah untuk mewujudkan kefahaman tentang budaya yang berbeza dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang etnik. Setiap masyarakat di Malaysia haruslah mempelajari budaya dan adat etnik yang terdapat di Malaysia supaya benar-benar memahami budaya masyarakat Negara ini. Dengan itu, kita semua akan dapat menjaga keharmonian perpaduan antara kaum di Negara kita dan dapat mengelakkan daripada berlakunya peristiwa yang tidak diingini.
            Di samping itu, perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik di Negara kita haruslah dikekalkan untuk menjamin keselamatan Negara kita pada masa sekarang dan akan datang. Ini adalah untuk mengelakkan berulangnya perkara yang tidak diingini seperti rusuhan kaum pada 13 mei 1969 yang telah berlaku di Negara kita. Kesan daripada rusuhan ini kita dapat lihat betapa ramai masyarakat Negara kita yang mati dalam peristiwa berdarah ini. Oleh itu, pentingnya perpaduan dalam kalangan etnik di Negara kita adalah untuk memastikan perkara yang sama ataupun pergaduhan yang melibatkan kaum berlaku lagi di Negara kita untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini. Selain itu, keharmonian ini juga mestilah dikekalkan untuk melahirkan perasaan cintakan tanah air dan sanggup berkorban untuk Negara kita Malaysia. Semangat cintakan tanah air ini mestilah wujud dalam diri setiap kumpulan etnik di Negara kita bagi memastikan kesemua golongan etnik ini mempertahankan keselamatan Negara. Akhir sekali, perpaduan dalam kalangan etnik di Negara ini akan dapat mengukuhkan lagi keselamatan Negara daripada luar dan dalam Negara. Negara kita haruslah dipertahankan kedaulatannya daripada segala bencana yang melibatkan pergaduhan dan pertumpahan darah bagi memastikan Negara kita akan terus membangun dan berjaya mencapai wawasan 2020 dan mengekalkan perpaduan Negara kita Malaysia.