MY BELOVED FOLLOWER (^__^)

Wednesday, October 16

PENDEKATAN DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

PENDEKATAN
Pendekatan adalah berlandaskan teori, prinsip atau kaedah tertentu yang mendokong sesuatu teori. Cara pengajaran juga adalah berdasarkan objektif yang ditentukan. Pendekatan adalah kenyataan dianggap benar tanpa bukti dan alasan. Contohnya dalam sesi pengajaran, guru menggunakan pendekatan daripada mudah sehinggalah susah agar pengajaran dapat difahami oleh murid.

Pendekatan Induktif
Pendekatan induktif merupakan satu pendekatan mengajar yang melibatkan satu proses penaakulan yang tinggi. Menurut John, M. Kierzek dan Walker Gibson, pendekatan induktif dimulakan dengan sesuatu sebab atau contoh dan bergerak ke hadapan kepada satu generalisasi. Dalam hal ini, guru-guru akan mengumpul contoh-contoh daripada teks, menunjukkan dan menerangkan bagaimana ia bekerja dan berfungsi, dan membantu murid-murid untuk menghasilkan satu kesimpulan yang sesuai. 
Dalam pengajaran bahasa pendekatan lebih dikenali sebagai pendekatan gramatikal iaitu mendahulukan contoh-contoh struktur penggunaan unsur-unsur tatabahasa yang dipelajari dan kemudian membuat kesimpulan mengenainya. Kaedah pencarian digunakan iaitu melibatkan proses pemerhatian, kajian, analisis tentang aspek bahasa pada awal pembelajaran. Kemudian kesimpulan umum dihasilkan daripada data yang dipelajari. Guru sama sekali tidak digalakkan memberi definisi, menerangkan peraturan-peraturan, menerangkan  isi atau kandungan keseluruhan pelajaran.

Pendekatan Deduktif
Pendekatan deduktif merupakan satu pendekatan mengajar yang mengasaskan pengajaran dan pembelajaran pelajar kepada hukum-hukum tertentu dan menggunakan proses penaakulan yang tinggi. Dalam pengajaran kaedah deduktif ini, beberapa prinsip perlu dipatuhi iaitu Teori, hukum, atau masalah tertentu perlu didedahkan dahulu. Kemudian bimbingan diberi bersama dengan contoh yang sesuai. Dalam kaedah ini pemahaman murid adalah amat ditekankan. Prosedur pengajaran dimulakan dengan pengenalan rumus yang baru, pemilihan rumus haruslah berdasarkan rumus yang diketahui umum oleh murid dan penggunaan contoh yang berkaitan dan pengukuhan pemahaman konsep sesuatu rumus.

Pendekatan Elektik
Elektik merupakan kaedah yang menggabungkan kedua-dua pendekatan awal yang sudah dibincangkan di atas dan kaedah ini mengambil kelebihan yang ada pada kedua-dua pendekatan induktif dan deduktif. Guru tidak perlu terlalu terikat dengan mana-mana pendekatan tetapi pengajarannya mestilah lebih luas dan mudah diubahsuai mengikut keperluan murid.
Guru boleh juga memulakan pengajarannya dengan menyatakan hipotesis terlebih dahulu kemudian diikuti dengan contoh-contoh khusus. Selepas murid membuat perkaitan di antara generalisasi dengan contoh, barulah guru mengukuhkan pemahaman murid dengan mengemukakan generalisasi lain yang berkaitan. Pendekatan ini dapat mengatasi kelemahan dan kekurangan yang terdapat pada kedua-dua pendekatan iaitu pendekatan induktif dan deduktif. Melalui pendekatan ini, guru akan lebih fleksibel dan mampu mengendalikan kelas mengikut kehendak dan keperluan pelajar.

Pendekatan Komunikatik

Pendekatan komunikatif merupakan pendekatan yang berpusatkan pelajar iaitu berfokuskan kepada bentuk-bentuk komunikatif seperti meminta maaf, bercerita, melapor dan lain-lain. Situasi ini berlaku dalam amalan masyarakat sehari-hari. Melalui pendekatan ini, penekanan tentang penyerapan bentuk gramatikal adalah bagi tujuan komunikasi. Pendekatan ini wujud disebabkan didapati pendekatan yang lain lebih mementingkan penguasaan bahasa pada peringkat membina ayat-ayat yang betul secara pencilan yang terkeluar daripada konteks wacana.