Teori Nahu Transformasi Generatif
Teori nahu Transformasi Generatif (TG) mula diperkenalkan dalam
bidang linguistik dalam tahun 1957 oleh pelopornya Noam Chomsky melalui buku
beliau yang bertajuk ‘Syntactic Structure’. Lapan tahun kemudian terbit pula
sebuah buku yang bertajuk ‘Aspects of the Theory of Syntac’ – buku yang telah
menerangkan nahu transformasi ini dengan lebih eksplisit dan dan formal.
Menurut Chomsky, nahu terdiri daripada seberkas rumus untuk menghasilkan ayat
yang tidak terhad jumlahnya dalam teori standard transformasi generatif seperti
yang terdapat dalam buku ‘Aspects of the Theory of Syntac’ . Berasaskan teori
ini, nahu dibahagikan kepada tiga komponen iaitu
- Semantik
- Sintaksis
- Fonologi.
Sebelum wujudnya teori TG, aliran linguistik yang mendapat
perhatian (terutamanya di US) ialah aliran struktural. Ahli-ahli bahasa aliran
ini mengkaji bahasa secara manganalisis data bahasa yang diperoleh daripada
penutur asli (native speakers). Bahasa dianggap satu keseluruhan yang boleh
dipecah-pecahkan menjadi unit yang lebih kecil. Analisis bahasa biasanya
dimulai daripada unit yang terkecil iaitu fonem menuju kepada unit yang lebih
besar iaitu ayat. Setelah membahagikan korpus bahasa kepada unit-unit yang
lebih kecil tugas ahli bahasa ialah mencari sistem atau pola disebalik
unit-unit kecil itu. Mereka sangat ghairah mencari pasangan minima, bunyi-bunyi
bahasa yang saling melengkapi , varian atau bunyi-bunyi yang bervariasi
bebas. Chomsky menamakan kajian ini kajian taksonomi dan menganggap kajian
seperti ini bersifat sains pengelasan.
Berbeza dengan aliran struktural ini,
penganut nahu TG menganggap fonologi atau struktur bunyi sesuatu bahasa itu
sebagai satu sistem rumus yang mencerminkan kecekapan fonologi penutur natif
yang ideal. Fonologi TG tidak mementingkan sangat perbezaan bunyi yang
distingtif atau perbezaan permukaan. Tujuan utamanya ialah memformulasasikan
kecekapan fonologi instrinsik seseorang penutur sebagai satu sistem rumus yang
bertanggungjawab melahirkan representasi fonetik daripada struktur permukaan
sintaksis.
Tentang representasi fonetik ini, ahli-ahli fonologi generatif telah
mengenalpasti perbezaan dasar dari segi linguistik mengenai dua maklumat fonetik
iaitu ‘sebahagian daripada realisasi fonetik sesuatu morfem itu bersifat
idiosinkratik dan sebahagiannya pula bersifat regular sistematis dalam struktur
bunyi sesuatu bahasa itu’.
Untuk membezakan dua ciri fonetik ini ahli-ahli fonologi generatif mengemukakan
dua jenis alat yang dikenali sebagai ‘senarai’ dan ‘rumus’. Kesemua ciri
idiosinkratik tentang penyebutan sesuatu morfem itu disenaraikan dalam
representasi leksikal di dalam leksikon.
Manakala ciri-ciri regular yang
sistematis dikendalikan oleh rumus-rumus fonologi dalam komponen fonologi.
Sehubungan ini, komponen fonologi mempunyai dua peringkat representasi
iaitu -‘representasi dalaman’ (yang mengandungi semua maklumat
idiosinkratik tentang penyebutan sesuatu morfem dalam ujaran -’representasi
permukaan’ (yang mempunyai maklumat idiosinkratik dan maklumat yang
boleh diramalkan iaitu yang bersifat regular sistematis)
representasi
dalaman
- / /
representasi
permukaan
- [ ]
Peranan rumus-rumus fonologi dalam komponen fonologi ialah untuk
memerihalkan pertukaran bentuk dasar dalam representsi dalaman ke bentuk
fonetik dalam representasi permukaan.
Dalam fonologi TG, huraian fonologi pada tahap fonemik dan fonetik serta
pernyertaan rumus-rumus yang menghasilkan representasi fonetik daripada
representasi fonemik dilakukan dengan menggunakan fitur-fitur distingtif.
Dengan ini bermakna fonem tidak lagi dianggap sebagai unit dasar
(terkecil) dan tempatnya diambil-alih oleh fitur distingtif.
Satu konsep penting berkaitan fitur
distingtif ialah konsep ‘kelas natural’. Satu kumpulan segmen membentuk satu
kelas natural sekiranya segmen-segmen itu dapat dinyatakan dengan menggunakan
fitur-fitur yang sedikit (kurang) jika dibandingkan dengan
fitur-fitur yang diperlukan untuk menyatakan mana-mana segmen dalam kelas itu
secara individu. Konsep kelas natural ini penting dalam TG kerana
biasanya proses-proses fonologi bertindak terhadap segmen-segmen dalam
satu-satu kelas natural dan bukannya secara segmen-segmen dalam bentuk
individu.
Konsep kelas natural ini digunakan dengan meluas untuk pernyataan rumus-rumus
fonologi TG. Salah satu matlamat dasar fonologi TG ialah menyatakan
proses-proses fonologi yang mengubah representasi dalaman dalam bentuk
rumus-rumus. Apabila terdapat proses-proses fonologi maka segmen-segmen
tertentu akan mengalami perubahan.
Rumus-rumus fonologi hendaklah menggambarkan tiga perkara asas ini
- Segmen manakah yang berubah
- Apakah perubahan yang berlaku
- Apakah keadaan atau lingkungan yang menyebabkan perubahan itu berlaku.
Fonologi
TG mempunyai sistem notasi yang khusus untuk menyatakan proses-proses fonologi
dan pernyataan rumus-rumus secara konsisten amat diutamakan. Perubahan daripada
representasi dalaman kepada representasi permukaan bukanlah melalui satu proses
fonologi atau satu rumus sahaja. Biasanya beberapa rumus bertindak untuk
mengubah sesuatu representasi fonemik menjadi representasi fonetik. Setiap
rumus hanya bertindak ke atas segmen-segmen tertentu sahaja dan membiarkan
segmen-segmen yang lain untuk tindakan rumus-rumus yang lain. (Satu
persoalan yang hangat diperdebatkan oleh ahli-ahli fonologi generatif ialah
perlaksanaan aturan rumus-rumus fonologi fonlogi itu. Adakah rumus-rumus
diaplikasikan mengikut aturan yang tetap dan teratur ataupun secara serentak.)
Teori Standard Fonologi TG
mengusulkan bahawa rumus-rumus dilaksanakan mengikut aturan iaitu satu rumus
harus mendahului rumus yang lain. Berdasarkan data-data bahasa yang berlainan,
ahli-ahli fonologi generatif telah mengemukakan pelbagai pandangan tentang
persoalan ini. Sesetengah perlaksanaan rumus dikatakan perlu diatur secara
terikat iaitu rumus-rumus itu disusun mengikut aturan tertentu supaya
output daripada rumus menjadi input kepada rumus yang lain. Namun, ada juga
rumus yang dikatakan tidak terikat.
Rumus-rumus lain pula
bersifat serentak perlaksanaannya. Apabila morfem digabungkan untuk membentuk
kata-kata terbitan, segmen daripada morfem yang digabungkan itu terletak di
sisi antara satu sama lain. Kadang-kadang segmen itu mengalami perubahan.
Perubahan-perubahan juga boleh berlaku pada lingkungan-lingkungan selain
daripada lingkungan kedua-dua morfem yang bergabung tersebut, misalnya pada
awal kata dan akhir kata. Ia juga boleh berlaku akibat penggabungan morfem.
Semua perubahan seperti ini dikenali sebagai ‘proses fonologi’
CIRI-CIRI TEORI TRANSFORMASI
GENERATIF
- Suatu urutan yang teratur daripada rumus-rumus.
- Bertujuan untuk hasilkan satu huraian bahasa yang dapat kemukakan asas bagi menerangkan bagaimana ayat-ayat boleh dihasilkan dan difahami.
- Menganalisis fonologi, morfologi, dan sintaksis yang menggunakan simbol-simbol dan rumus-rumus.
- Deskripsi sesuatu bahasa mesti mengambil kira kreativiti linguistik.
- Komponen sintaksis menerbitkan struktur sintaksis melalui dua peringkat.
- Pertama, melalui peraturan-peraturan struktur-struktur rangkai kata dan leksikon yang membentuk satu komponen sintaksis, menerbitkan struktur dalamannnya dalam bentuk yang boleh diterjemahkan maknanya.
- Kedua, peraturan transformasi, iaitu menukarkan struktur dasar yang abstrak kepada struktur luar yang konkrit setelah dipadankan dengan peraturan bunyi dan lahir sebagai satu ujaran.