Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah
undang-undang bertulis yang tertinggi dan terutama yang menjadi rujukan bagi
pentadbiran negara. Perlembagaan ini mengagihkan kuasa tadbir urus negara
menurut amalan sistem Kerajaan Demokrasi Berparlimen. Perlembagaan ini boleh
dipinda dengan sokongan majoriti sekurang-kurangnya dua pertiga di
Parlimen.
Di Malaysia, sebahagian daripada hak-hak asasi manusia adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Antara lain, Perlembagaan ini menjamin kebebasan untuk hidup, kebebasan bergerak, bersuara, berhimpun dan berpersatuan; beragama dan juga hak-hak bersangkutan pendidikan. Setiap warganegara perlu mengetahui hak asasi masing-masing seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Di Malaysia, sebahagian daripada hak-hak asasi manusia adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Antara lain, Perlembagaan ini menjamin kebebasan untuk hidup, kebebasan bergerak, bersuara, berhimpun dan berpersatuan; beragama dan juga hak-hak bersangkutan pendidikan. Setiap warganegara perlu mengetahui hak asasi masing-masing seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sejarah Perlembagaan
Malaysia
Asas Perlembagaan Persekutuan Malaysia ialah
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Berikutan kemenangan Parti Perikatan
dalam Pilihanraya Persekutuan pertama pada 1955, Tunku Abdul Rahman Putra telah
dipilih sebagai Ketua Menteri Pertama.
Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merupakan langkah pertama ke arah membentuk Kerajaan sendiri selepas Britain bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 1956. Untuk tugas penggubalan Perlembagaan, Kerajaan British telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja terdiri daripada wakil Kerajaan British sendiri, penasihat Majlis Raja-Raja dan pemimpin-pemimpin parti.
Pada Januari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan ke London untuk membincangkan soal penggubalan Perlembagaan Persekutuan dan merundingkan tarikh kemerdekaan untuk negara. Pada Mac 1956 satu Suruhanjaya Perlembagaan diketuai Lord Reid telah ditubuhkan untuk merangka dan meneliti Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
Suruhanjaya tersebut telah mendapatkan pandangan parti-parti politik, persatuan-persatuan bukan politik dan individu tentang bentuk negara dan bangsa bagi negara ini. Dalam proses rundingcara itu, satu memorandum daripada parti Perikatan telah mendapat keutamaan.
Memorandum berkenaan, yang disebut sebagai Pakatan Murni, iaitu persetujuan secara bertolak ansur demi kepentingan bersama serta persetujuan menghormati hak-hak orang lain, menyentuh lima perkara utama iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata.
Perlembagaan yang digubal Suruhanjaya Reid ini diiktiraf Jawatankuasa Kerja sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mulai tarikh kemerdekaan negara iaitu pada 31 Ogos 1957. Bila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1963, beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dan nama negara ditukar kepada Malaysia.
Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merupakan langkah pertama ke arah membentuk Kerajaan sendiri selepas Britain bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 1956. Untuk tugas penggubalan Perlembagaan, Kerajaan British telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja terdiri daripada wakil Kerajaan British sendiri, penasihat Majlis Raja-Raja dan pemimpin-pemimpin parti.
Pada Januari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan ke London untuk membincangkan soal penggubalan Perlembagaan Persekutuan dan merundingkan tarikh kemerdekaan untuk negara. Pada Mac 1956 satu Suruhanjaya Perlembagaan diketuai Lord Reid telah ditubuhkan untuk merangka dan meneliti Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
Suruhanjaya tersebut telah mendapatkan pandangan parti-parti politik, persatuan-persatuan bukan politik dan individu tentang bentuk negara dan bangsa bagi negara ini. Dalam proses rundingcara itu, satu memorandum daripada parti Perikatan telah mendapat keutamaan.
Memorandum berkenaan, yang disebut sebagai Pakatan Murni, iaitu persetujuan secara bertolak ansur demi kepentingan bersama serta persetujuan menghormati hak-hak orang lain, menyentuh lima perkara utama iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata.
Perlembagaan yang digubal Suruhanjaya Reid ini diiktiraf Jawatankuasa Kerja sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mulai tarikh kemerdekaan negara iaitu pada 31 Ogos 1957. Bila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1963, beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dan nama negara ditukar kepada Malaysia.
Sejarah perlembagaan tanah melayu
Usaha untuk membebaskan Tanah Melayu
daripada penjajahan British bermula pada tahun-tahun 1930an apabila Kesatuan
Melayu Muda dibentuk oleh Ibrahim Hj. Yaacob dan rakan-rakannya. Selepas Perang
Dunia Kedua, perjuangan ke arah kemerdekaan semakin rancak. Setelah memenangi
majoriti besar dalam pilihanraya Persekutuan pada 1955, Perikatan UMNO-MCA-MIC
telah mengadakan rundingan dengan kerajaan British mengenai Tanah Melayu.
Rombongan Perikatan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman dan wakil-wakil
Raja-raja Melayu telah mengadakan rundingan dengan Kerajaan British pada 18
Januari 1956. Perikatan dan kerajaan British telah bersetuju untuk
mengisytiharkan kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.
Bersesuaian dengan persetujuan itu sebuah Suruhanjaya Bebas akan dibentuk bagi
menggubal Perlembagaan Tanah Melayu Merdeka.
Pada 8 Mac 1956 kerajaan British, selepas mendapat persetujuan Majlis Raja-raja Melayu, telah mengumumkan pembentukan sebuah Suruhanjaya bebas bagi mengkaji bentuk perlembagaan bagi Tanah Melayu yang merdeka dalam komonwel yang mengandungi lima orang anggota yang terdiri dari Lord Reid sebagai pengerusinya Ivor Jennings, Sir William McKell, B. Malik dan Hakim Abdul Hamid.
Tanggungjawab Suruhanjaya ini adalah untuk menggubal perlembagaan bagi Tanah Melayu berdasarkan demokrasi berparlimen, mengadakan mesyuarat dwidewan dan mempunyai kerajaan Persekutuan yang kuat. Suruhanjaya juga hendaklah menjamin kedudukan dan darjat Raja-raja Melayu sebagai raja berperlembagaan di negeri masing-masing, mengadakan suatu rupa bangsa yang sama bagi seluruh Persekutuan, dan seorang ketua negara bagi seluruh negara. Suruhanjaya juga diminta menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain.
Dengan bidang tugas yang sedemikian, Suruhanjaya Reid mula menjalankan tugasnya untuk mendapatkan pandangan bagi menggubal perlembagaan bagi Tanah melayu. Suruhanjaya telah memulakan kerjanya pada akhir bulan Jun 1956.
Justeru itu, Setiausaha Agung UMNO Senu Abdul Rahman dalam surat pekelilingnya kepada Setiausaha-setiausaha Bahagian UMNO dan Pertubuhan-pertubuhan bergabung, telah meminta UMNO Negeri mengemukakan pandangan atau cadangan kepada ibu pejabat sebelum akhir bulan Mei 1956 mengenai cadangan perlembagaan. Beliau juga mengingatkan bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan juga ahli-ahli UMNO agar tidak terpengaruh atau terlatah apabila terpandang atau terdengar sesuatu yang tidak menyenangkan. Nasihat Setiausaha Agung itu ada asasnya. Pada ketika itu pemimpin-pemimpin masyarakat Cina kelahiran negara China telah menuntut supaya orang-orang yang asalnya pedagang dan asing diberikan hak sepenuhnya dalam negara ini dengan tidak diberikan kelebihan atau keutamaan kepada bangsa Melayu sahaja. Mereka menuntut supaya dasar jus soli diterima sebagai syarat kerakyatan Persekutuan. Kumpulan ini berpendapat bahawa undang-undang kerakyatan yang sedia ada 'tidak realistik' dan bersifat 'diskriminasi'.
Sementara itu, pada 9 April 1956, Dato’ Abdul Razak, Timbalan Presiden UMNO, telah dilantik
oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk mempengerusi Jawatan kuasa Siasah.
Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk menimbang memorandum-memorandum yang
dikemukakan oleh Jawatankuasa Perhubungan Negeri. Jawatankuasa Siasah telah menerima
pelbagai cadangan. Tetapi isu yang paling hangat dibicarakan ialah mengenai
kerakyatan berasaskan prinsip jus soli dan bahasa. Jawatankuasa Perhubungan
UMNO Negeri Johor, umpamanya, mendesak UMNO menolak pemberian kerakyatan kepada
kaum asing berasaskan prinsip jus soli. Pada pandangan UMNO Johor,
'dengan memakai dasar jus soli dalam Tanah Melayu Merdeka kelak akan
membangkitkan kesusahan dan kerumitan antara Kerajaan Tanah Melayu Merdeka
dengan kerajaan lain dalam menentukan kerakyatan seseorang itu dengan sebab
kerajaan lain umpamanya kerajaan China, menurut undang-undang kerajaannya telah
ditetapkan seorang Cina mestilah jadi rakyat Negara China walau dimana mereka
diperanakan'.(1) UMNO juga mendesak supaya tuntutan kaum bukan Melayu
yang menuntut supaya bahasa Mandarin dijadikan sebagai bahasa rasmi
ditolak.
Jawatankuasa itu telah mengadakan mesyuarat beberapa kali bagi meneliti serta menimbang syor-syor perlembagaan daripada bahagian dan cawangan UMNO di seluruh negara. Mana-mana cadangan yang dianggap 'melampau' seperti mengisytiharkan Tanah Melayu sebagai negeri milik orang Melayu sahaja, telah ditolak. Mengenai jus soli, Jawatankuasa Siasah mencadangkan supaya Majlis Kerja Tertinggi menolak prinsip itu dan hanya menerima pakai prinsip itu setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Jawatankuasa juga mengesyorkan supaya bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan.
Majlis Kerja Tertinggi UMNO menerima cadangan Jawatankuasa Siasah dan disahkan dalam mesyuaratnya yang berlangsung pada 19 Ogos 1956. Razak kemudiannya telah diminta mengemukakan memorandum cadangan Perlembagaan UMNO kepada Majlis Perikatan Perikatan untuk ditimbang dan diselaraskan sebelum dipanjang kepada Suruhanjaya Bebas. Majlis ini juga dipengerusikan oleh Razak.
BERSETUJU UNTUK TIDAK BERSETUJU
Majlis Kebangsaan Perikatan telah menimbang memorandum dari UMNO, MCA dan MIC. Dalam deliberasinya, Majlis Kebangsaan Perikatan mencadangkan Perlembagaan mengiktiraf orang Melayu sebagai bumiputera di negeri ini berasaskan sejarah dan perjanjian antara Raja-raja Melayu dengan Kerajaan British. Justeru, Yang Di Pertuan Besar telah diberi tanggungjwab untuk menjaga kepentingan istimewa orang Melayu. Sehubung dengan itu, Perlembagaan hendaklah mempunyai kuasa untuk memperuntukan kepada orang-orang Melayu 'a reasonable proportion of lands, posts in the public service, permits to engage in business or trade, where such permits are restricted and controlled by law, Government scholarships and such similar privileges accorded by the Government'.2 Sungguhpun demikian, 'Constitution should also provide that any exercise of such powers should not in any way infringe the legitimate interests of the other communities or adversely affect or diminish the rights and opportunities at present enjoyed by them'.3
Sehubung dengan soal kerakyatan dan kaedah memperolehinya, ahli-ahli komponen Perikatan berbeza pendapat. UMNO menolak cadangan memberikan kerakyatan berasaskan prinsip jus soli seperti yang dicadang oleh MCA dan MIC sebelum negara mencapai kemerdekaan. Sungguhpun begitu, sebagai kompromi UMNO bersetuju supaya 'perlembagaan itu mengadakan syarat iaitu mereka yang dilahirkan di Tanah Melayu dan kemudian daripada pengisytiharan kemerdekaan itu patutlah menjadi warganegara Tanah Melayu'. Kelonggaran yang dicadangkan oleh UMNO adalah seperti berikut:
Bagi kategori yang dilahirkan di negara ini sebelum merdeka, mereka berhad untuk mendaftar menjadi rakyat dalam tempoh setahun dengan syarat :
(1) dilahirkan disini dan telah berumur 18 tahun ataupun lebih ;
(2) berkelakuan baik;
(3) Mengangkat sumpah
taat setia kepada negara ini ;
(4) Mengisytihar untuk
tinggal di negara ini secara berkekalan;
(5) Telah tinggal di
negara ini lebih daripada 5 daripada 7 tahun daripada
tarikh permohonan;
(6) Mempunyai kebolehan
bahasa Melayu mudah
Bagi kategori yang tidak dilahirkan di negara ini, mereka layak untuk memohon kerakyatan dalam tempoh setahun dengan syarat yang sama kecuali dari segi tempoh maustautin, iaitu mereka perlu tinggal dinegara ini lebih daripada 8 tahun daripada 12 tahun pada ketika membuat prermohonan.
Pihak MCA dan MIC bersetuju dengan syarat-syarat tersebut tetapi masih mendesak supaya kelonggaran itu diberikan untuk tempoh dua tahun dan bukan setahun seperti yang dicadangkan oleh UMNO.
Majlis Kebangsaan Perikatan juga bersetuju dengan cadangan untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara dengan syarat cadangan itu tidak menjejaskan dasar Perikatan untuk memupuk dan mempertahankan penggunaan bahasa lain dalam sistem pendidikan negara. Sungguhpun begitu mereka berbeza pendapat tentang tempoh maksimum yang harus dibenarkan kepada penggunaan bahasa asing dalam urusan kerajaan. UMNO bersetuju untuk membenarkan bahasa Inggeris dalam urusan kerajaan hanya untuk tempoh 10 sahaja manakala MCA dan MIC pula mencadangkan supaya bahasa Inggeris, Kuo-Yu dan Tamil dipakai dalam urusan Dewan sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 tahun sehingga Majlis berpendapat penggunaannya tidak lagi diperlukan.
Secara amnya, UMNO dan MCA bersependapat dalam banyak perkara, seperti hak istimewa orang Melayu, tetapi mereka berbeza pendapat tentang dasar jus soli dan bahasa. Oleh kerana itu, UMNO dan MCA dan MIC 'bersetuju untuk tidak bersetuju'
Sikap kompromi Majlis Tertinggi UMNO berhubung dengan 'syarat-syarat untuk masa peralihan' telah mencetuskan kontroversi dalam UMNO. Syed Jaafar Albar, Setiausaha Penerangan UMNO telah melepaskan jawatannya kerana tidak berpuashati dengan keputusan itu. Oleh kerana kontroversi itu juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan UMNO Mohd. Khir bin Johari telah melarang ketua-ketua Penerangan di semua peringkat mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada secara bertulis ataupun secara lisan kepada akhbar untuk mengelakkan kekeliruan dan fitnah.
BERSEMUKA DENGAN SURUHANJAYA REID
Dalam memorandum yang dinamakan sebagai 'Testament "Amanah" Politik Perikatan', yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Reid pada 25 September 1956, Tunku menjelaskan bahawa memorandum itu bukan dokumen legal tetapi hanya mengutarakan beberapa perkara yang difikirkan patut terkandung dalam Perlembagaan Tanah Melayu yang merdeka dan berdaulat.
Pada 27 September 1956 Perikatan telah dipanggil oleh Suruhanjaya Reid untuk 'hearing' di Dewan Majlis Ekskutif di Jalan Maxwell, Kuala Lumpur pada jam 10.00 pagi. Perikatan telah diwakili oleh Tunku Abdul Rahman, Dato Abdul Razak, V.T. Sambantham, Mohamed Khir Johari, Yong Pung How, Ng Ek Teong, K.Ramanathan dan Senu Abdul Rahman.
Dalam pertemuan itu, Razak, selaku pengerusi Jawatankuasa Siasah UMNO dan merangkap Pengerusi Majlis Kebangsaan Perikatan, telah menjadi jurucakap bagi Perikatan. Antara aspek terpenting dalam perbincangan itu ialah soal kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa dan kerakyatan. Sehubungan dengan kedudukan istimewa orang Melayu, Razak memaklum kepada Suruhanjaya hasrat Perikatan untuk menambah proviso kepada memorandum bagi membolehkan kedudukan itu dinilai selepas15 tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaaan. Yang diPertuan Besar mempunyai tanggungjawab perlembagaan dan bukan personal terhadap kedudukan istimewa orang Melayu. Raja-raja Melayu di negeri juga mempunyai tanggungjawab sedemikian. Razak menjelaskan bahawa kedudukan keistimewaan orang Melayu itu adalah terhad kepada bidang perniagaan dan perdagangan kerana orang-orang Melayu masih ketinggalan dalam bidang tersebut. Dalam memperuntukan kedudukan keistimewaan itu, hak bukan Melayu akan tetap terpelihara.
We do not want to reduce the legitimate interests of the others. What we have in mind is not to give Malay special rights by taking away the legitimate rights of other people.
In certain cases it should be increased - in business or trade the Malays have very few permits, and they should be given more, but by giving more we should not take away from what the non-Malays now have. That is the idea. (4)
Tunku turut memberi jaminan kepada Suruhanjaya bahawa 'it will be the duty of this Government to see that no undue hardship should be suffered by any particular people who are citizens of this country'. Justeru itu, tegas Tunku, 'when we talk of Malay rights here, it is no more than to say what is being done in the Federation alone. We do not actually refer to the States'. (5)
Berhubung dengan soal bahasa, Lord Reid membangkit tentang penggunaan bahasa Kuo-Yu dan Tamil dalam Majlis Mesyuarat. Menjelas soal ini, Tunku menyatakan bahawa UMNO berpandangan bahawa seseorang yang bercadang hendak menjadi wakil di Dewan mestilah mampu bertutur dalam bahasa rasmi, tetapi MCA berpandangan bahawa tidak semua wakil mempunyai kemampuan untuk bertutur dalam bahasa rasmi melainkan dalam bahasa yang mereka mahir. Sehubung ini, Ng Aik Teong, wakil MCA, menjelaskan bahawa penggunaan bahasa Kuo-Yu atau Tamil hanya berupa 'a temporary privilege', iaitu untuk tempoh 10 tahun sahaja, dan juga atas kesedaran bahawa syarat-syarat memperolehi kerakyatan istimewa dibuat tanpa perlu melalui peperiksaan bahasa. Dan sekiranya mereka ini diberi hak mengundi tetapi dalam masa yang sama mengenakan syarat bahasa pasti sebahagian besar orang Cina tidak mempunyai kelayakan untuk menjadi calon pilihanraya.
Lord Reid nampaknya tidak dapat menerima hujah tersebut kerana mereka masih berpeluang untuk mempelajari bahasa rasmi berkenaaan.'The Chinese are pretty able people; they could do that pretty easily'.5 Sehubung dengan ini, Tunku mencelah bahawa sekiranya keputusan telah dibuat untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan maka semua pihak mesti berusaha untuk menjayakannya. Lagipun, Undang-Undang Piliharaya menegaskan bahawa seseorang itu mestilah boleh bercakap salah satu daripada bahasa rasmi untuk melayakkan diri sebagai calon.
PENYATA REID DAN DERAF PERLEMBAGAAN
Pada bulan Februari 1957, Suruhanjaya Reid telah menyiarkan penyataannya mengenai Perlembagaan Tanah Melayu merdeka. Dengan terbitnya Penyata tersebut, maka sekali lagi suasana politik dalam negeri telah menjadi keruh. Ahli-ahli UMNO pada umumnya menganggap Penyata Reid itu 'terkeluar daripada cadangan UMNO dan Perikatan'. Pada pandangan ahli-ahli UMNO sekiranya cadangan perlembagaan Suruhanjaya Reid itu diterima sepenuhnya nescaya orang Melayu akan menerima bencana besar. Seorang ahli UMNO mengeluh:
Banyak syor-syor dan tuntutan-tuntutan daripada orang-orang dan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang telah dimajukan kepada Suruhanjaya itu yang bercorak mempertahankan hak-jhak Melayu itu nampaknya dikecualikan penyata tersebut, sebaliknya tuntutan orang-orang dan petubuhan-pertubuhan daripada bangsa yang bukan Melayu yang telah menuntut persamaan hak dengan orang-orang Melayu itu telah mendapat layanan dalam penyata itu. (6)
Bagi menjamin keselamatan orang Melayu selepas merdeka, UMNO negeri Johor mencadangkan agar Majlis Teringgi UMNO memasukkan dalam Perlembagaan bahawa Perdana Menteri mestilah terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam.
Perasaan tidak puashati ahli UMNO terhadap Penyata Reid telah diluah dalam Perhimpunan Khas UMNO pada 28 Mac 1957. Sekali lagi Tunku terpaksa membuat kenyataan bagi meyakinkan ahli-ahli UMNO bahawa syor Perlembagaan itu hanyalah cadangan jua dan akan disemak serta dipinda supaya bersesuaian dengan kehendak rakyat negeri ini khasnya orang Melayu. Malah beliau memberi jaminan bahawa UMNO tidak akan berganjak daripada tuntutan-tuntutannya yang asal. Jaminan itu perlu kerana Parti pembangkang Melayu khususnya Parti Negara dan PAS telah menggunakan penyata dan syor perlembagaan Reid untuk menumbangkan UMNO dengan jalan mempengaruhi rakyat - rakyat Melayu kononnya orang-orang Melayu akan lenyap dan hapus dari bumi Tanah Melayu jika syor Perlembagaan dalam Penyataan itu diterima.
Jawatankuasa Siasah UMNO telah menyemak dan mengkaji segala fikiran dan pendapat daripada ahli-ahli dan bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan UMNO sebelum kemudian di bawa ke dalam Jawatankuasa Sementara Politik Perikatan (Alliance Ad Hoc Political Committee).
Jawatan kuasa Sementara Politik Perikatan telah mengadakan mesyuarat pertamanya pada 18 Mac 1957. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Abdul Razak. Beliau mengingatkan ahli Jawatankuasa bahawa cadangan Perikatan adalah yang terbaik dan diterima oleh majoriti rakyat. Malangnya syor-syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya telah menyimpan jauh daripada cadangan Perikatan. Terdapat empat isu penting dalam memorandum tersebut iaitu: kerakyatan, bahasa, agama dan hak keistimewaan orang Melayu. Perkara-perkara tersebut, pada pandangan Razak, tidak seharusnya diputuskan oleh pakar-pakar asing tetapi hendaklah diputus dari sudut politik. Seterusnya Razak memaklumkan kepada Majlis bahawa oleh kerana Suruhanjaya Reid telah menyeleweng jauh daripada cadangan Perikatan terhadap perkara-perkara penting itu, sesetengah ahli-ahli UMNO telah mengkritik dengan tajam pemimpin-pemimpin UMNO. Keadaan tersebut telah meletakkan pemimpin-pemimpin UMNO dalam kesulitan. Apabila pemimpin-pemimpin UMNO bersetuju untuk menerima cadangan Perikatan, mereka percaya bahawa cadangan itu akan diterima oleh rakyat. Justeru itu Majlis Kerja Tertinggi UMNO tidak merujuk soal itu kepada Persidangan UMNO.
Tan Siew Sin memberi jaminan kepada Razak bahawa MCA akan berpegang kepada keputusan asalnya. Kenyataan Tan Siew Sin itu disokong oleh Ramanathan, wakil MIC. Melihat kepada sokongan padu itu, Razak merumuskan bahawa UMNO, MCA dan MIC sebulat suara menyokong cadangan asal Perikatan. Beliau juga mengingatkan bahawa sehubung dengan perkara-perkara yang kontroversi, Jawatankuasa hendaklah memikir apa yang sangat diterima oleh negeri secara keseluruhan dan bukan apa yang ideal.
Bagi mengelakkan ahli-ahli UMNO dan penyokong-penyokongnya daripada terpengaruh dan terkeliru oleh dakyah-dakyah lawan, UMNO telah mengadakan Perhimpinan Agung pada 28 Mac 1957 di Kuala Lumpur untuk menerangkan perkembangan dalam rundingan Jawatankuasa Kerja dan pendirian UMNO terhadap Penyata Reid. Tunku Abdul Rahman memberi jaminan bahawa beliau tidak akan berganjak daripada tuntutan UMNO. Cadangan Reid itu akan disemak serta dipinda supaya bersesesuaian dengan kehendak rakyat.
Sementara itu Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga telah mengeluarkan peringatan kepada semua ketua dan setiausaha Negeri dan Bahagian UMNO supaya tidak mengeluarkan kenyataan secara persendirian dalam surat khabar atau mengadakan mesyuarat-mesyuarat tergempar dan menerbitkan ketetapan yang keras berhubung dengan penyata tersebut. Pada pandangan Majlis Kerja Tertinggi 'perbuatan yang terburu-buru. akan mengelirukan dan memecahbelahkan ahli-ahli kita dan orang ramai dan juga memberi peluang dan modal kepada parti-parti lawan kita'.(7) Majlis Tertinggi juga menyeru ahli-ahli UMNO supaya memberikan sokongan 'yang tegap dan fikiran serta pendapat yang sihat di dalam masa kita memperjuangkan kehendak-kehendak dan tuntutan-tuntutan kita itu'.
Dalam mesyuarat Jawatankuasa kecil Politik Perikatan pada 3 April 1957, Razak telah membentangkan keputusan mesyuarat Agung UMNO tentang Penyata Reid dan memberi jaminan bahawa UMNO akan berpegang kepada Memorandum Perikatan.(8) Jawatankuasa itu membincangkan pelbagai perkara yang masih belum selesai seperti soal jawatan Gabenor, Perdana Menteri dan Ketua Menteri. Razak mencadangkan dua priviso perlu dimasukkan dalam Fasal 8 yang mengsyaratkan pemegang jawatan itu mesti rakyat negara ini. Berkaitan dengan itu juga, Razak menarik perhatian mesyuarat tentang jawatan Menteri Besar. Mengikut perlembagaan yang sedia ada seseorang Menteri Besar itu mestilah beragama Islam dan berbangsa Melayu. Melihat kepada jumlah dan komposisi penduduk di sesetengah negeri, berkemungkinan besar pada masa hadapan jawatan itu akan diisi oleh seorang yang bukan berbangsa Melayu dan bukan beragama Islam kiranya mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan. Oleh kerana itu, Razak berpendapat proviso mesti dimasukkan bagi membolehkan Raja menggunakan kuasanya dalam perkara itu.
Jawatankuasa itu juga membincang tentang kedudukan istimewa orang Melayu. Razak mendapati bahawa Fasal 153 yang dicadangkan oleh Penyata Reid menepati kehendak Memorandum Perikatan. Razak menegaskan bahawa 'We have agreed to give the Malays reasonable openings in the economic and commercial fields but, in doing so, we should not cause hardship to or diminish the rights or opportunities or interests of the other races'.9
Sehubung hal ini, Dr. Ismail meminta MCA dan MIC menyokong tuntutan kedudukan istimewa orang Melayu dan Agama Islam bagi mengelak parti-parti pembangkang Melayu daripada mengambil kesempatan untuk mencetuskan kekeliruan di kalangan orang Melayu bahawa kaum bukan Melayu menentang pemberian kedudukan istimewa tersebut. Sungguhpun bersetuju dengan provisi itu, Tan Siew Sin mencadangkan supaya provisi itu dideraf dengan teliti bagi menjaminkan kedudukan orang bukan Melayu tidak akan terjejas terutama sekali kiranya parti pembangkang Melayu yang memerintah.
Unless the provisions to be inserted in the constitution are carefully drafted, they can be interpreted to the disadvantage of non-Malays by another party in power, say under Onn or Burhanuddin or Boestaman. There would be nothing to stop such a party from saying that in future half of any trade or industry should be given to Malays, and this could go on ad infinitum. There is a real fear among the non-Malays.(10)
Menjawab kebimbangan Tan Siew Sin, Dr. Ismail mengingatkan bahawa Perikatan pada prinsipnya telah bersetuju bahawa orang-orang Melayu hanya diberikan kuota dalam bidang yang terhad sahaja, seperti perniagaan. Tetapi, dalam bidang yang tidak terhad, orang Melayu tidak perlu diberikan kuota. Tegas Dr. Ismail lagi: 'that existing licences should remain untouched, but in future licensing, the Malays should be given a certain percentage'. (11) Tambahnya lagi:
It is felt that here is one aspect of business in which the Malays stand a reasonable chance of success, but it is not intended that the grant of licences to Malays should redound to the disadvantage of existing licence holders'. (12)
Tan Siew Sin menganggap Penyata Reid mengenai Fasal 153 adalah menepati kehendak Memorandum Perikatan. Disebut dalam memorandum itu bahawa kepentingan, hak dan peluang yang sah kaum bukan Melayu tidak akan diganggu ataupun disekat. Kaum bukan Melayu menginsafi bahawa orang Melayu mesti dibantu dalam bidang ekonomi, tetapi dengan jaminan bahawa kepentingan mereka akan selamat.
Merumus perbahasan itu, Razak berpendapat bahawa provisi itu mesti dimasukkan dalam Perlembagaan untuk membantu orang Melayu tanpa menjejaskan kepentingan kaum lain. Sekiranya ada sesiapa yang tidak berpuashati dengan perkara itu mereka boleh membawanya ke mahkamah.(13)
Deraf Fasal 153 mengenai kedudukan istimewa orang Melayu telah dibahas pada mesyuarat Jawatankuasa pada 29 April 1957. Dalam membentang deraf terbaharunya mengenai perkara itu, Razak menjelaskan:
The Alliance recommendations can be divided into two parts: Part 1 says the Alliance agrees that the special privileges and rights at present accorded to Malays should be continued, and Part 2 deals with the question of these privileges and rights in the future.
His interpretation of the intention of the Alliance is that no person should be deprived of his existing rights solely for the purpose of reserving rights for the Malays. It is on this interpretation that the Attorney-General has redrafted the section of the draft Constitution.(14)
Tan Siew Sin bagaimanapun menegur bahawa deraf itu tidak mengambilkira dua pandangan yang dibangkitkan, iaitu jaminan bahawa hak kepentingan kaum bukan Melayu akan terus terpelihara walaupun kerajaan berubah ganti, dan juga jaminan kiranya orang Melayu tidak dapat memenuhi kuota yang disediakan, kuota itu akan dibuka kepada orang bukan Melayu agar kemajuan ekonomi tidak terjejas akibat daripadanya.
Selepas berbincang lanjut, Jawatankuasa kecil Politik bersetuju dengan cadangan untuk memasukkan satu provisi baru dalam deraf perlembagaan terbaharu yang berbunyi seperti berikut:
Nothing in this Article shall empower Parliament to restrict or control any trade or business just for the sake of creating quotas for Malays.(15)
Jawatankuasa juga bersetuju untuk memasuk dalam laporan rasmi Working Party bahawa bahawa 'the Malays themselves would want to remove from the Constitution the slight implied in the protective clause under the heading of Special Position of the Malays’.(16)
Jawatankuasa itu juga berbincang mengenai kedudukan bahasa Inggeris. Sehubung hal ini, Tan Siew Sin nampaknya tidak berpuashati dengan cadangan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam tempoh 10 tahun. 'if the Alliance is serious about doing away with English in 10 years, it is best not to waste the time of children now studying English in primary schools’, tegasnya.(17) Dr. Ismail menasihat Tan Siew Sin supaya bersikap pratikal dan realistik. Di India, katanya, penggunaan bahasa Inggeris dilanjutkan melebihi hak yang ditetapkan oleh Perlembagaan.(18) Razak bagaimanapun mengingatkan bahawa Perikatan telah menerima cadangan Penyata Reid untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
Pada 4 Mei 1957, laporan Mesyuarat Jawatankuasa Politik Perikatan telah dibentang di Majlis Kebangsaan Perikatan di ibu Pejabat MCA yang dipengerusikan oleh Tunku. Tunku menganggap mesyuarat itu sebagai 'the most important meeting in our history'.19 Tunku mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Politik yang dipengerusikan oleh Razak sehingga berjaya menghasilkan satu kompromi tentang peruntukan-peruntukan tertentu dalam Perlembagaan. Beliau memberi jaminan bahawa mana-mana bahagian dalam perlembagaan itu masih boleh dipinda pada masa depan atas semangat bertolak ansur. Beliau berbangga dengan pendirian tegas MCA dan MIC dalam menghadapi tekanan kaum masing-masing.
Members of the Alliance may have differences of opinion and even quarrels, but when faced by an enemy, they have always stood, and will always stand, united for the sake of the country. The future of independent Malaya lies in our hands. I pray that God will give us life and strength, so that we will do our duty for many more generations to come.(20)
Sebagai pengerusi Jawatankuasa kecil politik Perikatan, Razak telah membentangkan laporan cadangannya yang meliputi isu kerakyatan, bahasa, agama dan hak istimewa orang Melayu. Selepas menjelaskan secara mendalam beberapa aspek daripada Penyata Reid dan cadangan balas Jawatankuasa, Majlis Kebangsaan telah menerima cadangan tersebut untuk dikemukakan kepada Kerajaan British.
Sementara itu satu perhimpunan telah berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 4-7 Mei 1957 yang ditaja oleh ahli-ahli UMNO yang tidak puas hati untuk membincangkan laporan deraf Perlembagaan. Turut terlibat dalam perhimpunan itu yang dikenali sebagai Kongres Melayu 1957 itu ialah PAS, Parti Negara dan Parti Rakyat. Perhimpunan itu telah mengemukakan beberapa tuntutan, diantaranya menuntut supaya syarat-syarat pemberian kerakyatan diperketatkan, menolak kerakyatan komonwel dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Perhimpunan itu juga mendesak agar agama Islam bukan hanya diisytihar sebagai agama rasmi tetapi juga sebagai asas pemerintahan negara. Memorandum Kongres itu telah dikemukakan kepada Tunku untuk dijadikan pedoman semasa berunding dengan Kerajaan British, tetapi telah ditolak.
Kelompok bukan Melayu diluar MCA turut mengemukakan bantahan. Kumpulan-kumpulan seperti The Pan-Malayan Federation of Chinese Association, Federation of Chinese Guilds and Association (FCGA), United Chinese School Teachers Association (UCSTA) dan All-Malaya Chinese Schools Management Association (AMCSMA) membuat memorandum berasingan dan telah menghantar rombongan merundingkan kemerdekaan. The Pan-Malayan Federation of Chinese Associations di bawah Lau Pak-Khuan, Tan Kee Gak dan Yap Mau Tatt umpamanya menuntut kerajaan British menerima prinsip jus soli untuk kewarganegaraan. Mereka juga menuntut agar kedudukan Istimewa Orang Melayu dihapuskan. Pada pandangan mereka:
It is submitted that to enshrine in the constitution, even for a limited period of time, all the special privileges at present enjoyed by the Malays will have the effect of relegating the non-Malays to the position of second-class citizens. Inequalities arising from poverty, malnutrition and ignorance undoubtedly exist, but these are not confined to Malays, and are, in the submission of the Delegations, matters to be remedied by social policy, rather than by according special privileges to any particular community.(21)
Atas hujah itu mereka mendesak supaya 'all nationals should be accorded equal rights, privileges and opportunities, and there must not be discrimination on grounds of race or creed.'(22)
Mereka juga mendesak supaya bahasa Cina, Tamil dan Inggeris diiktiraf sebagai rasmi selain bahasa Melayu. Desakan itu dibuat atas alasan bahawa ' in modern Malaya, where Malay speaking peoples constitute no more than half the total population, it would be quite incongruous to make Malay the official language for all'.23 Tambahnya lagi:
The Delegations respectfully submit that the attempt to impose one language on the whole community as its official language cannot help but be a potential sourse of trouble for the future'.(24)
ROMBONGAN KEMERDEKAAN
Pada 10 Mei 1957 Tunku telah mengepalai rombongan untuk kali ketiga ke London berbincang dengan kerajaan British tentang kemerdekaan. Rombongan itu bertolak ke London dengan pesawat BA 781. Rombongan kemerdekaan telah berada di sana selama 15 hari.Tunku Abdul Rahman, Dato Abdul Razak dan Ong Yoke Lim telah ditempatkan di Prior's House manakala V.Y. Sambanthan dan Tunku Ismail telah ditempatkan di Queen's House yang terletak di St. James's Court, Buckingham Gate, S.W.1.
Dalam mesyuarat antara rombongan kemerdekaan dengan kerajaan British, beberapa persetujuan telah dicapai mengenai butir-butir perlembagaan. Tidak lama kemudian, Kertas Putih Kerajaan yang mengandungi pindaan-pindaan atas Penyata Reid telah dikeluarkan. Bahasa Kebangsaan telah diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan.Yang di Pertuan Agung telah diberi tanggungjawab oleh Perlembagaan untuk menjaga kedudukan istimewa orang-orang Melayu serta hak-hak yang halal bagi kaum-kaum yang lain.
Pada 29-30 Jun 1957, kertas putih itu telah dikemukakan di Perhimpunan Agung UMNO di mana ia telah diluluskan dengan sebulat suara. Rang Undang-Undang itu kemudiannya telah di bawa ke Majlis Perundangan Persekutuan pada 10 Jun 1957. Tunku Abdul Rahman, selaku Ketua Menteri telah membentang Rang Undang-Undang tersebut yang mengambilmasa selama 2 1/2 jam. Tunku memberi jaminan bahawa kerajaan Perikatan akan berlaku adil kepada semua pihak. Mengenai Perkara 152(1). Tunku menganggap sebagai tanggungjawab mempertahankan keistimewaan bagi orang Melayu tanpa menjejaskan hak sediada bukan Melayu.
It was necessary for Malays to be protected otherwise they would go under as has happened in Singapore or Penang.(25)
Usul itu telah di sokong oleh Tan Siew Sin. Sehubung dengan kedudukan istimewa orang Melayu, Tan Siew Sin menegaskan bahawa ia bukan sesuatu yang baru dan 'was not only for the benefit of the Malay themselves but in the interest of the country as a whole in order to bring the Malays up to something nearer equality with the other races'.26 Beliau juga tidak membantah hasrat untuk menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan ' as there was no derogation of the principle of a secular state or no disabilities were imposed on non-muslim'.(27)Perlembagaan itu telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada 27 Ogos 1957.
MERDEKA
Tepat jam 12 malam bertempat di padang Bangunan Sultan Abdul Samad, Razak bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin lain mengiringi Tunku Abdul Rahman untuk menurunkan bendera Union Jack bagi menandakan tamatnya penjajahan British di Tanah Melayu. Dengan laungan ‘merdeka’, bendera ‘Union Jack’ perlahan-lahan diturunkan. Razak merasa megah dan puashati. Setelah bertahun-tahun berjuang, Tanah Melayu akhirnya akan kembali bebas dan merdeka.
Pada pagi 31 Ogos 1957, satu majlis telah diadakan di Stadium Merdeka yang dibina khas untuk meraikan peristiwa yang bersejarah itu. Bersama-sama dengan Tunku Abdul Rahman dan barisan pimpinan lain, Razak berdiri megah apabila Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan kemerdekaannya. Beliau turut tercabar apabila Tunku mengingatkan bahawa perjuangan mereka masih lagi belum selesai.
Janganlah ada orang yang menyangka bahawa kita telah sampai ke penghujung jalan. Kemerdekaan itu sesungguhnya adalah semata-mata ibarat tempat perbentian dalam perjalanan yang jauh, malahan ia adalah ambang kepada satu usaha dan percubaan bagi mewujudkan sebuah negara baru yang berdaulat.(28 )