3.1 Teori
Behaviorisme
Teori
Behaviorisme beranggapan bahawa bahasa diperoleh melalui proses
pengulangan Bahasa dan dikuasai melalui rangsangan dan gerak balas.
Golongan ini mementingkan pengukuhan dalam pembelajaran yang dapat ditimbulkan
melalui ganjaran. Dalam konteks pengajaran dan
pembelajaran bahasa, teori ini menegaskan latihan dan latih tubi. Teori ini
juga menekankan kemahiran lisan dalam pengajaran. Prinsip-prinsip pengajaran bahasa dari golongan ini adalah dari
pandangan dan pendapat ahli-ahli psikologi dan linguistik Aliran Behaviorisme.
Golongan ini
beranggapan bahawa bahasa yang diutamakan ialah bahasa lisan manakala
bahasa tulisan merupakan bahasa kedua penting. Ahli-ahli Behaviorisme
menegaskan bahawa pengajaran bahasa mestilah didahului dengan bahasa lisan. Kemudian diikuti dengan bahasa tulisan yang dianggap perkara kedua
penting dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini bermakna guru-guru
mestilah berusaha untuk membolehkan murid-murid bertutur dalam bahasa itu
dahulu dan kemudian baharulah kepada pengajaran membaca dan menulis. Ini hanya
dapat dilakukan setelah murid-murid dapat menguasai sistem bahasa dan struktur
bahasa.
Menurut
teori ini juga, bahasa adalah satu tabiat. Prinsip ini sesuai diterapkan dalam
proses pembelajaran kedua. Bagi membentuk biasaan ini latihan dan latih tubi
serta perbualan bahasa juga diutamakan. Guru perlu menyusun pelajaran dengan
baik dan pengajaran dimulakan daripada pola-pola yang senang kepada yang lebih
susah. Di
samping itu, pengukuhan adalah satu
syarat penting di dalam pembelajaran disebabkan ia merupakan satu alat untuk
menentukan pembentukan tingkah laku yang dikehendaki. Dalam situasi
pembelajaran bahasa pengukuh-pengukuhnya adalah pujian, keistimewaan,
pengiktirafan, maklum balas, galakan dan sebagainya. Mengikut prinsip ini
sesuatu gerak balas yang betul perlu diteguh oleh guru dengan cara memberikan
pengukuhan seperti yang disebutkan di atas.
Selain itu,
latihan pembelajaran adalah latihan yang dikukuhkan. Ia merupakan latihan
ulangan sesuatu gerak balas dengan sesuatu rangsangan. Latihan dan latih tubi
hendaklah dilakukan dalam keadaan yang bermakna. Ini adalah untuk mengelakkan
pelajaran tersebut menjadi bosan. Peneguhan boleh dilanjutkan oleh guru melalui
penggunaan bahan-bahan makmal bahasa. Dalam hal ini, satu model pembelajaran
telah dikemukakan oleh Behaviorisme iaitu :
Latihan yang
dikukuhkan >> pembelajaran >> perubahan tingkah laku.
Model-model
bahasa yang terbaik haruslah diutamakan. Dalam konteks pembelajaran bahasa di
sekolah-sekolah, bahasa guru menjadi model yang diikuti oleh pelajar-pelajar.
Jika model-model ini menggunakan bahasa yang salah atau, maka ini akan
mempengaruhi murid-murid di sekolah tersebut.
Tidak dinafikan,
teori ini juga mewujudkan operasi rangsangan dan tindak balas dalam proses
pembelajaran. Bahasa adalah hasil operasi rangsangan dan tindak balas.
Pembelajaran bahasa akan lebih berkesan jika kedua-dua unsur ini
dapat diwujudkan. Selain bertujuan menghasilkan satu pembentukan tingkah baru
yang berkesan, ia juga boleh bertindak sebagai daya penggerak dan meningkatkan
minat serta motivasi.
Terdapat beberapa
cara yang boleh dilakukan oleh guru untuk mempelbagaikan situasi rangsangan.
Antaranya, adalah dengan cara mempelbagaikan tingkah laku, mempelbagaikan pengalihan
saluran deria dan mempelbagaikan pola interaksi guru dan murid dan keempat
dengan cara mempelbagaikan pendekatan, kaedah, teknik, strategi dan alat-alat
bantu mengajar. Berdasarkan teori ini terdapat
satu pendekatan yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran
bahasa iaitu melalui pendekatan induktif. Pendekatan induktif ialah memulakan
sesuatu pengajaran itu dengan memberikan contoh-contoh terlebih dahulu dan
kemudian baharulah diterangkan.
3.2 Teori Mentalis
Teori
Mentalisme menganggap pemerolehan bahasa merupakan satu proses mental. Menurut
golongan ini lagi, seseorang itu mempunyai kecekapan atau kompetensi iaitu
rumus-rumus yang ada dalam stok mental, dan prestasi yang merupakan aspek
penggunaan bahasa oleh penutur berdasarkan kecekapan. Dalam pengajaran dan
pembelajaran bahasa, aspek pemikiran, pengetahuan dan makna diberikan
penekanan.
Dalam bidang
linguistik aliran kognitif tidak ada mencadangkan sebarang kaedah atau prinsip
pengajaran bahasa yang tertentu. Walau bagaimanapun kita boleh membuat andaian
beberapa prinsip pembelajaran yang dapat diwujudkan melalui pendapat dan
pandangan mereka terhadap pemerolehan bahasa. Antara prinsip-prinsip itu ialah pembelajaran
bahasa merupakan satu proses mental. Melalui proses ini, pembelajaran bahasa
dianggap sebagai satu proses pemikiran dan pemikiran ini dilahirkan melalui
pertuturan.
Selain itu,
semua kanak-kanak dapat mempelajari bahasa kerana mereka telah dilahirkan
dengan kebolehan semula jadi untuk berbuat demikian. Dalam pengajaran dan
pembelajaran bahasa guru harus menyedari bahawa kebolehan semula jadi untuk
berbahasa yang ada pada kanak-kanak itu membolehkan mereka menganalisis
pertuturan yang mereka dengar. Guru perlu menggunakan pengetahuan bahasa
murid-murid dalam masa merancang dan menentukan bahan-bahan pengajaran yang
akan diajar nanti.
Kadar
perkembangan bahasa adalah sama bagi kanak-kanak pada peringkat kematangan yang
sama dalam keadaan yang normal. Prinsip ini mempercayai bahawa kematangan yang
sama di kalangan kanak-kanak akan mempunyai ciri-ciri pembelajaran bahasa yang
sama. Justeru, guru hendaklah berhati-hati membuat pemilihan terhadap
bahan-bahan yang hendak disampaikan.
Seterusnya,
penyampaian makna lebih diutamakan daripada struktur bahasa dalam sesuatu
huraian bahasa. Prinsip ini menekankan kebolehan untuk menggunakan
struktur-struktur bahasa yang betul dari segi tatabahasa dan makna bagi
membolehkan kanak-kanak itu berkomunikasi dalam masyarakat bahasa itu. Guru
harus menggunakan aktiviti-aktiviti bahasa yang bermakna dan berkesan untuk
membolehkan kanak-kanak menguasai struktur-struktur bahasa yang terdapat di
dalam sistem bahasanya dengan baik.
Di samping
itu, tulisan dan bacaan adalah diutamakan dalam proses pembelajaran. Dalam
pengajaran dan pembelajaran bahasa, kajian-kajian bahasa biasanya dilakukan
berasaskan bahasa tulisan. Latihan-latihan tulisan yang diberi termasuklah
latihan terjemahan bahan daripada bahasa sasaran ke bahasa ibunda atau sebaliknya. Teori ini juga menekankan bahawa kajian-kajian bahasa disampaikan secara
deduktif dan tatabahasa disampaikan secara formal.
Dalam proses
pengajaran dan pembelajaran, kajian-kajian bahasa perlu dihuraikan
melalui pendekatan deduktif. Ini bermakna, penyampaian pelajaran itu dimulakan
dengan pengajaran terus mengenai rumus-rumus dan konsep-konsep tatabahasa dan
kemudian baharulah diberi contoh-contoh. Dalam hal mengajarkan tatabahasa
kepada pelajar-pelajar biasanya dilakukan secara formal.
3.3 Teori konstruktivisme
Ahli-ahli
bahasa yang menganut fahaman ini bukan sahaja mengkaji bahasa dari segi
strukturnya malah mereka juga memberi perhatian yang serius terhadap fungsi
bahasa itu. Ini bermakna mereka menegaskan bahasa sebagai alat untuk
berkomunikasi . Berikut diperturunkan beberapa prinsip pengajaran bahasa
daripada pandangan dan pendapat ahli-ahli Fungsionalis.
Dalam teori
konstruktivisme, sistem tatabahasa dan fungsi bahasa adalah dua perkara yang
diutamakan. Sesuatu pengajaran itu haruslah memberi pengetahuan kepada
murid-murid tentang sistem tatabahasa atau prinsp-prinsip struktur bahasa yang
dipelajari itu. Bahasa mempunyai fungsi
misalnya untuk menyatakan perasaan dan mendeskripsi sesuatu objek. Dalam hal
ini, bahasa yang digunakan untuk mendeskripsi sesuatu objek haruslah terdiri
daripada ujaran-ujaran yang baik.
Seterusnya, variasi
bahasa dapat mempertingkatkan tahap kemahiran berbahasa pelajar-pelajar. Bahasa
sentiasa berkembang. Dari itu, wujudlah beberapa variasi dalam penggunaannya.
Bahasa pula adalah alat untuk berhubung. Dalam pengajaran dan pembelajaran
bahasa, murid-murid harus dapat menentukan fungsi-fungsi komunikatif pada
bentuk-bentuk bahasa yang mereka kuasai.
3.4 Teori Interaksionalisme
Teori ini
memandang pembelajaran bahasa adalah sebagai alat interaksi dan ia merupakan
satu proses yang melibatkan mental dan linguistik. Teori ini menekankan
pentingnya proses pembentukan hipotesis mengenai undang-undang bahasa dalam
sesuatu pembelajaran itu. Teori ini juga menyarankan supaya guru-guru memberi
banyak latihan kepada pelajar-pelajar.
Antara pri nsip-prinsip
yang dalam teori ini ialahpenyampaian makna adalah lebih diutamakan dalam
komunikasi bahasa. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, sama ada
pembelajaran bahasa pertama dan kedua, penyampaian makna adalah penting.
Pembelajaran bahasa bukan hanya mempelajari struktur itu tetapi apa yang lebih
penting ialah belajar untuk interaksi.
Selain itu,
pembelajaran bahasa merupakan proses mental dan linguistik. Dalam pengajaran
dan pembelajaran bahasa, bahasa yang dituturkan dan makna yang dimaksudkan
adalah berhubung rapat. Interaksionalis mementingkan kedua-dua
unsur iaitu makna dan struktur bahasa. Seterusnya, pengajaran dan pembelajaran bahasa memerlukan penumpuan terhadap
tugas-tugas atau aktiviti-aktiviti yang bermakna. Jika guru itu dapat
menyampaikan pengajaran dalam bentuk aktiviti-aktiviti yang bermakna maka
murid-murid berkemampuan untuk menggunakan bahasa itu dengan lancar dan fasih.