1.0 PENGENALAN
Setiap
individu mempunyai caranya yang tersendiri dan unik untuk menyelesaikan
persoalan atau masalah yang dihadapi. Hal ini kerana setiap individu mempunyai
kecerdasan tersendiri. Kecerdasan merupakan kemampuan yang dimiliki oleh
seseorang untuk melihat sesuatu masalah dan seterusnya berupaya menyelesaikan
masalah tersebut atau membuat sesuatu yang berguna kepada orang lain. Definisi
kecerdasan pelbagai yang diberikan oleh Gardner (1983) adalah kepakaran
kecerdasan manusia seharusnya mempunyai kemahiran untuk menyelesaikan masalah,
menangani masalah sesuai dengan masa dan tempat dan menghasilkan output yang
efektif. Teori
Kecerdasan Pelbagai oleh Gardner (2000) mendasari dua prinsip asas iaitu
manusia mempunyai kecerdasan yang pelbagai dan semua orang dapat mengembangkan
kesemua kecerdasan ini ke satu tahap yang kompeten.
Menurut Howard Gardner, kecerdasan tidak boleh diwarisi
semata-mata dan kecerdasan boleh dipengaruhi oleh budaya, persekitaran, peluang
pendidikan, makanan, suasana pembelajaran dan lain-lain. Teori Kecerdasan
Pelbagai yang diperkenalkan oleh Howard Gardner mendapati sembilan kecerdasan
manusia iaitu kecerdasan logikal matematik, spatial ruang, linguistik,
intrapersonal, interpersonal, kinestetik, muzik, naturalis dan
eksistensialisme.
Sebelum mengetahui definisi integrasi kecerdasan
pelbagai, definisi integrasi perlu diketahui. Perkataan Integrasi, pada
dasarnya integrasi berasal dari perkataan bahasa Inggeris "integration" yang
bererti kesempurnaan atau keseluruhan. Manakala menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat, 2007, integrasi bermaksud penggabungan atau pergabungan dua atau
beberapa kaum menjadi satu kesatuan. Kesimpulannya, integrasi kecerdasan
pelbagai ialah penggabungan dua atau beberapa kecerdasan pelbagai menjadi satu
kecerdasan baru. Dalam mata pelajaran Seni Dalam Pendidikan, integrasi
kecerdasan pelbagai ini dapat dilihat dalam seni muzik, seni pergerakan dan
seni visual.
2.0 INTEGRASI SENI DALAM PENDIDIKAN DAN PERKAITANNYA
DENGAN SUBJEK KEMAHIRAN HIDUP SEKOLAH RENDAH
Bagi
menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih seronok dan difahami, guru
boleh menggunakan cara pengintegrasian Seni Dalam Pendidikan yang merangkumi
bidang seni muzik, seni pergerakan dan seni visual dalam tajuk mata pelajaran
yang diajar. Integrasi seni ini bukan sahaja dapat memudahkan kefahaman murid
tentang kandungan pembelajaran yang diajar malah integrasi seni ini juga mampu
meningkatkan semangat serta minat murid untuk belajar.
SENI
PERGERAKAN
Menurut Shahril Awang
dalam bukunya yang bertajuk Seni Dalam Pendidikan, pergerakan membawa maksud
proses yang memandu murid untuk memperoleh kecekapan pergerakan menerusi teknik-teknik
menyelesaikan masalah dan improvisasi dengan menekankan kebebasan ekspresi yang
berteraskan kegiatan-kegiatan penerokaan, penemuan dan kreativiti. Dalam subjek
Kemahiran Hidup, seni pergerakan dapat dikaitkan dengan pergerakan semasa melaksanakan
kerja amali. Seperti yang kita sedia maklum, pergerakan sangat berkait rapat
dengan subjek Kemahiran Hidup kerana Kemahiran Hidup mempunyai banyak amali.
Dengan itu, seni
pergerakan memainkan peranan yang besar dalam subjek ini. Contohnya, dalam
tajuk Tanaman Sayuran, murid perlu melakukan pergerakan menyediakan tapak
penanaman, membaja sayur, menyiram sayur dan sebagainya. Pergerakan secara
asasnya terbahagi kepada tiga iaitu pergerakan lokomotor, bukan lokomotor dan
pergerakan manipulatif alatan. Selain itu, dalam Kemahiran Hidup juga murid
akan mempelajari cara bertukang dalam tajuk mereka cipta di mana murid akan mereka
dan membuat sendiri projek kayu. Untuk menghasilkan projek kayu, antara
pergerakan yang dilakukan termasuklah mengukur dan menanda kayu, mengergaji
kayu, mengecat dan sebagainya. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa seni
pergerakan sangat berkaitan dengan subjek Kemahiran Hidup.
Aktiviti seni pergerakkan mendorong
kanak-kanak menggunakan imaginasi, ekspresi, inkuri, dan kecerdasan pelbagai.
Ini kerana setiap pergerakan mendapat kawalan yang dipantau oleh otak kiri dan
kanan melalui proses mengimaginasi. Seterusnya, pergerakan-pergerakan kreatif ini
pula membolehkan murid menaakul dan membuat pertimbangan-pertimbangan rasional
mengenai apa yang hendak mereka lakukan. Integrasi seni ini juga melengkapkan
lagi perkembangan otak kiri dan otak kanan murid dan pada masa yang sama murid
akan belajar secara aktif dan menyeronokan. Di samping itu, guru juga dapat
mempelajari cara muridnya berfikir, bekerja dan mengekspresi kendiri. Justeru
itu, selain menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih menyeronokkan, ia juga
dapat mengembangkan lagi potensi murid.
SENI
MUZIK
Seni muzik merupakan salah
satu seni yang telah lama wujud dalam masyarakat kita. Seni muzik merupakan
salah satu hiburan yang paling diminati di negara kita sejak dahulu sehingga
kini. Ahli falsafah berpendapat manusia secara semula jadi mempunyai
tarikan terhadap muzik. Fakta ini jelas
kerana muzik menjadi kegemaran sejak manusia dilahirkan lagi. Muzik bukan
sahaja dinikmati melalui pancaindera malahan dapat dirasai melalui hati dan perasaan
seseorang. Secara amnya, matlamat pendidikan seni muzik ialah untuk
memperkembangkan potensi dan kualiti diri
individu dari segi nilai estetika muzik dan etika melalui pelbagai
pengalaman muzik ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup dalam konteks budaya
dan aspirasi negara. Jika dikaitkan dengan subjek Kemahiran Hidup, seni muzik
boleh diaplikasikan dalam menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran subjek
ini lebih menarik dan menyeronokkan.
Melalui seni muzik,
sememangnya dapat mempengaruhi corak pembelajaran murid terhadap subjek
Kemahiran Hidup. Seni ini akan mempengaruhi tahap konsentrasi dan kefahaman
murid untuk lebih memahami tentang isi kandungan pelajaran. Melalui seni muzik,
guru boleh menerapkan elemen teater untuk murid melakonkan watak-watak yang
dikehendaki. Contohnya untuk topik keusahawanan guru boleh mengarahkan murid
untuk melakonkan watak usahawan yang berjaya. Selain itu, untuk tajuk penanaman
sayuran pula murid juga boleh menerapkan kaedah-kaedah menanam yang betul dalam
lakonan. Ini akan memberi impak yang besar untuk murid mengekalkan memori untuk
menghafal ciri-ciri dan langkah-langkah yang terdapat dalam subjek ini.
Selain itu, Integrasi seni muzik dalam
subjek Kemahiran Hidup juga membantu dalam mengimbangkan perkembangan otak kiri
dan otak kanan. Ini diakui oleh beberapa tokoh seni muzik seperti Emile Jacques
Dalcroze, Carl Orff, Shinuchi Suzuki, Zoltan Kodaly dan Erwin Gordon yang
mengetengahkan teori pembelajaran berasaskan otak kanan dan otak kiri. Walaupun
setiap pengkaedahan muzik mempunyai latar belakang yang berbeza tetapi setiap
daripada mereka banyak memberi perhatian kepada penghayatan kepada murid.
Secara yang tersirat, pengertian ini menunjukkan bahawa murid-murid akan belajar
menggunakan kemahiran berfikir dan penghayatan secara berperingkat atau
“sequential”.
SENI
VISUAL
Seni visual terdiri
daripada empat bidang utama iaitu melukis dan membuat gambar, membuat rekaan
corak, membentuk dan membuat binaan serta bidang kraf tradisional. Dalam
kandungan pelajaran Kemahiran Hidup murid didedahkan dengan pertukangan dan
proses reka bentuk, ini semestinya murid perlu untuk mengingati setiap alatan
yang terlibat. Oleh itu, seni visual boleh diaplikasikan di mana guru boleh
mengarahkan murid untuk melukis setiap alat agar mereka lebih mengenali alat
tersebut. Ini sekaligus dapat memudahkan murid untuk menjawab soalan berkaitan alatan semasa peperiksaan. Contohnya apabila murid
sudah pernah melukis basikal, maka secara langsung murid akan dapat mengenal
pasti komponen-komponen basikal dan apabila soalan mengkehendaki murid untuk
melabelkan komponen sudah pasti murid dapat menjawab soalan tersebut dengan
mudah.
Bidang seni visual mendatangkan kesan positif dari segi meningkatkan kebolehan
murid dalam pengamatan dan memperkaya pengetahuannya tentang perbezaan-perbezaan
setiap objek atau imej tampak di sekeliling mereka. Ini diakui oleh Brown
(1980), yang berpendapat bahawa pengalaman kanak-kanak dalam memerhati ketika
melukis atau membuat lakaran dapat meningkatkan kebolehan-kebolehan murid dalam
aspek yang disebutkan. Jika kanak-kanak diberi pendedahan kaedah dan teknik
yang sempurna, mereka akan berkeupayaan mengembangkan pemikiran yang kritis.
.
3.0 KESIMPULAN
Integrasi kecerdasan
pelbagai melalui seni muzik, seni pergerakan dan seni visual dalam subjek
Kemahiran Hidup menjurus kepada pengetahuan yang berupaya meningkatkan kebolehan
dalam memahami gerak hati, membuat taakulan, berimaginasi dan kepantasan dalam
bentuk ekspresi dan komunikasi seorang
murid.Integrasi seni ini dapat membentu perkembangan menyeluruh dan seimbang
setiap insan dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani selari dengan
Falsafagh Pendidikan Negara. Melalui aktiviti integrasi seni ini, murid akan
terdorong untuk menggunakan imaginasi,
ekspresi, inkuiri dan kecerdasan pelbagai. Ia juga membantu dan memudahkan lagi
guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.
Seni dalam pendidikan berupaya membantu murid meningkatkan rasa
kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan
seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri,
keluarga, masyarakat dan negara selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan.Bagi guru pula, bidang seni dalam pendidikan akan memudahkan guru
menyediakan pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menarik kepada
murid. Guru juga lebih mudah untuk merancang, mereka bentuk serta melaksanakan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran yang lain.
Kesimpulannya, integrasi kecerdasan atau integrasi seni ini sangat
berkaitan dengan subjek Kemahiran Hidup.seni pergerakan penting semasa murid
melakukan kerja-kerja amali. Manakala seni visual pula dapat membantu murid
mengenal pasti komponen alatan melalui aktiviti melukis alatan. Akhir sekali
ialah visual muzik. Seni ini juga mempunyai peranan sendiri di mana seni ini
dapat meningkatkan semangat kefahaman murid mengenai isi pembelajaran melalui
aktiviti melakonkan ciri-ciri usahawan berjaya, langkah-langkah kerja dan
sebagainya. oleh itu, dengan adanya tiga integrasi seni ini maka proses
pengajaran dan pembelajaran subjek Kemahiran Hidup dapat dijalankan dengan
lebih menarik dan mudah difahami.