MY BELOVED FOLLOWER (^__^)

Wednesday, October 30

PANDUAN MENULIS OBJEKTIF RPH PJK

PENULISAN OBJEKTIF
Objektif yang hendak dicapai adalah berbentuk tingkahlaku / eksplisit iaitu yang
boleh dilihat untuk dinilai.


1. OBJEKTIF PSIKOMOTOR
3 perkara penting yang perlu diberi perhatian sebagai pra-syarat menulis
objektif psikomotor:
i. Apa - perlakuan yang perlu dilakukan/ditunjukkan oleh murid
ii. Bagaimana - situasi perlakuan tersebut
iii. Berapa – prestasi/pencapaian minimum yang dikehendaki atau syarat menandakan murid berjaya

Pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, murid-murid dapat:-
1. melakukan hantaran paras dada tepat kepada rakan sejauh 4 meter sebanyak 8
daripada 10 percubaan.
2. berlari ulang-alik (4 kali) sejauh 10 meter tanpa henti / dalam masa 15 saat.
3. lompat skip sejauh 15 meter sebanyak 3 kali / percubaan.
4. melambung pundi kacang dengan satu tangan setinggi 2 meter dan dapat
menyambut dengan tangan yang lain sebanyak 4 daripada 5 percubaan.
5. mengaplikasikan kemahiran hantaran lob dalam situasi permainan kecil
setiap kali menghantar bola kepada rakan.

2. OBJEKTIF KOGNITIF
Objektif Kognitif berkaitan dengan ilmu atau pengetahuan yang disampaikan kepada murid dan bagaimana murid dapat menterjemahkan atau mentafsirkan ilmu tersebut dalam bentuk lisan atau tulisan. Oleh itu, Kata Kerja yang digunakan dalam pernyataan objektif tingkah laku kognitif
amatlah penting. Kata Kerja ini hendaklah boleh membantu guru menilai (melihat)
sama ada objektifnya tercapai atau tidak.

Senarai 4 kata kerja yang boleh digunakan dalam pernyataan objektif kognitif.
i. menyenaraikan
ii. menjelaskan / menerangkan
iii. menyatakan
iv. mencipta

Pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, murid-murid dapat:-
1. menyenaraikan 3 posisi betul anggota badan semasa melakukan hantaran paras
dada.
2. menjelaskan sekurang-kurangnya 3 kesalahan yang biasa dilakukan semasa
membuat hantaran.
3. menyatakan sekurang-kurangnya 3 alat kebersihan diri untuk setiap anggota
badan iaitu muka, rambut, telinga, gigi dan badan.
4. mencipta 2 pantun empat kerat yang bertemakan ‘Keselamatan Di Jalan Raya’.

Ingat! Elakkan menggunakan frasa ‘dengan teknik yang betul / dengan cara yang betul’. Frasa ini terlalu umum dan kurang jelas tentang apa yang hendak dinilai.
Apabila perkataan ‘sekurang-kurangnya’ digunakan, ini bermaksud terdapat lebih jawapan daripada bilangan yang dinyatakan. Jika murid dapat memberi lebih dari yang diminta, maka murid tersebut berada di tahap yang membanggakan..

3. OBJEKTIF AFEKTIF
2 Kata Kerja yang tidak dapat membantu guru menilai ialah “mengetahui” dan “memahami”. Elak
guna dua perkataan ini.

Dalam penulisan objektif afektif, kita perlu memberi tumpuan kepada 3 perkara iaitu:
i. nilai atau sikap yang hendak dipupuk
ii. tingkah laku yang mencerminkan nilai atau sikap tersebut
iii. situasi di mana tingkah laku itu boleh wujud / dilihat

Pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, murid-murid dapat:-
1. menunjukkan sikap bertanggungjawab dengan menyimpan semua alatan ke
dalam stor di akhir pelajaran.
2. mengamalkan sikap kerjasama dengan membantu atau menyokong kawan
semasa membuat latihtubi kemahiran.
3. menunjukkan semangat kesukanan dengan memberi tepukan kepada pasukan
yang menjuarai permainan kecil.
4. Mempamerkan keyakinan diri dengan mengangkat tangan dan berdiri untuk
memberi jawapan semasa sesi perbincangan kelas.
5. menunjukkan kegembiraan dengan riang dan ketawa sepanjang melakukan
aktiviti.

Ingat!! Guru perlu wujudkan situasi agar tingkahlaku yang diingini dapat
dipupuk dan dilihat.