MY BELOVED FOLLOWER (^__^)

Wednesday, October 16

KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

KAEDAH
Kaedah merupakan satu siri tindakan guru yang sistematik  yang bertujuan untuk mencapai objektif pengajaran yang telah ditetapkan. Kaedah adalah Lebih bercorak jangka pendek dan merupakan usaha keseluruhan yang terdiri daripada prosedur tersusun dan adalah berdasarkan sesuatu pendekatan yang dipilih. Kaedah juga digunakan bagi mendokong pendekatan dipilih.

Kaedah Natural
Kaedah ini berasaskan penggunaan bahasa dalam situasi komunikatif seperti yang berlaku dalam pendekatan tradisional. Kurang  menekankan rujukan kepada analisis gramatikal, latih tubi gramatikal atau kepada teori tatabahasa tertentu. Menurut Krashen dan Terrell menyebut pendekatan ini sebagai natural, psikologikal, fonetik, baharu, diperbaharui, terus, analitik, tiruan dan sebagainya. Kaedah ini melihat bahasa sebagai satu alat untuk menghubungkan makna dan mesej.
Teori pembelajaran bahasa menurut kaedah ini melibatkan dua cara yang ketara untuk memperkembangkan keupayaan berbahasa iaitu penguasaan dan pembelajaran. Penguasaan ialah cara yang semula jadi, yang terlaksana sama seperti cara kanak-kanak menguasai bahasa pertama mereka. Manakala pembelajaran pula ialah proses yang melibatkan peraturan-peraturan secara sedar tentang bahasa diperkembangkan. Pengajaran yang formal diperlukan untuk membolehkan pembelajaran berlaku dan pembetulan kesalahan dapat membantu dengan perkembangan peraturan yang telah dipelajari


Kaedah Nahu Tradisional
Kaedah nahu tradisional ini diajar untuk membolehkan murid memahami nahu sesuatu bahasa dan juga melatih murid menulis menggunakan bahasa yang betul. Kaedah ini juga, membolehkan murid menterjemahkan bahasa asing ke bahasa natif dan sebaliknya. Ia juga bagi melengkapkan murid dengan perbendaharan kata yang luas yang dapat digunakan dalam penulisan.
Kaedah nahu tradisional ini bersifat deduktif  yang mementingkan bahasa tulisan daripada lisan. Teknik mengajar kaedah nahu tradisional ini ialah dengan memperkenalkan pelajar  kepada undang-undang nahu dahulu. Kemudian guru memberi penerangan kepada pelajar mengenai undang-undang ini dan kemudiannya memberi misalan. Undang-undang nahu ini perlu dihafal.

Kaedah terus
Kaedah ini mula diperkenalkan oleh Michell West dan Harald Palmer antara tahun 1920-1935. Kaedah ini dikatakan sama dengan kaedah askar kerana pernah digunakan untuk melatih pegawai tentera dan diplomat dalam Perang Dunia Kedua.
Kaedah terus mengutamakan prinsip-prinsip mengajar yang berdasarkan psikologi kanak-kanak. Kaedah ini amat sesuai untuk pengajaran bahasa kedua dan segala pengajaran tidak sekali-kali menggunakan bahasa yang telah diketahui oleh murid.
Kaedah ini bertujuan membolehkan kanak-kanak menguasai keempat-empat kemahiran bahasa itu secara berkesan dan membolehkan mereka menggunakan bahasa yang dipelajari itu dalam masyarakat berkenaan. Kaedah ini disampaikan berdasarkan empat asas iaitu perhubungan secara langsung antara perkataan dengan benda atau ayat dengan fikiran atau sebaliknya. Seterusnya pengajaran harus dikaitkan dengan pengalaman-pengalaman yang telah sedia ada. Kemudian harus menimbulkan  perasaan ingin tahu kanak-kanak.

Kaedah Kod Kognitif
Kaedah ini adalah berasaskan pendapat gologan mentalis yang memandang bahasa sebagai satu kreativiti mental. J.B Carroll menyatakan bahawa kaedah ini merupakan pembaharuan & pengubahsuaian kaedah nahu terjemahan. Menurut Chomsky pula, bahasa merupakan sistem rumus-rumus bahasa yang ternyata melalui bentuk linguistik. Pengetahuan bahasa adalah dalam bentuk abstrak,iaitu bersifat semulajadi dan sejagat.
Kaedah ini lebih menekankan bentuk dan makna. Seseorang yang ingin mempelajari sesuatu bahasa harus mengetahui sistem bahasa berdasarkan kepada hukum-hukum dan norma-norma tertentu dalam ilmu tatabahasa. Ciri-ciri kaedah kod kognitif ialah dalam P&P bahasa, lisan tidak ditekankan malah perkara yang diberi perhatian ialah bacaan dan tulisan. Pembelajaran tatabahasa diterapkan secara langsung dan boleh dilakukan melalui pendekatan deduktif . Pengetahuan tatabahasa amat dipentingkan.

Kaedah Bahasa Komuniti
Pembelajaran bahasa komuniti atau ‘Community Language Learning’ merupakan cara pembelajaran bahasa yang di asaskan oleh Charles A.Curran bersama dengan rakan-rakannya. La Forge (1983) murid Curran meluaskan teori CLL. Beliau mengesahkan bahawa teori bahasa mestilah bermula daripada ciri-ciri bunyi, ayat dan model-model abstrak bahasa. Seorang pelajar bahasa perlu memahami sistem bunyi, makna yang ditetapkan dan tatabahasa bahasa itu.
Teori bahasa diasaskan kepada bunyi-bunyi asas dan corak tatabahasa menyerupai teori struktural. Namun, pelopor CLL yang terkemudian telah mengemukakan satu teori bahasa  yang agak berlainan yang disebut sebagai ‘ Bahasa Sebagai Proses Sosial. Bagi CLL, pembelajaran manusia sebenarnya melibatkan kognitif dan afektif. Inilah yang disebut sebagai pembelajaran ‘Whole Person’. Pelajar tidak digalakkan belajar sendirian dan terasing daripada murid lain.

Kaedah Oral – Aural
Kaedah ini diajar adalah bagi tujuan membolehkan pelajar memperkembang keempat-empat kemahiran bahasa iaitu Kemahiran mendengar, Kemahiran bertutur, Kemahiran menulis dan Kemahiran membaca. Kaedah ini merupakan kemahiran lisan asas untuk pembelajaran membaca dan menulis. Ia membolehkan pelajar memahami kebudayaan asing melalui pengalaman dalam bahasa.

Kaedah ini menggunakan dialog untuk dihafaz dan diikuti secara ajukan. Latih tubi dan dialog dijalankan secara realistik dengan memberi perhatian kepada Intonasi yang betul, sebutan penutur jati bahasa itu dan bahan pita rakaman boleh digunakan jika gurunya bukan penutur jati bahasa yang diajar. Setelah pelajar menguasai bacaan, latihan diteruskan kepada aktiviti menulis.