MY BELOVED FOLLOWER (^__^)

Sunday, June 16

PERLEMBAGAAN DI MALAYSIA

PERLEMBAGAAN

Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah undang-undang bertulis yang tertinggi dan terutama yang menjadi rujukan bagi pentadbiran negara. Perlembagaan ini mengagihkan kuasa tadbir urus negara menurut amalan sistem Kerajaan Demokrasi Berparlimen. Perlembagaan ini boleh dipinda dengan sokongan majoriti sekurang-kurangnya dua pertiga di Parlimen.

Di Malaysia, sebahagian daripada hak-hak asasi manusia adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Antara lain, Perlembagaan ini menjamin kebebasan untuk hidup, kebebasan bergerak, bersuara, berhimpun dan berpersatuan; beragama dan juga hak-hak bersangkutan pendidikan. Setiap warganegara perlu mengetahui hak asasi masing-masing seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


SEJARAH PERLEMBAGAAN MALAYSIA


Asas Perlembagaan Persekutuan Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Berikutan kemenangan Parti Perikatan dalam Pilihanraya Persekutuan pertama pada 1955, Tunku Abdul Rahman Putra telah dipilih sebagai Ketua Menteri Pertama.

Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merupakan langkah pertama ke arah membentuk Kerajaan sendiri selepas Britain bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 1956.  Untuk tugas penggubalan Perlembagaan, Kerajaan British telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja terdiri daripada wakil Kerajaan British sendiri, penasihat Majlis Raja-Raja dan pemimpin-pemimpin parti.

Pada Januari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan ke London untuk membincangkan soal penggubalan Perlembagaan Persekutuan dan merundingkan tarikh kemerdekaan untuk negara.  Pada Mac 1956 satu Suruhanjaya Perlembagaan diketuai Lord Reid telah ditubuhkan untuk merangka dan meneliti Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Suruhanjaya tersebut telah mendapatkan pandangan parti-parti politik, persatuan-persatuan bukan politik dan individu tentang bentuk negara dan bangsa bagi negara ini. Dalam proses rundingcara itu, satu memorandum daripada parti Perikatan telah mendapat keutamaan.
Memorandum berkenaan, yang disebut sebagai Pakatan Murni, iaitu persetujuan secara bertolak ansur demi kepentingan bersama serta persetujuan menghormati hak-hak orang lain, menyentuh lima perkara utama iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata.

Perlembagaan yang digubal Suruhanjaya Reid ini diiktiraf Jawatankuasa Kerja sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mulai tarikh kemerdekaan negara iaitu pada 31 Ogos 1957. Bila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1963, beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dan nama negara ditukar kepada Malaysia.