MY BELOVED FOLLOWER (^__^)

Tuesday, August 14

TEORI PEMBELAJARAN SOSIAL


Latarbelakang
Teori pembelajaran sosial diperkenalkan oleh Albert Bandura, seorang ahli psikologi Kanada. Bandura dilahirkan pada 4 Disember 1925 di Mondare Alberta, Kanada. Bandura merupakan anak bongsu daripada enam orang adik-beradik. Bandura mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah kecil yang mempunyai hanya dua orang guru. Setelah menamatkan pelajaran dalam bidang psikologi selama tiga tahun di Universiti British Columbia, Bandura meneruskan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Lowa. Bandura mengikuti program yang mengkaji teori pembelajaran sosial. Pada tahun 1953, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang psikologi klinikal. Pada tahun 1953, beliau telah mula berkhidmat sebagai tenaga pengajar  di Universiti Stanford sehingga sekarang.

Teori pembelajaran sosial
Menurut Albert Bandura, manusia secara semula jadi belajar melalui proses peniruan dan pemerhatian iaitu dengan cara melihat orang lain melakukan, mendapat ganjaran daripada perlakuan atau melihat orang menerima hukuman daripada perlakuan. Pada awalnya, teori ini dikenali sebagai teori pembelajaran sosial. Teori sosial kemudiannya berkembang sebagai teori kognitif-sosial kerana proses kognitif juga terlibat dalam teori ini. Teori ini menekankan bahawa secara semula jadi manusia belajar melalui proses peniruan. Manusia meniru bukan sahaja tingkah laku yang baik tetapi juga tingkah laku yang tidak diterima masyarakat. Contohnya, kanak-kanak dan remaja pada hari ini memperaga pelbagai fesyen hasil ikutan penyanyi atau pelakon kesukaan mereka tanpa memikirkan pandangan masyarakat terhadap frsyen tersebut. Teori sosial menjelaskan bagaimana proses peniruan ini berlaku.

Social Cognitive Theory examines the processes involved as people learn from observing others and gradually acquire control over their own behaviour’
( Bandura 1986, 1997 )

Teori sosial juga dikenali sebagai teori pembelajaran peniruan dan pembelajaran pemerhatian atau modeling. Terdapat tiga bentuk peniruan iaitu peniruan secara langsung, peniruan sekatan laluan dan tak sekat laluan serta peniruan elisitasi. Peniruan secara langsung ialah peniruan yang berlaku secara langsung apabila melihat model melakukan sesuatu. Contohnya, guru menunjukkan cara menyepak bola, maka pelajar mengikut langkah menyepak bola tersebut. Manakala peniruan elisitasi pula ialah peniruan yang melibatkan emosi dan keinginan. Contohnya, apabila melihat manusia melakukan perniagaan dan berjaya dalam perniagaan tersebut, maka timbul keinginan individu untuk melibatkan diri dalam perniagaan tersebut. Seterusnnya, peniruan sekatan laluan dan tak sekatan laluan pula ialah peniruan yang melibatkan tindakan yang boleh dillakukan dalam semua situasi dan tindakan yang hanya boleh dilakukan dalam situasi tertentu. Contoh bagi peniruan ini ialah sapaan tidak formal sesuai digunakan dalam situasi tidak formal. Panggilan sapaan ibu, kakak, abang atuk dan ayah pula boleh digunakan mengikut kesesuaian.
Terdapat empat langkah meniru menurut Bandura. Langkah pertama ialah tumpuan perhatian. Dalam langkah ini, individu hendaklah memerhatikan perlakuan model. Proses pemerhatian ini boleh berlaku berulang-kali. Pemerhatian juga boleh dilakukan ke atas beberapa tingkah laku. Contohnya, pelajar memerhati tunjuk cara guru menanam anak pokok bunga langkah demi langkah. Sambil membuat tunjuk cara, guru tersebut memberi penerangan. Langkah kedua ialah penyimpanan dalam ingatan. Semasa memerhati tingkah laku guru, pelajar akan menyimpan dalam ingatan. Hal ini menyebabkan berlakunya proses mental yang melibatkan proses menyimpan dan merekod. Seterusnya, langkah ketiga iaitu pengeluaran. Dalam langkah ini, segala maklumat, tingkah laku atau kemahiran yang disimpan akan dikeluarkan dalam bentuk perlakuan. Contohnya, setelah guru selesai melakukan tunjuk cara, pelajar melakukan aktiviti menanam anak pokok bunga secara berkumpulan. Langkah terakhir ialah motivasi dan pengukuhan. Apabila pelajar berasa seronok, berjaya atau mendapat peneguhan daripada orang lain, maka tingkah laku akan diulang dan diperkukuhkan. Aktiviti menanam anak pokok bunga akan menjadi lebih mudah apabila pelajar mendapat peneguhan daripada guru dan rakan-rakan. Ini seterusnya akan mendorong pelajar untuk sentiasa bersemangat dalam apa jua aktiviti yang dijalankan dalam kelas.
Dalam teori sosial, orang yang ditiru tingkah laku dipanggil model dan tekniknya ialah modeling. Menurut Ormrod (2008), model dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu model sebenar dan model simbolik. Model sebenar juga dikenali sebagai model hidup. Model ini merupakan tingkah laku orang, haiwan atau objek yang ditiru. Contohnya, guru merupakan model sebenar apabila dia menunjuk cara menanam anak pokok kepada pelajar. Model simbolik pula merujuk kepada langkah kerja atau prosedur. Model simbolik boleh dalam bentuk bahasa atau bentuk visual iaitu gambar, carta alir dan gambar rajah. Contohnya, resepi memasak. Model simbolik termasuklah watak dalam cerita, tokoh sejarah serta tingkah laku watak-watak yang ditonton dan didengar melalui media dan televisyen.
Satu kajian yang telah dibuat oleh Albert Bandura iaitu uji kaji anak patung Bobo. Kanak-kanak tadika dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk menonton video. Kumpulan 1 menonton video orang dewasa bertindak kasar dengan memukul, mengetuk dan menendang Bobo. Perbuatan itu mendapat peneguhan. Kumpulan 2 pula, menonton video yang sama tetapi tidak mendapat peneguhan. Manakala kanak-kanak kumpulan 3 menonton tindakan orang dewasa yang tidak bertindak ganas. Selepas menonton, kanak-kanak dimasukkan  ke dalam bilik permainan yang terdapat patung Bobo. Kanak-kanak kumpulan 1 bertindak ganas seperti yang diperhatikan dalam video. Kanak-kanak kumpulan 2 kurang bertindak ganas tetapi apabila diberi peneguhan kanak-kanak bertindak sebagimana yang diperhatikan. Kanak-kanak kumpulan 3 pula tidak menunjukkan sikap ganas terhadap anak patung Bobo. Kesimpulan bagi kajian ini ialah kanak-kanak meniru tingkah laku yang diperhatikan, terutama tingkah laku yang mendapat peneguhan.
Secara keseluruhannya, unsur utama teori pembelajaran sosial ialah pemerhatian dan peniruan. Tingkah laku model juga boleh dipelajari melalui bahasa, misalan dan teladan. Dalam teori ini, pelajar meniru sesuatu kemahiran daripada kecekapan demontrasi guru sebagi model. Ringkasnya, proses pembelajaran sosial meliputi pemerhatian, peniruan dengan tingkah laku atau gerak balas yang sesuai dan diakhiri dengan peneguhan yang positif. Oleh itu, guru perlu memastikan pelajar dapat melihat model dengan jelas dengan menegaskan perlakuan yang hendak ditiru dan diperkukuhkan. Ulang dan tegaskan langkah yang penting serta beritahu sebab dan kewajaran langkah tersebut.