MY BELOVED FOLLOWER (^__^)

Wednesday, July 2

PENERANGAN PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA





Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia terdapat lima aspirasi sistem pendidikan yang menjadi dasar memenuhi keperluan rakyat dan menyediakan Negara untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Visi dan aspirasi ini menjadi landasan transformasi sistem pendidikan Malaysia. PPPM berhasrat mencapai lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan iaitu akses, kualiti, ekuiti, uniti dan efisien. Setiap aspirasi mempunyai kepentingan sendiri.
                     Aspirasi akses mengkehendaki setiap kanak-kanak warganegara Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Kementerian berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas menjelang 2020. Terdapat dua elemen penting dalam aspirasi Akses. Pertama, memastikan semua murid bersekolah dan kedua, memastikan murid kekal bersekolah dalam tempoh yang ditetapkan.
                     Manakala dalam aspirasi Kualiti, semua kanak-kanak akan berpeluang mendapat pendidikan cemerlang berdasarkan keunikan sistem pendidikan di Malaysia, dan setanding dengansistem pendidikan antarabangsa. Aspirasi sistem pendidikan negara adalah untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa dalam tempoh 15 tahun yang akan datang. Pentaksiran tambahan yang menangani dimensi kualiti lain yang relevan dengan konteks Malaysia boleh dimasukkan apabila dimensi itu dibangunkan dan diterima di peringkat antarabangsa.
                     Disamping itu, aspirasi Ekuiti Sistem pendidikan berprestasi tinggi menyediakan pendidikan yang terbaik kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira kedudukan geografi, gender atau latar belakang sosioekonomi. Kementerian berhasrat untuk merapatkan lagi jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara gender sehingga 50% menjelang 2020.
                     Aspirasi uniti pula mengkehendaki murid yang berusia antara 7 hingga 17 tahun menghabiskan lebih satu perempat daripada masa mereka di sekolah. Melalui interaksi bersama murid lain daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, agama dan etnik, murid belajar memahami, menerima dan menghayati perbezaan. Keadaan ini mewujudkan suatu perkongsian pengalaman dan aspirasi bagi membina masa hadapan Malaysia. Kementerian berhasrat menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman dan aspirasi demi membentuk dan memperkukuhkan lagi asas perpaduan rakyat Malaysia.

                     Aspirasi terakhir ialah Efisien. Sistem pendidikan Malaysia telah menerima peruntukan yang tinggi, namun peningkatan keberhasilan murid masih tidak sepadan dengan sumber yang telah disalurkan ke dalam sistem. Walaupun Kerajaan akan terus mengekalkan tahap pelaburan semasa, Kementerian berhasrat untuk memaksimumkan keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa.