MY BELOVED FOLLOWER (^__^)

Wednesday, July 2

KAEDAH MEMBACA


a.    Kaedah Fonik
Kaedah fonik merupakan kaedah mengajar membaca dengan melatih pelajar-pelajar menghubungkaitkan bunyi-bunyi tertentu dengan lambang-lambang tertentu (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010:414). Jelaslah bahawa kaedah fonik ini merupakan kaedah pengajaran membaca yang lebih menekankan terhadap proses membunyikan huruf-huruf yang hadir dalam teks bacaan. Hal ini kerana kebiasaannya pada peringkat awal, kanak-kanak menghadapi kesukaran untuk memahami perkataan-perkataan yang mempunyai suku kata yang panjang dan banyak. Hal ini telah menyebabkan mereka gagal untuk memahami makna perkataan tersebut. Oleh sebab itu, sebagai langkah awal, kanak-kanak perlu diajar untuk menyebut huruf-huruf yang hadir dalam perkataan kerana dengan cara ini mereka akan mencuba untuk menyebut bunyi huruf-huruf tersebut dengan sebutan yang betul sekali gus mereka akan melatih diri mereka untuk mengeja suku kata perkataan tersebut.       
            Selain itu, menurut Naffi Mat (2006:87), kaedah fonik ini amat bersesuaian dengan pelajar KBSR. Hal ini kerana pendekatan ini lebih mementingkan kaedah bunyi fonem yang merupakan hasil gabungan antara suku kata dan kaedah pandang sebut. Sebagai contohnya, jika guru menunjukkan huruf “m” sambil menyebutnya, murid-murid akan mengikut bunyi yang disebut oleh guru sehingga mereka dapat mengingati huruf berserta bunyi bagi huruf tersebut. Kemudian guru akan menggabungkan huruf konsonan dengan huruf vokal bagi membentuk suku kata seperti “m” + “a” = “ma”. Jika proses pengajaran berjalan dengan lancar, guru boleh melanjutkan pembelajaran dengan membentuk satu suku kata tertutup yang lain”, iaitu “mak”. Guru boleh menggabungkan kedua-dua suku kata tersebut untuk membentuk perkataan “mamak’ dan guru boleh meminta murid-murid untuk membaca perkataan “mamak” secara berulang kali sehingga murid-murid mahir dan menguasai makna perkataan tersebut.
b.    Kaedah Pandang Sebut
Pendekatan ini merupakan kaedah yang dimulakan dengan mendedahkan pelajar-pelajar kepada perkataan-perkataan. Kaedah ini berbeza dengan pendekatan kaedah fonik yang lebih mementingkan pembelajaran huruf (fonem) atau suku kata kepada pelajar-pelajar terlebih dahulu. Proses pengajaran dengan menggunakan kaedah ini boleh dimulakan dengan aktiviti memandang dan menyebut beberapa perkataan. Guru boleh menggunakan alat bantu mengajar (ABM) dengan menyediakan beberapa keping gambar yang melambangkan perkataan-perkataan yang disebut. Oleh itu, pelajar boleh melihat gambar yang ditunjukkan oleh guru dan mereka perlu menyebut perkataan-perkataan yang mewakili gambar-gambar tersebut dengan tepat.

            Selain itu, kaedah ini berfungsi dengan pelajar perlu mengecam dan mengenal pasti keseluruhan perkataan. Setelah pelajar berjaya mengecam perkataan tersebut, pelajar tidak mengeja atau membunyikan suku kata perkataan tersebut, tetapi pelajar perlu menyebut perkataan tersebut. Dengan erti kata lain, dalam  konteks ayat pendek dan mudah, pelajar-pelajar tidak mengeja satu persatu perkataan yang terdapat dalam binaan ayat tersebut, tetapi pelajar-pelajar akan terus menyebut ayat tersebut setelah mereka mampu mengecam ayat tersebut. Kaedah ini memerlukan latih tubi yang berterusan kerana tahap pelajar-pelajar yang mampu untuk  menguasai kemahiran membaca terus adalah berbeza-beza. Hal ini kerana kebiasaannya pada peringkat awal, kanak-kanak sukar untuk menyebut perkataan-perkataan atau rangkai kata tanpa perlu mengeja terlebih dahulu.

c.    Kaedah Abjad-Suku Kata


Kaedah ini merupakan kaedah gabungan antara Kaedah Abjad dan Kaedah Suku Kata. Pelajar sekolah rendah sangat sesuai untuk mengaplikasikan kaedah ini dalam pembelajaran mereka. Menurut Sofia Hamid (1981), pada peringkat awal murid-murid diajar mengenal huruf sebelum mereka mengenal perkataan. Huruf-huruf tersebut digabungkan dengan menjadi suku kata. Gabungan huruf vokal dan konsonan akan membentuk suku kata, kemudian dijadikan perkataan dan seterusnya dijadikan ayat. Melalui kaedah yang bersifat binaan ini, pelajar atau pembaca mesti belajar mengenal huruf sebelum mereka boleh membaca perkataan. Oleh itu, murid dapat memproses maklumat berkaitan huruf , suku kata, perkataan dan ayat.