MY BELOVED FOLLOWER (^__^)

Tuesday, September 9

PENILAIAN

PENILAIAN
3.1 Definisi
Penilaian merupakan satu proses untuk menghasilkan nilai kuantitatif untuk menentukan peringkat pencapaian dan kedudukan dalam pembelajaran. Penilaian merangkumi aspek pengujian dan pengukuran. Penilaian juga dapat didefinisikan sebagai satu proses/prosedur yang sistematik bagi membuat pertimbangan dalam mentafsir hasil pengukuran, yang bertujuan untuk memberi maklumat tentang pencapaian akademik, kemahiran atau sikap.
Penilaian merupakan satu proses atau aktiviti yang bersistematik bagi memperoleh maklumat yang berguna dalam menentukan sesuatu prestasi.  Dalam kurikulum Bersepadu sekolah Rendah (KBSR) semakan (2003) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (mulai 2011), penilaian merupakan satu proses untuk menguji, mengukur dan membuat pertimbangan tentang kebolehan atau kemahiran dan kefahaman murid berdasarkan objektif pengajaran dan pembelajaran.
Stufflebeam et al. (1971) menyatakan bahawa “accessment is the process of delineating, obtaining and providing useful information for judgements decision alternatives”. Kenyataan beliau bermaksud penilaian adalah satu proses untuk mendapatkan maklumat yang akan digunakan untuk membuat pertimbangan yang seterusnya digunakan dalam membuat keputusan.
Menurut Gay (1985) pula berpendapat bahawa, penilaian ialah satu proses yang dianggap sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai. Penilaian ini membantu guru supaya dapat membuat pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran. Prosedur penilaian mengandungi aspek pengujian, pengukuran, penganalisisan serta merumuskan data yang diperolehi. Penilaian juga boleh dilaksanakan berdasarkan lima prosedur seperti berikut : 
Penilaian dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan aspek penting yang dapat membantu meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di samping dapat mencungkil potensi dan bakat pelajar. Guru perlu menjalankan penilaian secara berterusan untuk membentuk perkembangan pelajar secara menyeluruh dan seimbang. Penilaian secara berterusan boleh dibuat melalui berbagai cara seperti pemerhatian proses dan hasil tugasan pelajar (Yap Yee Khiong, Wan Chwee Seng dan Ismail, 1985)
3.2 Tujuan Penilaian
Penilaian adalah penting sebelum pengajaran dan pembelajaran bermula kerana guru perlu meninjau sejauh manakah pelajar-pelajarnya menguasai pengetahuan dan kemahiran asas kepada tajuk yang hendak diajar. Misalnya, seseorang guru Bahasa Melayu yang akan mengajar pelajar bukan penutur asli bahasa Melayu, perlu mengetahui aspek pengetahuan dan kemahiran manakah yang telah mereka kuasai, seperti tatabahasa, perbendaharaan kata dan sebagainya. Maklumat ini penting untuk guru membuat keputusan dalam menentukan peringkat yang bersesuaian untuk memulakan pengajaran.
Selain itu, guru juga dapat memilih pelajar untuk dikelompokkan dalam sesuatu kumpulan berasaskan tahap penguasaan mereka. Sekiranya penguasaan mereka berbeza, guru perlu menempatkan mereka mengikut tahap penguasaan masing-masing dan seterusnya merancang dan melaksanakan pengajaran mengikut keperluan mereka yang berbeza-beza itu. Dalam keadaan ini, tujuan penilaian ialah untuk memilih dan menempatkan pelajar mengikut penguasaan pengetahuan dan kemahiran mereka.
Selain memulakan sesi pengajaran, tujuan penilaian juga adalah untuk memilih dan menempatkan pelajar mengikut aliran tertentu. Misalnya, keputusan pelajar yang cemerlang dalam mata pelajaran sains memungkinkan ditempatkan dalam aliran sains atau mengikut kecenderungan seseorang murid berkenaan.
Penilaian juga dapat digunakan untuk tujuan bimbingan dan kaunseling kepada pelajar yang memerlukannya. Setiap pelajar sepatutnya mempunyai motivasi untuk belajar dan ia mungkin bersifat intrinsik, iaitu motivasi daripada dalam diri pelajar itu sendiri. Contohnya, mereka yang belajar disebabkan ingin mengetahui sesuatu dengan mendalam, akan memperoleh pencapaian yang baik dan seterusnya akan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Selain motivasi yang bersifat intrinsik ini, terdapat pula motivasi yang bersifat ekstrinsik/luaran, iaitu motivasi daripada luar, seperti dorongan daripada ibu bapa/rakan sebaya atau nasihat daripada guru/guru besar.
Membantu guru mengetahui keupayaan penguasaan pelajar, membantu guru dalam membuat perbandingan antara seseorang pelajar dengan rakan-rakannya atau antara kelas tersebut dengan kelas yang lain, membuat perbandingan pencapaian pelajar dalam subjek tersebut dengan pencapaian dalam subjek lain, menentukan pelajar yang tinggi keupayaannya dan yang amat lemah keupayaannya dan lemah pencapaiannya, membantu guru dalam menentukan pengayaan dan pemulihan bagi pelajar yang berkenaan, membantu guru dalam membuat jangkaan terhadap potensi atau bakat pelajar terhadap pembelajaran, membolehkan guru menilai bahan-bahan dan teknik serta kaedah pengajaran mereka, melalui ujian penilaian yang dilakukan guru dapat berusaha meningkatkan keberkesanan pengajaran mereka dan pelajar berpeluang mengetahui kelemahan dalam sesuatu kemahiran atau bidang dan segera memperbaikinya.
3.2 Bentuk Penilaian
Menurut Tuan Jah Tuan Yusof PhD dan Faridah Nazir PhD (2014) telah menyatakan terdapat tiga jenis ujian dalam penilaian iaitu penilaian mengesan penguasaan, penilaian mengesan kemajuan dan penilaian mengesan pencapaian. Berikut merupakan rajah jenis-jenis penilaian;
Rajah 7 : Jenis-Jenis Penilaian


Penilaian mengesan penguasaan ialah penilaian yang dijalankan ketika guru berada di dalam bilik darjah. Penilaian ini bertujuan untuk mengesan kelemahan penguasaan muriddalam sesuatu kemahiran yang sedang diajarkan, supaya kelemahan tersebut dapat dibetulkan serta merta.
Manakala penilaian mengesan kemajuan pula ialah penilaian yang dilakukan selepas beberapa kemahiran dalam sesuatu topik telah diajarkan. Penilaian ini bertujuan untuk mengesan kemajuan murid tentang kemahiran-kemahiran yang telah dipelajari supaya dapat menentukan siapa yang memerlukan aktiviti pengayaan dan pemulihan.

Penilaian mengesan pencapaian ialah penilaian yang dijalankan selepas guru telah mengajar beberapa topik pelajaran, biasanya dalam tempoh satu penggal. Penilaian ini bertujuan untuk mengesan pencapaian murid dalam beberapa topik pelajaran untuk menentukan kedudukan murid-murid dalam kumpulan masing-masing.