MY BELOVED FOLLOWER (^__^)

Tuesday, September 9

PENTAKSIRAN

PENTAKSIRAN
1.1 Definisi Pentaksiran
Menurut Tuan Jah Tuan Yusof PhD dan Faridah Nazir PhD (2014) dalam buku mereka Pentaksiran Bahasa Melayu Sekolah Rendah menjelaskan konsep pentaksiran ialah satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya melakukan penghakiman tentang sesuatu produk pendididkan. Maklumat tersebut meliputi hal-hal berkaitan topik, bukti dan prestasi. Penghakiman pula melibatkan hal-hal seperti pertimbangan dan pencapaian aspek pendidkan manakala produk melibatkan pengetahuan, kemahiran dan nilai. Tambahan pula, proses pendidikan meliputi operasi, dapatan dan hasil.
Menurut Shamsina Shamsuddin (2013) dalam bukunya Penggubalan Item Soalan juga menyatakan pentaksiran ialah proses mengenal pasti, mengumpul dan mengintepretasi maklumat mengenai pembelajaran murid. Maklumat yang diperoleh seterusnya dikaitkan dengan objektif atau matlamat pembelajaran yang telah dikenal pasti. Matlamat utama pentaksiran adalah untuk menyediakan maklumat mengenai pencapaian dan kemajuan murid serta menetapkan tunjuk arah pengajaran dan pembelajaran.
Pentaksiran merupakan satu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menginterpretasi maklumat tentang pembelajaran seseorang pelajar bagi sesuatu tujuan (LPM, 2000). Pentaksiran juga merupakan satu proses untuk mendapatkan gambaran tentang prestasi pembelajaran seseorang pelajar dalam sesuatu subjek atau aktiviti pembelajaran. Aktiviti pentaksiran dijalankan secara berterusan.
Antara tujuan pentaksiran ialah untuk mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran, menilai aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran, mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan pembelajaran memperbaiki pengajaran-pembelajaran. Di samping itu, pentaksiran juga bertujuan untuk memudahkan guru merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan sistematik bersesuaian dengan tahap keupayaan murid dengan melibatkan semua atau sebahagian besar murid dalam kelas secara efektif, merancang dan melaksanakan aktiviti tindak susul yang berkesan serta memperbaiki pengajaran dan pembelajaran.

1.2 Bentuk Pentaksiran
Untuk memperoleh maklumat dan melakukan penghakiman tentang pendidikan, para-para pendidik perlu melakukan pengukuran, dan pengukuran yang dilakukan memerlukan para-para pendidik menggunakan kaedah-kaedah pentaksiran tertentu. Maka, dapat dilihat terdapat lima kaedah yang sesuai digunakan ketika melakukan pentaksiran seperti dalam rajah di bawah:
Rajah 3 : Kaedah Pentaksiran

           

1.2.1 Kaedah Portfolio
Portfolio pada umumnya merupakan folder atau fail yang mengandungi bahan-bahan yang dikumpulkan untuk sesuatu tempoh bagi menggambarkan atau menjelaskan perkembangan kognitif pelajar tentang sesuatu tugasan yang pernah diarahkan. Portfolio merupakan satu kaedah yang digunakan untuk mengumpul dan merekodkan bukti pencapaian pelajar dalam satu jangka masa yang dipersetujui. Setiap maklumat perlu disediakan dan dikumpulkan dalam satu folder sebagai bukti.

Portfolio juga terdiri daripada bahan-bahan yang menunjukkan kemajuan pelajar terhadap pencapaian matlamat pembelajaran untuk satu jangka masa (Ryan & Kuhs, 1993). Juga, merupakan satu sistem pelbagai dimensi yang memberi gambaran lengkap tentang kebolehan dan perkembangan pelajar (Harlin, 1992). Kesimpulannya, portfolio merupakan satu bentuk sejarah pembelajaran pelajar yang didokumentasi dan diperkukuhkan dengan bukti-bukti hasil kerjanya dan kesedaran baru melalui penulisan reflektif ( Shulman, 1992).
Melalui kaedah pentaksiran portfolio, guru dapat memperkasa pelajar dengan mengalakkan amalan menilai iaitu mengkritik dan memberi maklum balas kepada sesuatu perkara. Kaedah ini juga dapat menggalakkan pelajar memberi tumpuan kepada kekuatan diri, memberi ruang kepada pelajar untuk meningkatkan bidang-bidang kemahiran dan perkembangan diri, menggabungkan semua aspek pembelajaran dengan melihat pelajar sebagai lengkap-melengkapi dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual, menawarkan kepelbagaian, memberi galakan kepada pelajar untuk mengambil bahagian secara aktif dalam menilai diri serta memberi pendekatan baru bagi menilai kemajuan pelajar.

1.2.2     Kaedah Pemerhatian
Kaedah yang sangat mudah iaitu pemerhatian terhadap perlakuan dan tindak balas responden tanpa terlibat secara langsung untuk merancang tindak balas. Kaedah in tidak memerlukan sebarang instrumen. Pemerhatian boleh dilakukan dengan menggunakan mata kasar dan tidak memerlukan kos yang tinggi untuk dijalankan. Kaedah pemerhatian merupakan satu kaedah penyelidikan yang digunakan untuk mengukur pemboleh ubah penyelidikan.
Pemerhatian juga merupakan alternatif yang ada dalam mengumpul maklumat atau pengumpulan data selain soal selidik dan temuduga. Melalui pemerhatian, penyelidik dapat mengamati sesuatu tingkah laku subjek berpandukan pemboleh ubah-pemboleh ubah yang telah dikenal pasti. Peranan penyelidik ialah sebagai pemerhati terhadap perubahan-perubahan tingkah laku, mendengar, serta melihat tingkah laku subjek sama ada dari jauh atau dari dekat.


Menggunakan kaedah ini, penyelidik atau pemerhati perlu rnemerhati sampel-sampelnya dalam tempoh masa yang tententu. Kaedah pemerhatian ini banyak digunakan dalam bidang sains tulen yang menjalankan kajian dalam makmal sains dan bidang sains sosial. Biasanya ciri-ciri yang ingin diperhati adalah sangat halus dan terperinci dan ini menjadikan keputusan yang dibuat lebih tepat.
Kaedah pemerhatian sesuai digunakan khususnya apabila penyelidik mengkaji perkembangan tingkah laku sesuatu unit sosial, misalnya mengkaji perkembangan tingkah laku kanak-kanak, kesan kesesakan terhadap kecenderungan pemberontakan, kesan kebisingan terhadap tingkah laku agresif dan kebimbangan di kalangan individu yang menghadiri temuduga.
Sebelum membuat pemerhatian, penyelidik perlu membuat perancangan yang baik dan teliti. Setiap pemerhatian mestilah mempunyai tujuan tertentu, dilakukan secara sistematik, mempunyai fokus, dan mestilah dicatatkan secara rapi dan betul. Catatan yang dibuat mestilah tepat, sah, dan boleh dipercayai.
Menurut Kerlinger (1973), terdapat beberapa kategori pe­merhatian iaitu kategori tingkah laku, unit tingkah laku, paras tafsiran pemerhati, generalisasi dan penggunaan serta pensampelan tingkah laku. Kategori-kategori tersebut memperincikan ciri-ciri tingkah laku yang perlu diperhati dan direkodkan.
Tingkah laku saling berkaitan antara satu sama lain. Tingkah laku yang berkait dan berlaku berterusan ini perlu dikategorikan ke dalam golongan yang eksklusif. Dengan kata lain, semua kemungkinan tingkah laku yang berlaku seharusnya upaya dikenal pasti dan tidak bertindan antara satu sama lain. Sistem pengkodan kategori tingkah laku oleh Flanders (1974) adalah satu contoh kaedah merekod maklumat yang melalui kaedah ini proses merekod maklumat dapat dilakukan dengan mudah dan te­pat.
Semakin kecil unit tingkah laku digunakan untuk merekod pemerhatian, semakin senang tingkah laku tersebut diperhati dan direkodkan. Penggunaan unit tingkah laku yang kecil akan meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan pemerhatian. Selain itu, paras tafsiran pemerhati juga akan mempengaruhi ketepatan maklumat mengenai tingkah laku yang diperhatikan. Kesukaran mengadakan piawaian dalam paras tafsiran pemerhati sering menjejaskan ketepatan dan kesempurnaan data yang diperoleh.

Perhatian khusus perlu diberikan dalam membuat generalisasi sesuatu tingkah laku kerana sesetengah tingkah laku bersifat khusus untuk penyelidikan tertentu sahaja, sementara sesetengah yang lain boleh digunakan dalam pelbagai penyelidikan. Selain isu mengenai generalisasi ini, isu yang lain ialah pensampelan tingkah laku. Umumnya tingkah laku yang kompleks terjadi secara berterusan dan agak mustahil penyelidik dapat memerhati tingkah laku tersebut secara berterusan.
Bagi mengatasi masalah ini, penyelidik mestilah membuat pensampelan sama ada pensampelan tingkah laku atau pun pensampelan masa. Persampelan tingkah laku merujuk kepada jenis kejadian yang hendak dijadikan sampel, sementara pensampelan masa pula merujuk kepada perwakilan masa yang dapat mewakili masa berlakunya tingkah laku yang diperhati

1.2.3 Kaedah Penulisan
Pentaksiran kaedah penulisan terbahagi kepada dua iaitu objektif dan subjektif. Soalan objektif bentuk mudah memerlukan murid menberi jawapan pendek, betul salah atau padanan serta soalan aneka pilihan dan penafsiran. Berbanding soalan subjktif lebih sukar dibina, kurang darjah kebolehpercayaan di mana kebolehpercayaan dan kesahan boleh dipersoalkan dalam kualiti jawapan dan bagaimana soalan diperiksa. Selain itu, draf jawapan mesti tepat dan tidak mengelirukan, skema disediakan semasa soalan dibina serta perlu diperiksa dua kali atau lebih dari seorang pemeriksa

1.2.4     Kaedah Lisan
Kaedah lisan iaitu pembelajaran kemahiran mendengar dan bertutur memerlukan guru menguasai kaedah yang tepat. Kaedah merujuk kepada prosedur-prosedur mengajar yang wujud berdasarkan pendekatan pengajaran bahasa yang digunakan oleh guru. Pendekatan pengajaran bahasa yang digunakan adalah berlandaskan teori linguistik dan psikologi. Oleh itu, sesuatu kaedah yang digunakan tidak boleh bercanggah daripada pendekatan. Kaedah bersifat prosedur yang terdiri daripada langkah-langkah dan peringkat-peringkat yang teratur yang harus dituruti dengan saksama untuk mencapai tujuan tertentu.
Rajah 4: Jenis-Jenis Kaedah Lisan

a.    Kaedah Terus

Kaedah ini merujuk kepada pengajaran dan pembelajaran untuk menguasai bahasa pertama secara natural. Kaedah ini juga bermaksud belajar secara terus, iaitu menggunakan terus bahasa sasaran tanpa terjemahan ke dalam bahasa ibunda. Kemahiran mendengar dan bertutur adalah diutamakan kerana perkataan yang diajarkan adalah perkara yang digunakan sehari-hari. Berdasarkan kaedah ini, perkataan konkrit contohnya, sudu di ajarkan dengan menunjukkan objek sudu. Perkataan abstrak contohnya, sayang pula diterangkan menggunakan perkataan yang diketahui oleh murid-murid. Pengajaran sesuatu topik baharu pula adalah berdasarkan sesuatu topik lain yang telah diajarkan tetapi mempunyai kaitan dengan topik baharu tersebut.
Kaedah ini mengutamakan kemahiran bahasa khususnya kemahiran mendengar dan bertutur dan bukannya pengetahuan tentang bahasa. Kelebihan penggunaaan kaedah ini ialah, kesalahan yang berpunca daripada gangguan bahasa ibunda dapat dikurangkan kerana murid-murid telah dibiasakan dengan cara berfikir dan bertutur secara terus dalam bahasa sasaran.




b. Kaedah Fonetik
Pengajaran berdasarkan kaedah ini dimulakan dengan latihan pendengaran kemudian diikuti dengan latihan penyebutan. Latihan penyebutan tersebut dimulakan dengan penyebutan bunyi, perkataan, frasa dan ayat-ayat. Ayat-ayat yang dibina berdasarkan kaedah ini kemudiannya digabungkan menjadi dialog dan cerita. Kaedah ini tidak menggunakan ejaan biasa tetapi menggunakan simbol-simbol fonetik misalnya [Əma?] untuk perkataan emak. Nahu atau tatabahasa diajarkan secara induktif, iaitu contoh-contoh penggunaan tatabahasa itu dikemukakan kepada murid-murid sebelum peraturan dan rumus-rumus itu diajarkan. Melalui kaedah ini juga murid –murid akan menulis karangan berdasarkan apa yang didengar atau dibaca.

c.    Kaedah Eklektik
Kaedah ini mengambil ciri-ciri yang baik daripada kaedah lain dan menggabungkannya. Kaedah ini turut dikenali sebagai kaedah aktif kerana gabungan ciri-ciri yang baik daripada pelbagai kaedah lain yang dimilikinya. Berdasarkan kaedah eklektik, kemahiran-kemahiran bahasa diajarkan mengikut susunan, iaitu bertutur, menulis, memahami dan membaca. Aspek tatabahasa diajarkan mengikut situasi, iaitu sama ada secara deduktif ataupun induktif. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan meliputi latihan mendengar dan bertutur, bacaan kuat dan bersoal jawab.

d.    Kaedah Audio –Lingual
Kaedah ini merupakan gabungan dua kemahiran iaitu kemahiran mendengar (audio) dan kemahiran bertutur (lingual). Kaedah ini mementingkan penggunaan bahan bantu belajar berupa alat-alat audio seperti radio, pita rakaman, compact disk (audio) dan piring hitam. Bahan-bahan yang diperdengarkan kepada murid-murid ialah petikan bunyi haiwan, bunyi sesuatu suasana misalnya suasana seram, senikata lagu, nyanyian, petikan cerita, sajak, dan sebagainya. Melalui kaedah ini, murid-murid akan mendengar (contohnya bunyi sajak daripada pita rakaman). Melalui pengalaman mendengar tersebut, murid-murid akan berlatih menyebut perkataan, frasa dan ayat yang didengar termasuk nada dan intonasinya secara latih tubi. Murid-murid seterusnya akan berlatih mendeklamasikan sajak dengan rakan secara berpasangan atau berkumpulan.
e.    Kaedah Komunikatif
Kaedah komunikatif mementingkan proses pemerolehan bahasa kanak-kanak yang melibatkan kognitif dan interaksi bahasa. Kaedah ini menitikberatkan pengajaran kecekapan bahasa, iaitu tatabahasa dan kecekapan komunikatif khususnya kemahiran mendengar dan bertutur. Ketika murid-murid melalui proses pemerolehan bahasa, mereka menguasai makna terlebih dahulu sebelum dapat menggambarkan makna tersebut dalam struktur ayat tertentu. Proses menggambarkan makna dalam struktur ayat tertentu tersebut memerlukan guru-guru melatih murid-murid menguasai kemahiran mendengar dan bertutur melalui aktiviti bahasa yang bermakna. Sehubungan itu, aktiviti-aktiviti bahasa yang bermakna dalam kaedah komunikatif ialah penyelesaian masalah, perbincangan, dialog, sumbang saran, wawancara dan sebagainya.
Teknik pengajaran merupakan taktik atau cara-cara yang digunakan oleh guru untuk mencapai hasil segera yang maksimum ketika menyampaikan  sesuatu pengajaran. Teknik dicipta dan ditentukan sebelum pelaksanaan pengajaran. Setiap teknik yang digunakan adalah selaras dengan kaedah yang digunakan dan sejajar pula dengan pendekatan yang dipegang. Teknik pengajaran juga boleh dirujuk sebagai alat yang digunakan oleh guru bahasa untuk menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk murid-muridnya. Contohnya, teknik soal jawab, teknik main peranan, teknik lakonan/drama, teknik permainan bahasa, teknik hafazan, teknik latih tubi, teknik perbincangan dan teknik penyelesaian masalah

1.2.5     Kaedah Pertimbangan Professional


Kaedah pertimbangan profesional ialah kaedah pengumpulan maklumat melalui pendapat ahli kumpulan profesional yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu, apabila orang yang bertanggungjawab untuk menilai, tidak mempunyai kepakaran tersebut. Kepakaran yang diperlukan mungkin dalam bidang pendengaran, penglihatan, masalah pembelajaran, pemulihan bacaan dan sebagainya. Berikut merupakan cirri-ciri kaedah pertimbangan professional;