MY BELOVED FOLLOWER (^__^)

Friday, October 19

SEJARAH PERMAINAN SOFBOL


PENGENALAN

Permainan sofbol berasal daripada permainan besbol yang terkenal di Amerika Syarikat. Pada peringkat awal, permainan ini dimainkan sebagai satu rekreasi. Permainan ini telah dipelopori oleh George Hancock pada tahun 1887. Permainan ini meskipun ada persamaannya dengan permainan besbol, mempunyai perbezaan yang jelas dari segi bola dan bat yang digunakan. Bola yang digunakan lebih besar dan lembut sementara hujung bat yang digunakan pula lebih kecil. Permainan ini lebih popular dimainkan secara permainan di dalam gelanggang tertutup kerana dapat dimainkan dalam kawasan yang lebih kecil.
Pada mulanya permainan ini dimainkan di dalam gimnasium di maktab-maktab, universiti-universiti, YMCA dan Turnvereins sebelum ia beralih ke padang. Setiap pertubuhan menggubal peraturannya yang tersendiri dan variasi permainan ini mempunyai pelbagai nama seperti :
a.    Diamond Ball Mush Ball
b.    Indoor Ball Playground Ball
c.    Kitten Ball Pumpkin Ball
d.    Recreation Ball
Liga sofbol yang pertama telah dianjurkan di Minneapolis, Minnesota pada tahun 1900. Pada tahun 1926, permainan itu diberi nama ‘Sofbol’ oleh Walter K. Hakenson dari YMCA, Denver. Pada tahun 1927, Gladys E. Palmer dari Persatuan Pendidikan Jasmani Amerika (APEA) telah menggubal undang-undang sofbol untuk perempuan (remaja dan dewasa). Pada tahun 1923, perwakilan daripada badan-badan yang berminat telah membentuk Jawatankuasa Undang-Undang Bersama (JRC) untuk menyelaras satu set undang-undang yang diguna pakai di peringkat kebangsaan.


Pada tahun 1933, Persatuan Sofbol Amatur Amerika (ASA) telah menganjurkan pertandingan peringkat kebangsaan buat julung kalinya diChicago World’s Fair yang telah disertai oleh 20 pasukan. Pasukan wanita The Great Northerns dan pasukan lelaki J.L Boosters telah menjuarai kategori masing-masing. Pada tahun 1934 satu peraturan rasmi sofbol telah digubal oleh JRC dan dicetak pada tahun 1937. Undang-undang tersebut menjadi asas kepada undang-undang yang digunapakai sekarang.
Sofbol mula diperkenalkan dalam Sukan Olimpik di Atlanta pada tahun 1996 dan dibuka hanya pada pasukan wanita. Sukan Olimpik di Sydney pada tahun 2000 menyaksikan 8 negara mengambil bahagian. Amerika Syarikat menjadi juara sofbol Sukan Olimpik pada tahun 2004 di Athens untuk kali ketiganya.

SEJARAH PERKEMBANGAN SOFBOL DI MALAYSIA

Pada peringkat awal, permainan ini telah dimainkan sebagai satu sukan rekreasi. Permainan ini telah diperkenalkan oleh mubaligh-mubaligh Amerika pada tahun 1939 di ACS Kampar, Perak. Sejak itu, beberapa pasukan telah mengadakan satu siri perlawanan persahabatan. Apabila tercetusnya Perang Dunia Kedua, perkembangan permainan sofbol telah tergendala. Sungguhpun demikian, terdapat askar-askar Jepun yang amat menggemari permainan ini dan memainkannya dengan menggunakan bola tenis.
Pada tahun 1960, Encik Jack Robinson telah mengadakan klinik sofbol di seluruh Tanah Melayu sebagai satu usaha untuk menghidupkan permainan ini. Permainan ini kemudiannya semakin di terima semula apabila beberapa negeri kembali aktif menganjurkan pertandingan sofbol. Pelbagai usaha terus dijalankan untuk mempopularkan lagi permainan ini termasuk menyenaraikannya ke dalam program MSSM.
Pada akhir tahun 60an, satu inisiatif telah diambil untuk mempopularkan lagi permainan ini di negeri Perak, Selangor dan Pulau Pinang. Kemudian pada tahun 1972, wakil-wakil dari negeri Perak, Pulau Pinang dan Selangor telah mengadakan satu perjumpaan di kediaman Menteri Besar Perak untuk menubuhkan Persatuan Sofbol Malaysia (S.A.M). Dato’Sri Hj Kamaruddin bin Hj. Mohd Isa (Menteri Besar Perak ) ketika itu telah diberi mandat untuk menjadi pengerusi. Persatuan Sofbol Malaysia (S.A.M) telah didaftarkan pada 16.03.1974.
Dalam bulan Ogos 1973, Kejohanan Sofbol Kebangsaan yang pertama telah diadakan serentak dengan Kejohanan Sofbol Jemputan Perak di Ipoh, Perak. Kejohanan ini disertai oleh pasukan dari tiga buah negeri iaitu Perak, Pulau Pinang dan Selangor. Kejayaan penganjuran kejohanan ini menjadikan beberapa buah negeri dan pertubuhan lain turut berminat untuk menganggotai S.A.M termasuk RAAF.
Pada bulan Oktober 1976, Kejohanan Sofbol ASEAN yang pertama telah diadakan di Kuala Lumpur. Kejohanan yang disertai oleh lima buah pasukan ini menyaksikan Malaysia memperolehi tempat ketiga. Pada tahun 1977, Malaysia telah menghantar pasukan sofbol buat pertama kalinya ke luar negara dengan menyertai Kejohanan Sofbol ASEAN di Manila, Filipina. Pada tahun yang sama, kategori wanita dipertandingkan untuk pertama kalinya.
Pada tahun 1979, permainan sofbol telah dimasukkan ke dalam Sukan SEA. Malaysia mengambil bahagian dalam kategori lelaki dan berjaya menduduki tempat ketiga. Pada tahun 1982, pasukan sofbol wanita Malaysia telah menyertai Kejohanan Sofbol Wanita Dunia Kelima yang diadakan di Taipei. Di peringkat sekolah, MSSM juga telah memainkan peranan yang penting dalam pembangunan sukan sofbol di Malaysia. Pada tahun 1968, Kejohanan Sofbol MSSM yang pertama telah diadakan di Kampung Pandan, Selangor. Perak menjuarai Kejohanan Sofbol MSSM untuk kali pertamanya pada tahun 1977 di Pulau Pinang.
Pada tahun 2003, untuk pertama kali Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan mengambil bahagian di dalam kejohanan di Selangor. Kejohanan untuk peringkat umur 12 tahun dan ke bawah telah diperkenalkan dalam kalender MSSM di Perak pada tahun 2004. Dalam kejohanan MSSM yang diadakan di Kuantan pada tahun 2005, pertandingan untuk peringkat umur 15 tahun dan ke bawah pula diperkenalkan. Permainan sofbol terus berkembang di seluruh pelusuk tanah air sehingga kini.