MY BELOVED FOLLOWER (^__^)

Tuesday, March 22

PERNIAGAAN FRANCAIS

           Berdasarkan kepada Undang-Undang Tubuh bagi Persatuan Francais Malaysia (Akta penubuhan 1966 ), mendefinisikan francais sebagai suatu perniagaan pengedaran secara bersistem yang menggunakan jenama yang sama dan dengan kaedah pengurusan yang seragam dan tersusun berlandaskan satu format perniagaan. Fry ( 1993 ) pula menyatakan francais sebagai satu sistem perniagaan yang memberi hak kepada individu atau pengedar setempat untuk memasarkan perkhidmatan atau produk. Semua syarikat francais di Malaysia mesti mendaftarkan perniagaan mereka di bawah Akta Francais 1998.

                 Terdapat dua pihak yang terlibat dalam perniagaan francais iaitu francaisor dan francaisi. Francaisor ialah pemberi francais yang memiliki dan mengeluarkan sesuatu produk. Manakala francaisi ialah penerima francaisor yang menjual produk berlandaskan kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh francaisor.

                      Definisi di atas menjelaskan bahawa perniagaan francais melibatkan dua pihak yang diikat dengan kontrak yang telah dipersetujui bersama. Satu perjanjian mengenai syarat francais akan ditandatangani oleh kedua-dua pihak. Sistem operasi serta segala hal berkaitan penubuhan dan pengurusan perniagaan akan diberikan oleh francaisor kepada francaisi.. Francaisor akan memberi kebenaran atau hak kepada francaisi yang secara relatifnya bersaiz lebih kecil bagi menjalankan perniagaan mengikut tatacara yang telah ditentukan dalam satu jangka masa dan tempat tertentu untuk proses mengedarkan barang atau perkhidmatan yang sedia wujud. Daripada urusniaga ini, francaisor akan menerima royalti daripada francaisi

Terdapat dua bentuk struktur perniagaan francais iaitu :-

i.                    Francais yang dibawa masuk dari luar negara.

                        Merujuk kepada rajah 1, struktur ini membabitkan  perniagaan milik asing yang melibatkan tiga pihak  iaitu pengeluar francais, pemegang francais ( bagi sesuatu negara ) dan penerima francais. Bantuan dalam penyediaan produk akan diberi oleh pengeluar francais kepada pemegang francais yang dilantik di Malaysia. Kemudian, ia akan melantik pula wakil yang dikenali sebagai penerima francais untuk membuka cawangan francais ini. Contoh perniagaan francais dari luar negara ialah McDonald, Pizza Hut, Kentucky Fried Chicken dan lain-lain lagi.
  
Rajah 1 : Struktur francais luar negara

Pemilik francais ( luar negara )
    

                                                Francaisor ( dalam negara )
                                                                 

                        Francaisi                      Francaisi                                  Francaisi



ii.                  Francais tempatan.

Rajah 2 : Strktur francais tempatan

Francaisor ( tempatan )
                                                                 

                        Francaisi                      Francaisi                                  Francaisi


                  Francais tempatan ( rajah 2 ) ini hanya melibatkan dua pihak sahaja iaitu pemegang francais dan penerima francaisor. Contoh perniagaan milik tempatan ialah Pusat Servis EON, Habib Jewels, Merry Brown dan Kedai Buku Popular.

              Secara kesimpulannya pelbagai peluang telah disediakan oleh perniagaan francais kepada usahawan yang baru menceburkan diri dalam dunia perniagaan. Perniagaan ini lebih mudah dibentuk dan dijalankan kerana penggunaan teknik pemasaran, imej, populariti, pengetahuan dan  reputasi yang telah stabil dan teruji oleh francaisor. Ia merupakan salah satu cara bagi francaisor mengembangkan perniagaan yang mana tidak mungkin ia mampu untuk melakukannya sendiri kerana terpaksa menghadapi pelbagai cabaran. Manakala bagi pihak francaisi, ia akan mendapat hak untuk menjual produk syarikat francaisor atau mengeluarkan produk dengan menggunakan tanda dagang atau paten yang telah dicipta, diperkenal dan dibangunkan oleh francaisor.

             Kebaikan menjalankan perniagaan francais

a.       Latihan pengurusan disediakan oleh francaisor dan ini membantu mengatasi masalah kekurangan pengalaman pihak francaisi.
b.      Bantuan kewangan dan panduan untuk memperolehi pinjaman daripada bank boleh didapati dari francaisor.
c.       Francaisor akan sentiasa memberi bantuan walaupun perniagaan telah diwujudkan.
d.      Francaisi tidak perlu berusaha lebih untuk mendirikan reputasinya kerana pelanggan telahpun biasa dengan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Kelemahan menjalankan perniagaan francais

a.       Sebarang tindakan yang dibuat oleh francaisi akan menjejaskan nama baik francais.
b.      Francaisi mempunyai kawalan terhad dalam perniagaannya. Beberapa keputusan tidak boleh dibuat tanpa mendapat persetujuan awal daripada francaisor. Contohnya masa dan hari perniagaan serta produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

                      Berdasarkan pada rekod yang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menunjukkan sehingga tahun 2000, terdapat 82 jenis perniagaan francais dan 604 francaisi di negara ini. Daripada keseluruhan produk francais yang diniagakan, 53% daripadanya terdiri daripada produk tempatan dan 47% pula merupakan produk luarnegeri. Semua syarikat francais di Malaysia tertakluk kepada Akta Francais 1998 yang telah dikuatkuasakan mulai 8 Oktober 2000.