MY BELOVED FOLLOWER (^__^)

Wednesday, July 2

PENGENALAN KEMAHIRAN MEMBACA


Kemahiran membaca merupakan salah satu daripada empat kemahiran bahasa yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Proses membaca memerlukan seseorang itu menterjemahkan kembali lambang-lambang bertulis kepada lambang-lambang bunyi yang hendak disampaikan oleh penulisnya. Seseorang yang berjaya menguasai kemahiran membaca bermakna dia telah berjaya merobohkan sebuah tembok pemisah yang maha besar antara dirinya dengan lautan ilmu yang wujud dalam pelbagai bentuk karya (Zulkifley Hamid, 1994)

JENIS-JENIS BACAAN
a.    Bacaan Mekanis
Membaca bersuara sering juga menggunakan nama-nama yang berbeza seperti membaca mekanis, membaca oral, membaca ulat dan membaca nyaring. Walau apa pun nama yang digunakan, membaca mekanis ini merupakan satu aktiviti membaca yang disuarakan dengan jelas untuk menangkap dan memahamkan informasi, fikiran dan perasaan seseorang pengarang. Membaca mekanis merupakan satu ketrampilan yang serba rumit dan kompleks yang menuntut pengertian terhadap aksara di atas halaman kertas dan memproduksi suara yang tepat dan bermakna. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, membaca mekanis yang digunakan lebih tertumpu kepada usaha menganalisis pengucapan daripada pemahaman.
.
b.    Bacaan Mentalis (Senyap)
Membaca senyap atau membaca dalam hati ialah kegiatan membaca yang melibatkan ingatan visual dan pengaktifan mata dan ingatan. Tujuan utama membaca jenis ini adalah untuk memperoleh informasi dan pemahaman. Dibandingkan dengan membaca nyaring, membaca dalam hati atau membaca senyap adalah lebih ekonomis, dan dapat dilakukan di mana-mana sahaja. Biasanya, membaca dalam hati atau senyap ini melibatkan dua jenis bacaan, iaitu membaca insentif dan membaca ekstensif.

c.    Bacaan Intensif (Pantas dan Imbasan)
Bacaan intensif ialah kegiatan membaca yang menuntut ketelitian dan dilakukan secara saksama yang melibatkan telaah isi dan pandangan terperinci sesuatu bahan bacaan. Dua perkara yang dilibatkan dengan bacaan insentif ini adalah membaca telaah isi dan membaca telaah bahasa. Dalam telaah isi ini, membaca teliti, membaca pemahaman, membaca kritis dan membaca idea adalah ditekankan. Bacaan intensif adalah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembangkan kebolehan dalam meneliti, memahami dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Bacaan tersebut juga memberi penekanan kepada kajian terhadap ciri-ciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu dalam konteks dan situasi yang berlainan.
Bacaan intensif boleh juga boleh dibaca dengan pelbagai cara iaitu bacaan pantas dan bacaan imbasan. Bacaan pantas adalah satu bentuk kegiatan membaca yang dilakukan dengan kadar kelajuan tertentu dan tujuannya adalah untuk menjimatkan masa. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu laju tidak semestinya baik. Sebaik-baiknya, kadar kelajuan membaca haruslah disesuaikan dengan apa yang dibaca dan tujuan membaca ketika itu.
Bacaan imbasan yang juga dikenali sebagai scanning pula adalah kegiatan membaca yang dilakukan secara sepintas lalu. Hal ini disebut sebagai membaca tinjauan. Biasanya.sebelum kegiatan membaca itu dilakukan, pembaca akan meneliti terlebih dahulu bahagian-bahagian buku atau apa sahaja yang harus ditelaah. Hal ini dilakukan untuk mendapatkan maklumat awal dan gambaran keseluruhan tentang buku tersebut sebelum ia menjadi pilihan untuk dibaca.