MY BELOVED FOLLOWER (^__^)

Wednesday, October 16

KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

KAEDAH
Kaedah merupakan satu siri tindakan guru yang sistematik  yang bertujuan untuk mencapai objektif pengajaran yang telah ditetapkan. Kaedah adalah Lebih bercorak jangka pendek dan merupakan usaha keseluruhan yang terdiri daripada prosedur tersusun dan adalah berdasarkan sesuatu pendekatan yang dipilih. Kaedah juga digunakan bagi mendokong pendekatan dipilih.

Kaedah Natural
Kaedah ini berasaskan penggunaan bahasa dalam situasi komunikatif seperti yang berlaku dalam pendekatan tradisional. Kurang  menekankan rujukan kepada analisis gramatikal, latih tubi gramatikal atau kepada teori tatabahasa tertentu. Menurut Krashen dan Terrell menyebut pendekatan ini sebagai natural, psikologikal, fonetik, baharu, diperbaharui, terus, analitik, tiruan dan sebagainya. Kaedah ini melihat bahasa sebagai satu alat untuk menghubungkan makna dan mesej.
Teori pembelajaran bahasa menurut kaedah ini melibatkan dua cara yang ketara untuk memperkembangkan keupayaan berbahasa iaitu penguasaan dan pembelajaran. Penguasaan ialah cara yang semula jadi, yang terlaksana sama seperti cara kanak-kanak menguasai bahasa pertama mereka. Manakala pembelajaran pula ialah proses yang melibatkan peraturan-peraturan secara sedar tentang bahasa diperkembangkan. Pengajaran yang formal diperlukan untuk membolehkan pembelajaran berlaku dan pembetulan kesalahan dapat membantu dengan perkembangan peraturan yang telah dipelajari


Kaedah Nahu Tradisional
Kaedah nahu tradisional ini diajar untuk membolehkan murid memahami nahu sesuatu bahasa dan juga melatih murid menulis menggunakan bahasa yang betul. Kaedah ini juga, membolehkan murid menterjemahkan bahasa asing ke bahasa natif dan sebaliknya. Ia juga bagi melengkapkan murid dengan perbendaharan kata yang luas yang dapat digunakan dalam penulisan.
Kaedah nahu tradisional ini bersifat deduktif  yang mementingkan bahasa tulisan daripada lisan. Teknik mengajar kaedah nahu tradisional ini ialah dengan memperkenalkan pelajar  kepada undang-undang nahu dahulu. Kemudian guru memberi penerangan kepada pelajar mengenai undang-undang ini dan kemudiannya memberi misalan. Undang-undang nahu ini perlu dihafal.

Kaedah terus
Kaedah ini mula diperkenalkan oleh Michell West dan Harald Palmer antara tahun 1920-1935. Kaedah ini dikatakan sama dengan kaedah askar kerana pernah digunakan untuk melatih pegawai tentera dan diplomat dalam Perang Dunia Kedua.
Kaedah terus mengutamakan prinsip-prinsip mengajar yang berdasarkan psikologi kanak-kanak. Kaedah ini amat sesuai untuk pengajaran bahasa kedua dan segala pengajaran tidak sekali-kali menggunakan bahasa yang telah diketahui oleh murid.
Kaedah ini bertujuan membolehkan kanak-kanak menguasai keempat-empat kemahiran bahasa itu secara berkesan dan membolehkan mereka menggunakan bahasa yang dipelajari itu dalam masyarakat berkenaan. Kaedah ini disampaikan berdasarkan empat asas iaitu perhubungan secara langsung antara perkataan dengan benda atau ayat dengan fikiran atau sebaliknya. Seterusnya pengajaran harus dikaitkan dengan pengalaman-pengalaman yang telah sedia ada. Kemudian harus menimbulkan  perasaan ingin tahu kanak-kanak.

Kaedah Kod Kognitif
Kaedah ini adalah berasaskan pendapat gologan mentalis yang memandang bahasa sebagai satu kreativiti mental. J.B Carroll menyatakan bahawa kaedah ini merupakan pembaharuan & pengubahsuaian kaedah nahu terjemahan. Menurut Chomsky pula, bahasa merupakan sistem rumus-rumus bahasa yang ternyata melalui bentuk linguistik. Pengetahuan bahasa adalah dalam bentuk abstrak,iaitu bersifat semulajadi dan sejagat.
Kaedah ini lebih menekankan bentuk dan makna. Seseorang yang ingin mempelajari sesuatu bahasa harus mengetahui sistem bahasa berdasarkan kepada hukum-hukum dan norma-norma tertentu dalam ilmu tatabahasa. Ciri-ciri kaedah kod kognitif ialah dalam P&P bahasa, lisan tidak ditekankan malah perkara yang diberi perhatian ialah bacaan dan tulisan. Pembelajaran tatabahasa diterapkan secara langsung dan boleh dilakukan melalui pendekatan deduktif . Pengetahuan tatabahasa amat dipentingkan.

Kaedah Bahasa Komuniti
Pembelajaran bahasa komuniti atau ‘Community Language Learning’ merupakan cara pembelajaran bahasa yang di asaskan oleh Charles A.Curran bersama dengan rakan-rakannya. La Forge (1983) murid Curran meluaskan teori CLL. Beliau mengesahkan bahawa teori bahasa mestilah bermula daripada ciri-ciri bunyi, ayat dan model-model abstrak bahasa. Seorang pelajar bahasa perlu memahami sistem bunyi, makna yang ditetapkan dan tatabahasa bahasa itu.
Teori bahasa diasaskan kepada bunyi-bunyi asas dan corak tatabahasa menyerupai teori struktural. Namun, pelopor CLL yang terkemudian telah mengemukakan satu teori bahasa  yang agak berlainan yang disebut sebagai ‘ Bahasa Sebagai Proses Sosial. Bagi CLL, pembelajaran manusia sebenarnya melibatkan kognitif dan afektif. Inilah yang disebut sebagai pembelajaran ‘Whole Person’. Pelajar tidak digalakkan belajar sendirian dan terasing daripada murid lain.

Kaedah Oral – Aural
Kaedah ini diajar adalah bagi tujuan membolehkan pelajar memperkembang keempat-empat kemahiran bahasa iaitu Kemahiran mendengar, Kemahiran bertutur, Kemahiran menulis dan Kemahiran membaca. Kaedah ini merupakan kemahiran lisan asas untuk pembelajaran membaca dan menulis. Ia membolehkan pelajar memahami kebudayaan asing melalui pengalaman dalam bahasa.

Kaedah ini menggunakan dialog untuk dihafaz dan diikuti secara ajukan. Latih tubi dan dialog dijalankan secara realistik dengan memberi perhatian kepada Intonasi yang betul, sebutan penutur jati bahasa itu dan bahan pita rakaman boleh digunakan jika gurunya bukan penutur jati bahasa yang diajar. Setelah pelajar menguasai bacaan, latihan diteruskan kepada aktiviti menulis.

PENDEKATAN DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

PENDEKATAN
Pendekatan adalah berlandaskan teori, prinsip atau kaedah tertentu yang mendokong sesuatu teori. Cara pengajaran juga adalah berdasarkan objektif yang ditentukan. Pendekatan adalah kenyataan dianggap benar tanpa bukti dan alasan. Contohnya dalam sesi pengajaran, guru menggunakan pendekatan daripada mudah sehinggalah susah agar pengajaran dapat difahami oleh murid.

Pendekatan Induktif
Pendekatan induktif merupakan satu pendekatan mengajar yang melibatkan satu proses penaakulan yang tinggi. Menurut John, M. Kierzek dan Walker Gibson, pendekatan induktif dimulakan dengan sesuatu sebab atau contoh dan bergerak ke hadapan kepada satu generalisasi. Dalam hal ini, guru-guru akan mengumpul contoh-contoh daripada teks, menunjukkan dan menerangkan bagaimana ia bekerja dan berfungsi, dan membantu murid-murid untuk menghasilkan satu kesimpulan yang sesuai. 
Dalam pengajaran bahasa pendekatan lebih dikenali sebagai pendekatan gramatikal iaitu mendahulukan contoh-contoh struktur penggunaan unsur-unsur tatabahasa yang dipelajari dan kemudian membuat kesimpulan mengenainya. Kaedah pencarian digunakan iaitu melibatkan proses pemerhatian, kajian, analisis tentang aspek bahasa pada awal pembelajaran. Kemudian kesimpulan umum dihasilkan daripada data yang dipelajari. Guru sama sekali tidak digalakkan memberi definisi, menerangkan peraturan-peraturan, menerangkan  isi atau kandungan keseluruhan pelajaran.

Pendekatan Deduktif
Pendekatan deduktif merupakan satu pendekatan mengajar yang mengasaskan pengajaran dan pembelajaran pelajar kepada hukum-hukum tertentu dan menggunakan proses penaakulan yang tinggi. Dalam pengajaran kaedah deduktif ini, beberapa prinsip perlu dipatuhi iaitu Teori, hukum, atau masalah tertentu perlu didedahkan dahulu. Kemudian bimbingan diberi bersama dengan contoh yang sesuai. Dalam kaedah ini pemahaman murid adalah amat ditekankan. Prosedur pengajaran dimulakan dengan pengenalan rumus yang baru, pemilihan rumus haruslah berdasarkan rumus yang diketahui umum oleh murid dan penggunaan contoh yang berkaitan dan pengukuhan pemahaman konsep sesuatu rumus.

Pendekatan Elektik
Elektik merupakan kaedah yang menggabungkan kedua-dua pendekatan awal yang sudah dibincangkan di atas dan kaedah ini mengambil kelebihan yang ada pada kedua-dua pendekatan induktif dan deduktif. Guru tidak perlu terlalu terikat dengan mana-mana pendekatan tetapi pengajarannya mestilah lebih luas dan mudah diubahsuai mengikut keperluan murid.
Guru boleh juga memulakan pengajarannya dengan menyatakan hipotesis terlebih dahulu kemudian diikuti dengan contoh-contoh khusus. Selepas murid membuat perkaitan di antara generalisasi dengan contoh, barulah guru mengukuhkan pemahaman murid dengan mengemukakan generalisasi lain yang berkaitan. Pendekatan ini dapat mengatasi kelemahan dan kekurangan yang terdapat pada kedua-dua pendekatan iaitu pendekatan induktif dan deduktif. Melalui pendekatan ini, guru akan lebih fleksibel dan mampu mengendalikan kelas mengikut kehendak dan keperluan pelajar.

Pendekatan Komunikatik

Pendekatan komunikatif merupakan pendekatan yang berpusatkan pelajar iaitu berfokuskan kepada bentuk-bentuk komunikatif seperti meminta maaf, bercerita, melapor dan lain-lain. Situasi ini berlaku dalam amalan masyarakat sehari-hari. Melalui pendekatan ini, penekanan tentang penyerapan bentuk gramatikal adalah bagi tujuan komunikasi. Pendekatan ini wujud disebabkan didapati pendekatan yang lain lebih mementingkan penguasaan bahasa pada peringkat membina ayat-ayat yang betul secara pencilan yang terkeluar daripada konteks wacana. 

STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DALAM KELAS

STRATEGI
Strategi merupakan kebijaksanaan memilih pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran berdasarkan objektif pengajaran. Strategi lebih mengambil kira objektif jangka panjang dan mengambil kira segala aspek pembelajaran termasuk pemilihan bahan, masa dan sebagainya.

Berpusatkan Guru
Strategi paling lama diamalkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan adanya perkembangan sistem perkembangan kita, strategi ini kurang dipraktikkan. Strategi ini mementingkan guru memainkan peranan utama untuk menguasai dan mengawal proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Murid hanya bersifat pasif. Maka, hanya komunikasi sahala sahaja yang berlaku semasa proses ini. Strategi ini lebih kepada teknik hafalan daripada membuat interpretasi.
Guru tidak mengambil kira ciri-ciri perbezaan murid dari segi kebolehan dan minat yang wujud. Kesannya, murid yang dihasilkan tidak kreatif dan tidak mempunyai inisiatif untuk meneroka ilmu-ilmu yang baru. Walau bagaimanapun, strategi ini lebih sesuai digunakan dalam teknik bercerita iaitu guru perlu mengawal sepenuhnya jalan cerita.

Berpusatkan Murid
Dalam strategi ini, murid lebih digalakkan melibatkan diri secara aktif dalam setiap sesi pembelajaran. Guru hanya bertindak sebagai fasilitator atau pemudahcara. Masa banyak diperuntukkan kepada murid untuk meneroka dan menyelesaikan masalah pembelajaran dengan bantuan guru. Komunikasi dua hala berlaku dalam proses ini. Guru mengamalkan corak kepimipinan demokratik iaitu murid bebas untuk bertanya dan memberikan pendapat mereka. Lebih diberi penekanan terhadap pencapaian objektif pembelajaran. Teknik perbincangan dijalankan lebih banyak untuk memupuk sifat kerjasama dan toleransi dalam kalangan murid yang mempunyai pelbagai corak kebolehan dan minat.

Berpusatkan Bahan
Strategi ini lebih memberi penekanan kepada alat-alat bantu mengajar yang digunakan bagi membantu pengajaran guru. Alat-alat bantu ini terbahagi kepada dua iaitu bahan pengajaran dan bahan pembelajaran. Bahan tersebut bertujuan untuk membolehkan murid memahami isi pelajaran dengan lebih mudah dan berkesan. Perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah penggunaan dapat meningkatkan minat dan kefahaman murid. Guru hendaklah menguasai kemahiran menggunakan alat-alat yang ada terutamanya alat-alat teknologi. Selain itu, bahan pengajaran yang sistematik dapat membantu murid mengikuti pelajaran tanpa kehadiran guru.

Berpusatkan  Masalah

Dilaksanakan dengan penyeliaan guru. Boleh dilakukan secara kumpulan atau individu. Murid harus dapat mengatasi rintangan untuk mencapai matlamat. Memerlukan proses penakulan yang agak tinggi. Antara langkah yang perlu dipatuhi ialah kenal pasti masalah, mencari maklumat, membuat andaian, menguji hipotesis, menilai dan membuat rumusan. Semasa proses penyelesaian dilakukan murid boleh bertukar pendapat, bekerjasama, meningkatkan pemahaman dan ingatan. 

TEORI PEMEROLEHAN BAHASA

3.1 Teori Behaviorisme
Teori Behaviorisme beranggapan bahawa bahasa diperoleh melalui proses pengulangan Bahasa dan dikuasai melalui rangsangan dan gerak balas. Golongan ini mementingkan pengukuhan dalam pembelajaran yang dapat ditimbulkan melalui ganjaran. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bahasa, teori ini menegaskan latihan dan latih tubi. Teori ini juga menekankan kemahiran lisan dalam pengajaran. Prinsip-prinsip pengajaran bahasa dari golongan ini adalah dari pandangan dan pendapat ahli-ahli psikologi dan linguistik Aliran Behaviorisme.
Golongan ini beranggapan bahawa bahasa yang diutamakan ialah bahasa lisan manakala bahasa tulisan merupakan bahasa kedua penting. Ahli-ahli Behaviorisme menegaskan bahawa pengajaran bahasa mestilah didahului dengan bahasa lisan. Kemudian diikuti dengan bahasa tulisan yang dianggap perkara kedua penting  dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini bermakna guru-guru mestilah berusaha untuk membolehkan murid-murid bertutur dalam bahasa itu dahulu dan kemudian baharulah kepada pengajaran membaca dan menulis. Ini hanya dapat dilakukan setelah murid-murid dapat menguasai sistem bahasa dan struktur bahasa.
Menurut teori ini juga, bahasa adalah satu tabiat. Prinsip ini sesuai diterapkan dalam proses pembelajaran kedua. Bagi membentuk biasaan ini latihan dan latih tubi serta perbualan bahasa juga diutamakan. Guru perlu menyusun pelajaran dengan baik dan pengajaran dimulakan daripada pola-pola yang senang kepada yang lebih susah. Di samping itu, pengukuhan adalah satu syarat penting di dalam pembelajaran disebabkan ia merupakan satu alat untuk menentukan pembentukan tingkah laku yang dikehendaki. Dalam situasi pembelajaran bahasa pengukuh-pengukuhnya adalah pujian, keistimewaan, pengiktirafan, maklum balas, galakan dan sebagainya. Mengikut prinsip ini sesuatu gerak balas yang betul perlu diteguh oleh guru dengan cara memberikan pengukuhan seperti yang disebutkan di atas.
Selain itu, latihan pembelajaran adalah latihan yang dikukuhkan. Ia merupakan latihan ulangan sesuatu gerak balas dengan sesuatu rangsangan. Latihan dan latih tubi hendaklah dilakukan dalam keadaan yang bermakna. Ini adalah untuk mengelakkan pelajaran tersebut menjadi bosan. Peneguhan boleh dilanjutkan oleh guru melalui penggunaan bahan-bahan makmal bahasa. Dalam hal ini, satu model pembelajaran telah dikemukakan oleh Behaviorisme iaitu :
 


Latihan yang dikukuhkan >> pembelajaran >> perubahan tingkah laku.

Model-model bahasa yang terbaik haruslah diutamakan. Dalam konteks pembelajaran bahasa di sekolah-sekolah, bahasa guru menjadi model yang diikuti oleh pelajar-pelajar. Jika model-model ini menggunakan bahasa yang salah atau, maka ini akan mempengaruhi murid-murid di sekolah tersebut.
Tidak dinafikan, teori ini juga mewujudkan operasi rangsangan dan tindak balas dalam proses pembelajaran. Bahasa adalah hasil operasi rangsangan dan tindak balas. Pembelajaran bahasa akan lebih berkesan jika kedua-dua unsur  ini dapat diwujudkan. Selain bertujuan menghasilkan satu pembentukan tingkah baru yang berkesan, ia juga boleh bertindak sebagai daya penggerak dan meningkatkan minat serta motivasi.
Terdapat  beberapa cara yang boleh dilakukan oleh guru untuk mempelbagaikan situasi rangsangan. Antaranya, adalah dengan cara mempelbagaikan tingkah laku, mempelbagaikan pengalihan saluran deria dan mempelbagaikan pola interaksi guru dan murid dan keempat dengan cara mempelbagaikan pendekatan, kaedah, teknik, strategi dan alat-alat bantu mengajar. Berdasarkan teori ini terdapat satu pendekatan yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa iaitu melalui pendekatan induktif. Pendekatan induktif ialah memulakan sesuatu pengajaran itu dengan memberikan contoh-contoh terlebih dahulu dan kemudian baharulah diterangkan.

3.2 Teori Mentalis

Teori Mentalisme menganggap pemerolehan bahasa merupakan satu proses mental. Menurut golongan ini lagi, seseorang itu mempunyai kecekapan atau kompetensi iaitu rumus-rumus yang ada dalam stok mental, dan prestasi yang merupakan aspek penggunaan bahasa oleh penutur berdasarkan kecekapan. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, aspek pemikiran, pengetahuan dan makna diberikan penekanan.
Dalam bidang linguistik aliran kognitif tidak ada mencadangkan sebarang kaedah atau prinsip pengajaran bahasa yang tertentu. Walau bagaimanapun kita boleh membuat andaian beberapa prinsip pembelajaran yang dapat diwujudkan melalui pendapat dan pandangan mereka terhadap pemerolehan bahasa. Antara prinsip-prinsip itu ialah pembelajaran bahasa merupakan satu proses mental. Melalui proses ini, pembelajaran bahasa dianggap sebagai satu proses pemikiran dan pemikiran ini dilahirkan melalui pertuturan.
Selain itu, semua kanak-kanak dapat mempelajari bahasa kerana mereka telah dilahirkan dengan kebolehan semula jadi untuk berbuat demikian. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa guru harus menyedari bahawa kebolehan semula jadi untuk berbahasa yang ada pada kanak-kanak itu membolehkan mereka menganalisis pertuturan yang mereka dengar. Guru perlu menggunakan pengetahuan bahasa murid-murid dalam masa merancang dan menentukan bahan-bahan pengajaran yang akan diajar nanti.
Kadar perkembangan bahasa adalah sama bagi kanak-kanak pada peringkat kematangan yang sama dalam keadaan yang normal. Prinsip ini mempercayai bahawa kematangan yang sama di kalangan kanak-kanak akan mempunyai ciri-ciri pembelajaran bahasa yang sama. Justeru, guru hendaklah berhati-hati membuat pemilihan terhadap bahan-bahan yang hendak disampaikan.
Seterusnya, penyampaian makna lebih diutamakan daripada struktur bahasa dalam sesuatu huraian bahasa. Prinsip ini menekankan kebolehan untuk menggunakan struktur-struktur bahasa yang betul dari segi tatabahasa dan makna bagi membolehkan kanak-kanak itu berkomunikasi dalam masyarakat bahasa itu. Guru harus menggunakan aktiviti-aktiviti bahasa yang bermakna dan berkesan untuk membolehkan kanak-kanak menguasai struktur-struktur bahasa yang terdapat di dalam sistem bahasanya dengan baik.
Di samping itu, tulisan dan bacaan adalah diutamakan dalam proses pembelajaran. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, kajian-kajian bahasa biasanya dilakukan berasaskan bahasa tulisan. Latihan-latihan tulisan yang diberi termasuklah latihan terjemahan bahan daripada bahasa sasaran ke bahasa ibunda atau sebaliknya. Teori ini juga menekankan bahawa kajian-kajian bahasa disampaikan secara deduktif dan tatabahasa disampaikan secara formal.


Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, kajian-kajian bahasa perlu dihuraikan melalui pendekatan deduktif. Ini bermakna, penyampaian pelajaran itu dimulakan dengan pengajaran terus mengenai rumus-rumus dan konsep-konsep tatabahasa dan kemudian baharulah diberi contoh-contoh. Dalam hal mengajarkan tatabahasa kepada pelajar-pelajar biasanya dilakukan secara formal.

3.3 Teori konstruktivisme

Ahli-ahli bahasa yang menganut fahaman ini bukan sahaja mengkaji bahasa dari segi strukturnya malah mereka juga memberi perhatian yang serius terhadap fungsi bahasa itu. Ini bermakna mereka menegaskan bahasa sebagai alat untuk berkomunikasi . Berikut diperturunkan beberapa prinsip pengajaran bahasa daripada pandangan dan pendapat ahli-ahli Fungsionalis.
Dalam teori konstruktivisme, sistem tatabahasa dan fungsi bahasa adalah dua perkara yang diutamakan. Sesuatu pengajaran itu haruslah memberi pengetahuan kepada murid-murid tentang sistem tatabahasa atau prinsp-prinsip struktur bahasa yang dipelajari itu. Bahasa mempunyai fungsi misalnya untuk menyatakan perasaan dan mendeskripsi sesuatu objek. Dalam hal ini, bahasa yang digunakan untuk mendeskripsi sesuatu objek haruslah terdiri daripada ujaran-ujaran yang baik.
Seterusnya, variasi bahasa dapat mempertingkatkan tahap kemahiran berbahasa pelajar-pelajar. Bahasa sentiasa berkembang. Dari itu, wujudlah beberapa variasi dalam penggunaannya. Bahasa pula adalah alat untuk berhubung. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, murid-murid harus dapat menentukan fungsi-fungsi komunikatif pada bentuk-bentuk bahasa yang mereka kuasai.

3.4 Teori Interaksionalisme

Teori ini memandang pembelajaran bahasa adalah sebagai alat interaksi dan ia merupakan satu proses yang melibatkan mental dan linguistik. Teori ini menekankan pentingnya proses pembentukan hipotesis mengenai undang-undang bahasa dalam sesuatu pembelajaran itu. Teori ini juga menyarankan supaya guru-guru memberi banyak latihan kepada pelajar-pelajar.
Antara pri nsip-prinsip yang dalam teori ini ialahpenyampaian makna adalah lebih diutamakan dalam komunikasi bahasa. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, sama ada pembelajaran bahasa pertama dan kedua, penyampaian makna adalah penting. Pembelajaran bahasa bukan hanya mempelajari struktur itu tetapi apa yang lebih penting ialah belajar untuk interaksi.
Selain itu, pembelajaran bahasa merupakan proses mental dan linguistik. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, bahasa yang dituturkan dan makna yang dimaksudkan adalah berhubung rapat. Interaksionalis mementingkan kedua-dua unsur  iaitu makna dan struktur bahasa. Seterusnya, pengajaran dan pembelajaran bahasa memerlukan penumpuan terhadap tugas-tugas atau aktiviti-aktiviti yang bermakna. Jika guru itu dapat menyampaikan pengajaran dalam bentuk aktiviti-aktiviti yang bermakna maka murid-murid berkemampuan untuk menggunakan bahasa itu dengan lancar dan fasih.


TEORI HURAIAN BAHASA

2.1 Nahu Tradisional
Teori ini bermula sejak zaman Yunani pada abad ke-5 S.M dan dipercayai teori paling tua dicatatkan. Teori Nahu Tradisional ini dipelopori oleh Panini yang berasal dari India. Menurut teori ini, bahasa ialah ucapan buah fikiran dan perasaan manusia dengan teratur serta menggunakan alat untuk membunyikan suara. Ia juga sangat mementingkan bahasa tulisan. Penutur juga adalah diwajibkan mematuhi peraturan dan sebarang kesilapan yang dilakukan dianggap sebagai kesalahan. Pengajaran pula banyak tertumpu kepada nahu terjemahan.  Secara keseluruhannya, ahli-ahli bahasa tradisional berpendapat bahawa struktur-struktur bahasa ialah hasil daripada sebab dan akibat dan bahasa di dunia ini ialah variasi-variasi daripada satu sistem yang berasaskan logik dan rasional yang sama. Kajian-kajian bahasa dibuat berasaskan bahasa tulisan.
Menurut teori ini huraian tatabahasa bersifat rasional dan berasaskan anggapan bahawa disiplin-disiplin lain tiada kaitan dengan bahasa. Akibatnya huraian unsur-unsur bahasa tidak tetap dan tidak tepat. Panini turut berpendapat bahawa bahasa-bahasa di dunia dapat dihurai dengan berasaskan ciri-ciri sejagat  seperti logik, falsafah dan sebagainya. Kajian bahasa juga dibuat secara deduktif, iaitu  mengutamakan pemahaman peraturan-peraturan bahasa  terlebih dahulu sebelum  memberikan  contoh-contoh. Teori ini juga berpendapat semua bahasa mempunyai peraturan yang sama dengan bahasa Yunani dan ciri nahunya mementingkan bahasa tulisan serta kajian berdasarkan hukum.

2.2 Struktural
            Aliran linguistik struktural ini muncul pada kurun ke-20. Ahli-ahli bahasa yang menganuti aliran ini terdiri daripada Ferdinand de Saussure, Leornand Bloomfield, Otto Jespherson, dan Edward Saphir. Difahamkan bahawa kemunculannya kerana pertentangan pendapat dengan aliran tradisional. Tentangan utamanya ialah dasar rasional yang digunakan oleh aliran tradisional untuk membentuk kategori-kategori tatabahasa dan anggapan bahawa semua bahasa mempunyai kategori universal.
Fokus pengkajian mereka ialah aspek penghuraian struktur bahasa. Huraian bahasa dilakukan secara induktif. Mereka menganggap bahawa struktur bahasa merupakan kaitan antara fonem sebagai unit bunyi dengan fonem sebagai unit tatabahasa.  Asas pengkajian ahli bahasa struktural ialah tiap-tiap bahasa terdiri daripada satu pertalian struktur yang tersendiri. Oleh itu, tugas utama mereka ialah mengkaji unsur-unsur bahasa sebagai sebahagian daripada satu keseluruhan sistem bukan sebagai unsur yang berasingan. Menumpukan kajian terhadap fonologi,morfologi dan sintaksis tetapi kurang menitikberatkan tentang makna.
Menurut teori struktural, bahasa adalah bersifat sistematik dan mempunyai tatabahasa tersendiri serta hidup dan sentiasa berubah-ubah. Bahasa juga dikatakan mempunyai satu sistem dan mempunyai peraturan. Selain itu bahasa bersifat arbitrari dan digunakan untuk perhubungan antara satu dengan lain. Teori ini menumpukan kajian terhadap fonologi, morfologi dan sintaksis. Huraian bahasa juga dilakukan secara induktif iaitu dimulai dengan contoh kemudian diikuti pula dengan generalisasi dan tidak menentingkan makna serta analisis dibuat secara luaran sahaja.

2.3 Transformasi Generatif
                        Merupakan satu aliran baharu yang timbul selepas aliran struktural. Teori ini muncul dalam tahun 50-an yang dipelopori oleh Noam Chomsky.  Teori ini wujud akibat daripada beberapa kekurangan dan kelemahan teori tradisional dan struktural. Generatif bermaksud menerbitkan, iaitu bermula daripada unsur-unsur yang terhad dan kemudian akan bertambah dan berkembang untuk menerbitkan unsur yang lebih besar melalui beberapa proses menurut rumus-rumus tertentu.  Manakala transformasi pula bermaksud mengubah atau menukar, iaitu menuliskan semula.
                  Dalam konteks ini bermakna menuliskan semula abentuk struktur ayat asas atau ayat yang asal kepada bentuk struktur yang lain tanpa mengubah atau menghilangkan makna asalnya. Kajian transformasi generatif dibuat berdasarkan kenyataan bahawa seseorang penutur ibunda sesuatu bahasa berkebolehan untuk membentuk dan memahami pertuturan yang belum pernah mereka dengar kerana mereka dilahirkan dengan kecekapan semula jadi untuk berbahasa. Kesimpulannya analisis transformasi generatif bertujuan untuk membentuk rumus sesuatu bahasa dengan lengkap berasaskan pengetahuan penutur ibunda bahasa tersebut.
Teori mengatakan bahawa bahasa ialah suatu urutan yang teratur daripada rumus-rumus dan bertujuan untuk hasilkan satu huraian bahasa yang dapat kemukakan asas bagi menerangkan bagaimana ayat-ayat boleh dihasilkan dan difahami. Selain itu, teori ini juga menganalisis fonologi, morfologi, dan sintaksis yang menggunakan simbol-simbol dan rumus-rumus. Hal ini kerana deskripsi sesuatu bahasa mesti mengambil kira kreativiti linguistik.
Komponen sintaksis menerbitkan struktur sintaksis melalui dua peringkat. Pertama, melalui peraturan-peraturan struktur-struktur rangkai kata dan leksikon yang membentuk satu komponen sintaksis, menerbitkan struktur dalamannnya dalam bentuk yang boleh diterjemahkan maknanya. Kedua, peraturan transformasi, iaitu menukarkan struktur dasar yang abstrak kepada struktur luar yang konkrit setelah dipadankan dengan peraturan bunyi dan lahir sebagai satu ujaran

2.4 Teori Fungsional
Halliday dan Wilkins mempelopori teori fungsional. Teori ini berkembang pada tahun 1960- an dan 1970-an. Tokoh ini mengkaji bahasa dari segi struktur dan fungsi bahasa sebagai alat komunikasi. Di samping itu, mereka menganggap bahawa bahasa sebagai alat pertuturan. Oleh hal yang demikian, dapatan mereka ini mementingkan aspek semantik. Mereka bersetuju bahawa kewujudan variasi dalam penggunaan bahasa tidak boleh dinafikan. Penggunaan bahasa dapat menggambarkan fikiran dan emosi penutur. Golongan ini beranggapan bahawa pengukuhan bahasa adalah secara verbal dan non-verbal. Aliran dan golongan ini bukan sahaja mengkaji bahasa daripada segi struktur tetapi memberi perhatian juga kepada fungsi bahasa sebagai alat komunikasi. Aspek yang ditekankan ialah perubahan-perubahan yang berlaku pada bentuk-bentuk bahasa ketika seseorang itu berkomunikasi.