PENTAKSIRAN
1.1 Definisi Pentaksiran
Menurut
Tuan Jah Tuan Yusof PhD dan Faridah Nazir PhD (2014) dalam buku mereka
Pentaksiran Bahasa Melayu Sekolah Rendah menjelaskan konsep pentaksiran ialah
satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya melakukan penghakiman tentang
sesuatu produk pendididkan. Maklumat tersebut meliputi hal-hal berkaitan topik,
bukti dan prestasi. Penghakiman pula melibatkan hal-hal seperti pertimbangan
dan pencapaian aspek pendidkan manakala produk melibatkan pengetahuan,
kemahiran dan nilai. Tambahan pula, proses pendidikan meliputi operasi, dapatan
dan hasil.
Menurut
Shamsina Shamsuddin (2013) dalam bukunya Penggubalan Item Soalan juga
menyatakan pentaksiran ialah proses mengenal pasti, mengumpul dan
mengintepretasi maklumat mengenai pembelajaran murid. Maklumat yang diperoleh
seterusnya dikaitkan dengan objektif atau matlamat pembelajaran yang telah
dikenal pasti. Matlamat utama pentaksiran adalah untuk menyediakan maklumat
mengenai pencapaian dan kemajuan murid serta menetapkan tunjuk arah pengajaran
dan pembelajaran.
Pentaksiran
merupakan satu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai,
mengumpul, merekod, memberi skor dan menginterpretasi maklumat tentang
pembelajaran seseorang pelajar bagi sesuatu tujuan (LPM, 2000). Pentaksiran
juga merupakan satu proses untuk mendapatkan gambaran tentang prestasi
pembelajaran seseorang pelajar dalam sesuatu subjek atau aktiviti pembelajaran. Aktiviti pentaksiran dijalankan secara
berterusan.
Antara tujuan pentaksiran ialah untuk mendapatkan
gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran, menilai aktiviti yang
dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran, mendapatkan maklumat secara
berterusan tentang pengajaran dan pembelajaran memperbaiki pengajaran-pembelajaran.
Di samping itu, pentaksiran juga bertujuan untuk memudahkan guru merancang
aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan sistematik bersesuaian
dengan tahap keupayaan murid dengan melibatkan semua atau sebahagian besar
murid dalam kelas secara efektif, merancang dan melaksanakan aktiviti tindak
susul yang berkesan serta memperbaiki
pengajaran dan pembelajaran.
1.2 Bentuk Pentaksiran
Untuk
memperoleh maklumat dan melakukan penghakiman tentang pendidikan, para-para
pendidik perlu melakukan pengukuran, dan pengukuran yang dilakukan memerlukan
para-para pendidik menggunakan kaedah-kaedah pentaksiran tertentu. Maka, dapat
dilihat terdapat lima kaedah yang sesuai digunakan ketika melakukan pentaksiran
seperti dalam rajah di bawah:
Rajah 3 : Kaedah Pentaksiran
|
1.2.1 Kaedah Portfolio
Portfolio pada umumnya merupakan folder atau fail yang
mengandungi bahan-bahan yang dikumpulkan untuk sesuatu tempoh bagi menggambarkan atau
menjelaskan perkembangan kognitif pelajar tentang sesuatu tugasan yang pernah
diarahkan. Portfolio merupakan satu kaedah yang digunakan untuk mengumpul dan
merekodkan bukti pencapaian pelajar dalam satu jangka masa yang dipersetujui.
Setiap maklumat perlu disediakan dan dikumpulkan dalam satu folder sebagai
bukti.
Portfolio juga terdiri daripada bahan-bahan yang menunjukkan
kemajuan pelajar terhadap pencapaian matlamat pembelajaran untuk satu jangka
masa (Ryan & Kuhs, 1993). Juga, merupakan satu sistem pelbagai dimensi yang
memberi gambaran lengkap tentang kebolehan dan perkembangan pelajar (Harlin,
1992). Kesimpulannya, portfolio
merupakan satu bentuk sejarah pembelajaran pelajar yang didokumentasi dan
diperkukuhkan dengan bukti-bukti hasil kerjanya dan kesedaran baru melalui
penulisan reflektif ( Shulman, 1992).
Melalui
kaedah pentaksiran portfolio, guru dapat memperkasa pelajar dengan mengalakkan
amalan menilai iaitu mengkritik dan memberi maklum balas kepada sesuatu
perkara. Kaedah ini juga dapat menggalakkan pelajar memberi tumpuan kepada
kekuatan diri, memberi ruang kepada pelajar untuk meningkatkan bidang-bidang
kemahiran dan perkembangan diri, menggabungkan semua aspek pembelajaran dengan
melihat pelajar sebagai lengkap-melengkapi dari segi jasmani, emosi, rohani dan
intelektual, menawarkan kepelbagaian, memberi galakan kepada pelajar untuk
mengambil bahagian secara aktif dalam menilai diri serta memberi pendekatan
baru bagi menilai kemajuan pelajar.
1.2.2
Kaedah
Pemerhatian
Kaedah yang
sangat mudah iaitu pemerhatian terhadap perlakuan dan tindak balas responden
tanpa terlibat secara langsung untuk merancang tindak balas. Kaedah
in tidak memerlukan sebarang instrumen. Pemerhatian boleh dilakukan dengan
menggunakan mata kasar dan tidak memerlukan kos yang tinggi untuk dijalankan. Kaedah
pemerhatian merupakan satu kaedah penyelidikan yang digunakan untuk mengukur
pemboleh ubah penyelidikan.
Pemerhatian juga merupakan
alternatif yang ada dalam mengumpul maklumat atau pengumpulan data selain soal
selidik dan temuduga. Melalui pemerhatian, penyelidik dapat mengamati sesuatu
tingkah laku subjek berpandukan pemboleh ubah-pemboleh ubah yang telah dikenal
pasti. Peranan penyelidik ialah sebagai pemerhati terhadap perubahan-perubahan
tingkah laku, mendengar, serta melihat tingkah laku subjek sama ada dari jauh
atau dari dekat.
Menggunakan kaedah ini,
penyelidik atau pemerhati perlu rnemerhati sampel-sampelnya dalam tempoh masa
yang tententu. Kaedah pemerhatian ini banyak digunakan dalam bidang sains tulen
yang menjalankan kajian dalam makmal sains dan bidang sains sosial. Biasanya
ciri-ciri yang ingin diperhati adalah sangat halus dan terperinci dan ini
menjadikan keputusan yang dibuat lebih tepat.
Kaedah pemerhatian sesuai digunakan khususnya apabila penyelidik mengkaji
perkembangan tingkah laku sesuatu unit sosial, misalnya mengkaji perkembangan
tingkah laku kanak-kanak, kesan kesesakan terhadap kecenderungan pemberontakan,
kesan kebisingan terhadap tingkah laku agresif dan kebimbangan di kalangan
individu yang menghadiri temuduga.
Sebelum membuat pemerhatian,
penyelidik perlu membuat perancangan yang baik dan teliti. Setiap pemerhatian
mestilah mempunyai tujuan tertentu, dilakukan secara sistematik, mempunyai
fokus, dan mestilah dicatatkan secara rapi dan betul. Catatan yang dibuat
mestilah tepat, sah, dan boleh dipercayai.
Menurut Kerlinger (1973), terdapat beberapa kategori pemerhatian iaitu
kategori tingkah laku, unit tingkah laku, paras tafsiran pemerhati,
generalisasi dan penggunaan serta pensampelan tingkah laku. Kategori-kategori
tersebut memperincikan ciri-ciri tingkah laku yang perlu diperhati dan
direkodkan.
Tingkah laku saling berkaitan antara satu sama lain. Tingkah laku yang berkait
dan berlaku berterusan ini perlu dikategorikan ke dalam golongan yang
eksklusif. Dengan kata lain, semua kemungkinan tingkah laku yang berlaku
seharusnya upaya dikenal pasti dan tidak bertindan antara satu sama lain.
Sistem pengkodan kategori tingkah laku oleh Flanders (1974) adalah satu contoh
kaedah merekod maklumat yang melalui kaedah ini proses merekod maklumat dapat
dilakukan dengan mudah dan tepat.
Semakin kecil unit tingkah
laku digunakan untuk merekod pemerhatian, semakin senang tingkah laku tersebut
diperhati dan direkodkan. Penggunaan unit tingkah laku yang kecil akan
meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan pemerhatian. Selain itu, paras
tafsiran pemerhati juga akan mempengaruhi ketepatan maklumat mengenai tingkah
laku yang diperhatikan. Kesukaran mengadakan piawaian dalam paras tafsiran
pemerhati sering menjejaskan ketepatan dan kesempurnaan data yang diperoleh.
Perhatian khusus perlu
diberikan dalam membuat generalisasi sesuatu tingkah laku kerana sesetengah
tingkah laku bersifat khusus untuk penyelidikan tertentu sahaja, sementara
sesetengah yang lain boleh digunakan dalam pelbagai penyelidikan. Selain isu
mengenai generalisasi ini, isu yang lain ialah pensampelan tingkah laku.
Umumnya tingkah laku yang kompleks terjadi secara berterusan dan agak mustahil
penyelidik dapat memerhati tingkah laku tersebut secara berterusan.
Bagi mengatasi masalah ini, penyelidik mestilah membuat pensampelan sama ada
pensampelan tingkah laku atau pun pensampelan masa. Persampelan tingkah laku
merujuk kepada jenis kejadian yang hendak dijadikan sampel, sementara
pensampelan masa pula merujuk kepada perwakilan masa yang dapat mewakili masa
berlakunya tingkah laku yang diperhati
1.2.3 Kaedah
Penulisan
Pentaksiran
kaedah penulisan terbahagi kepada dua iaitu objektif dan subjektif. Soalan
objektif bentuk mudah memerlukan murid menberi jawapan pendek, betul salah atau
padanan serta soalan aneka pilihan dan penafsiran. Berbanding soalan subjktif lebih sukar dibina, kurang darjah kebolehpercayaan di mana kebolehpercayaan
dan kesahan boleh dipersoalkan dalam kualiti jawapan dan bagaimana soalan
diperiksa. Selain itu, draf jawapan mesti tepat dan tidak mengelirukan, skema disediakan
semasa soalan dibina serta perlu diperiksa dua kali atau lebih dari seorang
pemeriksa
1.2.4
Kaedah
Lisan
Kaedah lisan iaitu pembelajaran kemahiran mendengar
dan bertutur memerlukan guru menguasai kaedah yang tepat. Kaedah merujuk kepada
prosedur-prosedur mengajar yang wujud berdasarkan pendekatan pengajaran bahasa
yang digunakan oleh guru. Pendekatan pengajaran bahasa yang digunakan adalah
berlandaskan teori linguistik dan psikologi. Oleh itu, sesuatu kaedah yang
digunakan tidak boleh bercanggah daripada pendekatan. Kaedah bersifat prosedur
yang terdiri daripada langkah-langkah dan peringkat-peringkat yang teratur yang
harus dituruti dengan saksama untuk mencapai tujuan tertentu.
Rajah 4: Jenis-Jenis Kaedah Lisan
|
a.
Kaedah Terus
Kaedah ini merujuk kepada pengajaran dan
pembelajaran untuk menguasai bahasa pertama secara natural. Kaedah ini juga
bermaksud belajar secara terus, iaitu menggunakan terus bahasa sasaran tanpa
terjemahan ke dalam bahasa ibunda. Kemahiran mendengar dan bertutur adalah
diutamakan kerana perkataan yang diajarkan adalah perkara yang digunakan
sehari-hari. Berdasarkan kaedah ini, perkataan konkrit contohnya, sudu di
ajarkan dengan menunjukkan objek sudu. Perkataan abstrak contohnya, sayang pula
diterangkan menggunakan perkataan yang diketahui oleh murid-murid. Pengajaran
sesuatu topik baharu pula adalah berdasarkan sesuatu topik lain yang telah
diajarkan tetapi mempunyai kaitan dengan topik baharu tersebut.
Kaedah ini mengutamakan kemahiran bahasa khususnya
kemahiran mendengar dan bertutur dan bukannya pengetahuan tentang bahasa.
Kelebihan penggunaaan kaedah ini ialah, kesalahan yang berpunca daripada
gangguan bahasa ibunda dapat dikurangkan kerana murid-murid telah dibiasakan
dengan cara berfikir dan bertutur secara terus dalam bahasa sasaran.
b. Kaedah
Fonetik
Pengajaran berdasarkan kaedah ini dimulakan dengan
latihan pendengaran kemudian diikuti dengan latihan penyebutan. Latihan
penyebutan tersebut dimulakan dengan penyebutan bunyi, perkataan, frasa dan
ayat-ayat. Ayat-ayat yang dibina berdasarkan kaedah ini kemudiannya digabungkan
menjadi dialog dan cerita. Kaedah ini tidak menggunakan ejaan biasa tetapi
menggunakan simbol-simbol fonetik misalnya [Əma?] untuk perkataan emak. Nahu
atau tatabahasa diajarkan secara induktif, iaitu contoh-contoh penggunaan
tatabahasa itu dikemukakan kepada murid-murid sebelum peraturan dan rumus-rumus
itu diajarkan. Melalui kaedah ini juga murid –murid akan menulis karangan
berdasarkan apa yang didengar atau dibaca.
c.
Kaedah
Eklektik
Kaedah ini mengambil ciri-ciri yang baik daripada
kaedah lain dan menggabungkannya. Kaedah ini turut dikenali sebagai kaedah
aktif kerana gabungan ciri-ciri yang baik daripada pelbagai kaedah lain yang
dimilikinya. Berdasarkan kaedah eklektik, kemahiran-kemahiran bahasa diajarkan
mengikut susunan, iaitu bertutur, menulis, memahami dan membaca. Aspek
tatabahasa diajarkan mengikut situasi, iaitu sama ada secara deduktif ataupun
induktif. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan meliputi latihan
mendengar dan bertutur, bacaan kuat dan bersoal jawab.
d.
Kaedah
Audio –Lingual
Kaedah ini merupakan gabungan dua kemahiran iaitu
kemahiran mendengar (audio) dan kemahiran bertutur (lingual). Kaedah ini
mementingkan penggunaan bahan bantu belajar berupa alat-alat audio seperti
radio, pita rakaman, compact disk (audio) dan piring hitam. Bahan-bahan yang
diperdengarkan kepada murid-murid ialah petikan bunyi haiwan, bunyi sesuatu
suasana misalnya suasana seram, senikata lagu, nyanyian, petikan cerita, sajak,
dan sebagainya. Melalui kaedah ini, murid-murid akan mendengar (contohnya bunyi
sajak daripada pita rakaman). Melalui pengalaman mendengar tersebut,
murid-murid akan berlatih menyebut perkataan, frasa dan ayat yang didengar
termasuk nada dan intonasinya secara latih tubi. Murid-murid seterusnya akan
berlatih mendeklamasikan sajak dengan rakan secara berpasangan atau berkumpulan.
e.
Kaedah
Komunikatif
Kaedah komunikatif mementingkan proses pemerolehan
bahasa kanak-kanak yang melibatkan kognitif dan interaksi bahasa. Kaedah ini
menitikberatkan pengajaran kecekapan bahasa, iaitu tatabahasa dan kecekapan
komunikatif khususnya kemahiran mendengar dan bertutur. Ketika murid-murid
melalui proses pemerolehan bahasa, mereka menguasai makna terlebih dahulu
sebelum dapat menggambarkan makna tersebut dalam struktur ayat tertentu. Proses
menggambarkan makna dalam struktur ayat tertentu tersebut memerlukan guru-guru
melatih murid-murid menguasai kemahiran mendengar dan bertutur melalui aktiviti
bahasa yang bermakna. Sehubungan itu, aktiviti-aktiviti bahasa yang bermakna
dalam kaedah komunikatif ialah penyelesaian masalah, perbincangan, dialog,
sumbang saran, wawancara dan sebagainya.
Teknik pengajaran merupakan taktik atau cara-cara
yang digunakan oleh guru untuk mencapai hasil segera yang maksimum ketika
menyampaikan sesuatu pengajaran. Teknik dicipta dan ditentukan sebelum
pelaksanaan pengajaran. Setiap teknik yang digunakan adalah selaras dengan
kaedah yang digunakan dan sejajar pula dengan pendekatan yang dipegang. Teknik
pengajaran juga boleh dirujuk sebagai alat yang digunakan oleh guru bahasa
untuk menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk
murid-muridnya. Contohnya, teknik soal jawab, teknik main peranan, teknik
lakonan/drama, teknik permainan bahasa, teknik hafazan, teknik latih tubi, teknik
perbincangan dan teknik penyelesaian masalah
1.2.5
Kaedah Pertimbangan
Professional
Kaedah pertimbangan
profesional ialah kaedah pengumpulan maklumat melalui pendapat ahli kumpulan
profesional yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu, apabila orang yang
bertanggungjawab untuk menilai, tidak mempunyai kepakaran tersebut. Kepakaran
yang diperlukan mungkin dalam bidang pendengaran, penglihatan, masalah
pembelajaran, pemulihan bacaan dan sebagainya. Berikut merupakan cirri-ciri
kaedah pertimbangan professional;