MY BELOVED FOLLOWER (^__^)

Monday, March 30

CONTOH CARA PEMGUMPULAN DATA KAJIAN RBT3133 (PROPOSAL)

Menurut Fatimah & Lim (2010), maklumat yang didapati dari satu sumber adalah disahkan dengan merujuk kepada perkara yang sama dari sumber lain. Triangulasi adalah sebahagian daripada pengumpulan data yang bersilang sama ada menggunakan dua atau lebih kaedah pengumpulan data atau punca sumber data (wiersma, 2000). Proses triangulasi boleh dilakukan berasaskan kepada tiga pendekatan iaitu pengalaman, persoalan dan pemeriksaan.
6.2.1 Pemerhatian
Pemerhatian akan dijalankan berdasarkan senarai semak yang menekankan aspek tingkah laku dan sikap murid atau kemahiran menyusun alatan semasa aktiviti amali penghasilan projek Tabung Penggera dijalankan. Topik penghasilan projek tahun 5 mempunyai peruntukan masa sebanyak 16 waktu namun saya hanya menggunakan 5 minggu sahaja iaitu 10 waktu untuk melakukan kajian. Dalam tempoh masa ini, saya akan membuat pemerhatian secara berkala.
6.2.1.1 Senarai Semak
Senarai semak boleh digunakan ketika melakukan pemerhatian dan penelitian dokumen. Senarai semak menyenaraikan item-item untuk menilai kemahiran atau tingkah laku yang diperhatikan. Bagaimanapun, senarai semak yang disediakan adalah bertujuan untuk melihat perbandingan tahap kawalan murid dalam kumpulan yang menggunakan Doraemon Box dengan kumpulan biasa. Rujuk lampiran 1 untuk mengetahui item-item yang dinilai. Untuk menggelakkan bias berlaku terdapat 3 pemerhati yang dilantik pada setiap kali pemerhatian dijalankan.
6.2.2 Kajian Lapangan
Melalui kaedah ini, saya akan merekodkan penggunaan masa yang digunakan oleh murid untuk mengurus alatan semasa aktiviti amali penghasilan projek. Catatan masa ini bertujuan untuk menilai sejauh mana penggunaan Doraemon Box dapat mengurangkan masa untuk mengurus alatan. Bagi mengelakkan bias, saya akan mendapatkan dua orang pembantu luar untuk  mencatat masa. Oleh itu, purata masa akan didapatkan daripada tiga rekod yang dicatatkan bagi memastikan tiada unsur bias.


6.2.2.1 Borang Rekod Catatan Masa
Borang ini mengandungi maklumat mengenai nama kelas, nama kumpulan, masa yang di ambil untuk mengurus alatan pada kelas 1dan 2 serta purata keseluruhan masa yang digunakan untuk mengurus alatan. Rujuk lampiran 2.
6.2.3 Soal Selidik
Kaedah kajian seterusnya ialah pengkaji akan menggunakan kaedah soal selidik. Soal selidik merupakan satu kaedah di mana sesuatu susunan soalan yang tersusun untuk mendapatkan respon daripada responden. Ia merupakan salah satu cara yang paling mudah untuk memperoleh data yang diperlukan oleh pengkaji bagi mengetahui isu-isu yang berkaitan dengan pesoalan kajian yang hendak dijawab. Menurut Chua (2006), soal selidik digunakan kerana jawapan subjek dapat dikumpulkan secara terus dalam jangka masa yang singkat. Saya akan menggunakan borang soal selidik.
Semasa membina borang soal selidik, saya akan mengambil beberapa asas panduan supaya item yang dihasilkan benar-benar menjawab persoalan yang hendak dikaji. Antara perkara yang diberi perhatian adalah soalan yang dibina mestilah releven dengan tujuan kajian, soalan yang dikemukakan perlulah jelas, soalan yang dikemukakan hendaklah mudah dijawab oleh responden, dan soalan yang dikemukakan dapat mengumpul maklumat yang dikehendaki setepat mungkin. Pengkaji telah memilih soal selidik berbentuk likert scale.
6.2.3.1 Borang Soal Selidik

Borang soal selidik mengandungi 10 soalan berkaitan kekerapan kehilangan alatan tangan semasa aktiviti amali projek Tabung Penggera. Guru dikehendaki menjawab soalan dengan memilih skala yang sesuai iaitu 1-5. Rujuk lampiran 3. 

CONTOH KUMPULAN SASARAN KAJIAN RBT3133 (PROPOSAL)

KUMPULAN SASARAN
Kajian ini akan dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Dato’ Ahmad Manaf Nilai, Negeri Sembilan. Sampel kajian terdiri daripada murid-murid tahun 5 Permata dan 2 orang guru yang mengajar subjek Reka Bentuk dan Teknologi. Di dalam memilih responden kajian, saya akan menggunakan kaedah persampelan bertujuan (purposeful sampling). Creswell (2002) serta Bogdan dan Biklen (2003) menyatakan, melalui purposeful sampling, responden yang dipilih merupakan responden terbaik yang dapat memberi sumber maklumat yang maksimum bagi membantu memahami fenomena yang dikaji.
5.1 Murid
Saya akan memilih responden yang terdiri daripada murid kelas 5 Permata. Semua responden terdiri daripada murid berumur 11 tahun. Kajian ini melibatkan seramai 38 orang murid tahun 5 Permata yang terdiri daripada 17 orang murid lelaki dan 21 orang murid perempuan. Responden yang terlibat kebanyakkannya berbangsa Melayu dan ada sedikit berbangsa India. Responden mempunyai latarbelakang ekonomi yang sederhana. Responden dipilih kerana tema yang dipilih iaitu penghasilan projek Tabung Penggera diajar kepada murid kelas ini.
5.2 Guru

Saya telah memilih dua orang guru Reka Bentuk dan Teknologi sebagai pembantu kajian. Rasional guru-guru tersebut dipilih kerana mempunyai pengalaman dalam mengajar subjek Reka Bentuk dan Teknologi ke atas responden dan mereka secara sukarela bersedia menjadi pembantu kajian. 

CONTOH PERSOALAN KAJIAN RBT3133 (PROPOSAL)

PERSOALAN KAJIAN
Berpandukan objektif-objektif kajian yang telah disenaraikan, soalan-soalan kajian dibina untuk memudahkan saya menilai hasil kajian dengan berkesan. Berikut adalah persoalan kajian ini;

1.      Adakah penggunaan Doraemon Box dapat meningkatkan kemahiran menyusun alatan tangan semasa kerja amali penghasilan projek Tabung Penggera dalam kalangan murid 5 Permata?
2.      Adakah penggunaan masa untuk menguruskan alatan tangan semasa kerja amali penghasilan projek Tabung Penggera dalam kalangan murid 5 Permata dapat diminimakan dengan penggunaan Doraemon Box?
3.      Adakah Doraemon Box dapat mengurangkan kadar kehilangan alatan tangan semasa aktiviti amali projek Tabung Penggera dalam kalangan murid 5 Permata?



CONTOH OBJEKTIF KAJIAN RBT3133 (PROPOSAL)

3.0 OBJEKTIF KAJIAN
Objektif kajian dibahagikan kepada dua iaitu objektif umum dan objektif khusus. Objektif umum lebih berbentuk matlamat kepada kajian. Sifat utama objektif khusus adalah boleh diukur. Selepas kajian ini selesai dijalankan, murid-murid diharap akan mencapai objektif berikut;
3.1 Objektif Umum
Menggunakan Doraemon Box dalam memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran guru dalam aktiviti amali penghasilan projek Tabung Penggera bagi mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi murid tahun 5 Permata.
3.2 Objektif Khusus
Objektif kajian ini adalah seperti berikut;
i.                    Meningkatkan kemahiran menyusun alat tangan dalam kalangan murid tahun 5 Permata semasa aktiviti penghasilan projek Tabung Penggera dengan menggunakan Doraemon Box.
ii.                  Menjimatkan penggunaan masa untuk mengurusan alat tangan semasa kerja amali penghasilan projek Tabung Penggera dalam kalangan murid 5 Permata dengan menggunakan Doraemon Box.

iii.                Mengurangkan kadar kehilangan alat tangan semasa aktiviti amali penghasilan projek Tabung Penggera dalam kalangan murid 5 Permata dengan menggunakan Doraemon Box. 

Monday, November 17

KEMAHIRAN BERNILAI TAMBAH (BAHASA MELAYU)

Terdapat tujuh kemahiran bernilai tambah iaitu kemahiran berfikir, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai, konstruktivisme dan kontekstual. Guru perlulah sentiasa menggalakkan keseluruhan perkembangan diri murid dengan menekankan aspek persediaan akademik, nilai-nilai moral, pengurusan emosi, kemahiran sosial, pemikiran yang efektif dan kebolehan menyelesaikan masalah.

1. Kemahiran Berfikir
Kemahiran berfikir hendaklah diserapkan secara terancang  dengan kemahiran mendengar dan bertutur, membaca, dan menulis. Jenis kemahiran berfikir yang sering disebut dalam Bahasa Melayu ialah mencirikan, mengkelaskan, mengumpulkan, mengkategorikan, membanding dan membeza, mengenalpasti sebab dan akibat, meringkas, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. (Idris Mohd Radzi, 2006:3). Jenis kemahiran berfikir yang dinyatakan di atas bertujuan membolehkan kemahiran berfikir tersebut dikuasai murid, alat berfikir seperti penyusunan grafik, soalan serta peta minda perlu digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Di dalam kemahiran berfikir ini, ia diajar kepada murid melalui soalan dan aktiviti yang memerlukan pemikiran kritis dan kreatif. Cara ini boleh dilaksanakan dalam aktiviti mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Tujuan kemahiran ini adalah memastikan supaya murid-murid dapat memahami isi-isi pelajaran yang diajar di samping membantu proses perkembangan kognitif mereka. Contohnya, dalam pengajaran pemahaman, guru boleh meminta anak muridnya supaya membaca dan menjawab soalan pemahaman yang disediakan. Soalan yang diberikan haruslah bertumpu kepada soalan yang memerlukan pandangan dan pendapat murid. Selain itu, penggunaan bahan rangsangan seperti gambar, carta, jadual dan bahan lain juga perlulah bersifat merangsang kemahiran berfikir murid-murid.

2. Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)
Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran mempunyai nilai yang sangat tinggi. Kini, guru-guru telah diberi tugasan untuk mengintegrasikan ICT dalam kurikulum di sekolah.
Dengan perubahan yang dilakukan ini, murid-murid di sekolah dapat menggunakan komputer untuk tujuan komunikasi. Contohnya, murid dapat mengahantar dan menerima e-mail.  Secara tidak langsung, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi ini juga mampu merapatkan jurang komunikasi antara guru dengan murid. Selain daripada itu, murid-murid dapat belajar menggunakan aplikasi perisian komputer dalam menyempurnakan tugasan harian. Proses P&P juga akan menjadi lebih berkesan apabila murid-murid dapat megakses maklumat yang terdapat di dalam internet. Semua aktiviti ini seharusnya berada di bawah pengawasan guru sepenuhnya sebelum murid-murid mampu melaksanakannya sendiri.
  
3. Kemahiran Belajar Cara Belajar
Belajar cara belajar dapat dibangunkan dengan amalan pembelajaran yang baik, khususnya kerana kemahiran ini dapat membina model pengajaran dan pembelajaran yang memfokus secara luaran dan kritikal terhadap proses dan kandungan pembelajaran. Dalam erti kata lain, langkah ini dapat membantu murid-murid untuk lebih mengutamakan pembelajaran. Pemberian peluang yang secukupnya kepada murid-murid dapat membantu mereka mengenal pasti kekuatan, kelemahan dan perkara yang boleh dilakukan oleh mereka dalam pelajaran. Dengan refleksi yang kritikal, murid-murid juga dapat membuat keputusan tentang langkah seterusnya dalam pembelajaran dan mengenal pasti cara untuk memperbaik pembelajaran mereka.
Walaupun tidak ada langkah yang spesifik dalam merangsang kemahiran belajar cara belajar, terdapat beberapa usaha yang boleh dilakukan. Guru seharusnya menekankan peranan dan hubungan antara guru dengan murid dan murid dengan murid. Pihak sekolah pula boleh memberi sokongan yang secukupnya kepada guru-guru dan juga murid-murid dalam menerapkan kemahiran ini. Dengan kata lain, pembelajaran menjadi lebih efektif apabila murid-murid mendalami pembelajaran mereka, hasil penghayatan guru terhadap pengajaran.

4. Kemahiran Kajian Masa Depan
            Kemahiran ini mengamalkan pembelajaran seumur hidup. Selain itu,kemahiran ini juga merupakan satu pendekatan pembelajaran bagi membolehkan murid –murid menyedari sesuatu isu atau permasalahan yang berlaku pada masa lampau, masa kini dan masa hadapan. Contohnya,dalam sesi pengajaran dan pembelajaran subjek sejarah,kemahiran kajian masa hadapan ini dapat dipraktikkan di sekolah.
Tambahan lagi, murid-murid turut dapat membuat ramalan, menjangka akibat serta mengendalikan perubahan melalui kemahiran ini. Secara tidak langsung, manfaat yang maksimum akan diperoleh murid dalam mengendalikan setiap perubahan yang berlaku ke atas diri mereka. Contohnya, dalam mata pelajaran agama dan sains. murid-murid akan mengetahui bagaimana proses kewujudan mereka di atas muka bumi ini serta proses perkembangan dan pertumbuhan yang akan mereka alami apabila meningkat dewasa.
5. Kecerdasan Pelbagai
Gardner (1998) mendefinisikan kecerdasan pelbagai sebagai kebolehan menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kehidupan sebenar, kebolehan menjana masalah baru untuk diselesaikan dan kebolehan membuat sesuatu atau menawarkan perkhidmatan yang bernilai dalam lingkungan sesuatu budaya.

Kecerdasan pelbagai boleh dibahagikan kepada lapan jenis iaitu, yang pertama  verbal –linguistik. Kecerdasan ini menunjukkan kebolehan menggunakan kata-kata secara berkesan dalam aktiviti lisan dan penulisan. Kebolehan mengingat maklumat, menyakinkan orang lain serta bercakap tentang bahasa itu sendiri merupakan antara kategori  kecerdasan verbal linguistik.
Kedua, kecerdasan logik-matematik, iaitu kebolehan menggunakan nombor secara berkesan dan bijak berhujah. Kategori ini termasuklah memahami kelompok nombor asas, prinsip sebab dan akibat serta kebolehan menjangka.
Ketiga, kecerdasan visual ruang, iaitu kebolehan mengesan dan menggambarkan bentuk, ruang, warna dan garisan, termasuklah kebolehan mempersembahkan idea visual dan ruang secara grafik.
Keempat ialah kecerdasan kinestatik, iaitu kebolehan menggunakan badab untuk menyatakan idea , perasaan dan menyelesaikan masalah. Kelima, kecerdasan muzik, iaitu kebolehan mengesan irama dan lagu, mengenal lagu yang mudah serta membezakan atau mengubah rentak dan tempo dalam melodi yang mudah.
Keenam, kecerdasan interpersonal, iaitu kebolehan memahami  perasaan , motivasi , tabiat serta hasrat orang lain. Ketujuh ialah kecerdasan intrapersonal, iaitu kebolehan memahami diri sendiri daripada segi kekuatan , kelemahan, hasrat dan kehendak. Kecerdasan ini dapat membantu individu menangani perasaan , beradap sopan serta mengawal kemarahan atau kesedihan diri.
Kelapan, kecerdasan naturalis, iaitu kebolehan mengenali dan mengaplikasi tumbuh-tumbuhan , galian  dan binatang termasuk rumput dan batu-batan serta pelbagai flora dan fauna. Ia juga merupakan kebolehan untuk mengenali artifak budaya daripada segi pakaian.

6. Pembelajaran Konstruktivisme

Pembelajaran konstruktivisme merupakan satu teknik pembelajaran yang melibatkan pelajar untuk membina pengetahuan dengan menggunakan pengetahuan yang sedia ada dalam dirinya dimana pelajar akan mengaitkan pembelajaran baru dengan pembelajaran lama yang sedia ada.

Perspektif konstruktivisme menitikberatkan pengalaman pendidikan yang boleh membantu pelajar membina ilmu pengetahuan dan bukannya penyiaran pengetahuan dan seterusnya pensyarah akan memainkan peranan mereka sebagai pembimbing atau fasilitator dalam memperkembangkan pengetahuan sedia ada pelajar di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pembelajaran konstruktivisme dalam pendidikan dapat melahirkan murid yang boleh membina pemahaman dan pengetahuan baru mereka sendiri berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada.


7. Pembelajaran Kontekstual

Menurut teori pembelajaran kontekstual, pembelajaran hanya berlaku apabila pelajar memproses maklumat atau ilmu pengetahuan baru dengan cara tertentu sehingga ia membawa maksud atau makna kepada mereka dalam kerangka rujukan mereka sendiri (dunia dalaman bagi memori, pengalaman dan tindak balas mereka sendiri).

Pendekatan pembelajaran dan pengajaran seperti ini mengandaikan minda akan mencari maksud dalam konteks dengan cara semula jadi, iaitu berkait dengan persekitaran semasa seseorang itu. Ini berlaku dengan cara pencarian hubungan yang diterima akal dan kelihatan bermakna. Kaedah kontekstual iaitu kaedah yang dibentuk berasaskan maksud kontekstual itu sendiri, seharusnya mampu membawa pelajar ke matlamat pembelajaran isi dan konsep yang berkenaan atau releven bagi mereka, dan juga memberi makna dalam kehidupan seharian mereka.

Pembelajaran kontekstual juga ialah kaedah pembelajaran yang mengaitkan isi pelajaran dengan pengalaman harian individu,masyarakat, dan alam pekerjaan. Pembelajaran kontekstual disampaikan dalam persekitaran yang pelbagai, secara konkrit yang melibatkan latih amal dan berfikir. Pembelajaran berlaku apabila murid berupaya menghubungkaitkan pengetahuan baru secara bermakna, dan menghayati kerelevanan pembelajaran dengan kehidupan mereka.