Kononnya pada zaman dahulu Pak Pandir tinggal di sebuah desa. Pak pandir sudah tua. Dia sudah puas mengusahakan ladang.
“Apalah gunanya bertani, lebih baik berdagang. Untung lebih banyak, boleh bayar hasil lebih besar kepada sultan ,”kata Pak Pandir seorang diri.
Kata-kata Pak Pandir didengar oleh isterinya. “berdagang? Bagus juga tu. Saya setuju. Berdagang lebih baik kerana lebih senang,” kata Mak Andeh.
“Mulai esok aku nak berdagang garam. Semua orang memerlukan garam,” kata Pak Pandir.
Pada awal pagi mak andeh menyediakan sarapan. Dia juga menyediakan bekalan. Suaminya ingin berjalan jauh.
“Abang nak cari garam tu? Atau nak beli!
“Aku nak ke laut. Tak payah beli. Tuhan sudah beri percuma. Kita hanya berusaha,” kata Pak Pandir.
Seharian berjalan, tibalah pak pandir di tepi pantai. Seminggu lamanya Pak Pandir menghasilkan garam. Dia menakung air laut di beberapa tempat. Pak Pandir terus mengutip ketulan-ketulan garam.
Pada hari ketujuh, Pak Pandir berhenti. Dia mengusung sekarung garam. Sekali lagi dia melalui jalan yang begitu jauh. Tiba di sebatang sungai, Pak Pandir berhenti. Dia meletakkan karung garam di celah banir kayu. Segeralah dia mandi sepuas-puasnya.
Selesai mandi, Pak Pandir makan buah-buahan hutan yang dikutip. Apabila kenyang, matanya terasa mengantuk.
“kalau aku tertidur, garam akan dicuri orang. Lebih baik aku sorok,” kata Pak Pandir seorang diri.
Pak Pandir terpandang sungai. Tanpa berfiikir panjang, Pak Pandir terus mengangkat karung garam dan merendamnya di dalam sungai. Dia pergi kepada pangkal beringin yang rendang.
Apabila terjaga, Pak Pandir mengambil karungnya garamnya. Dia berjalan pantas.
“Aku mesti pulang segera, isteriku sudah lama menunggu,” kata Pak Pandir sendirian.
Tiba di halaman rumah, Pak Pandir melaung.
“Andeh! Andeh! Aku pulang bawa sekarung garam!” kata Pak Pandir.
Mak Andeh menerpa. Pak Pandir terus meletakkan karung di atas pelantar.
“Mana garamnya?” Tanya Mak Andeh.
“Eh! Tadi ada. Di mana pula? Betullah, makin ramai orang di dunia ini yang tak jujur dan suka mencuri. Padahal aku dah sorok di tempat paling selamat, dalam sungai. Tak siapa nampak!” kata Pak Pandir.
Termenung Mak Andeh.
“Memang tak nampak, termasuk abang!” kata Mak Andeh.