Prabacaan
ialah tahap penyediaan murid-murid untuk membaca di mana guru perlulah
menyediakan pengalaman bahasa , iaitu mengenal dan mengecam huruf. Murid perlu
didedahkan dengan aktiviti yang boleh mendorong murid-murid dalam mempertingkatkan
ketajaman penglihatan dan pendengaran. Ia perlu bagi membentuk kelaziman
membaca seperti membaca dari kiri ke kanan dan dari atas ke bawah.
Membaca memerlukan satu
tingkat berfikir yang tinggi dan komunikasi mesej atau makna atau sebutan makna.
Membaca merupakan proses kognitif iaitu berfikir melalui bahan bercetak. Proses
menguasai bacaan melibatkan tahap penguasaan yang berbeza-beza. Pada setiap
aras penguasaan mencerminkan tahap penguasaan pembacaan bagi individu tersebut.
Pada setiap penguasaan bacaan ini terdapat beberapa kaedah yang boleh
diaplikasikan oleh pembaca. Setiap tahap boleh disimpulkan seperti berikut:
3.1 Kaedah Abjad (Tahap prabacaan).
Kaedah ini juga dikenali
sebagai kaedah huruf atau kaedah mengeja dan merupakan kaedah tradisional yang
digunakan oleh guru untuk mengajar bacaan. Murid-murid dikehendaki mengenali
nama, bentuk dan mengecam huruf abjad. Murid diperkenalkan dengan nama semua huruf yang terdapat dalam sistem
ejaan semasa. Mereka perlu menghafal nama semua huruf yang diperkenalkan itu.
Menurut Abdul Aziz Abdul Talib (2000), biasanya, huruf besar diperkenalkan
terlebih dahulu sebelum huruf kecil diajarkan. Menurut Raminah Haji Sabran dan
Rahim Syam (1985) pula, kedua-dua bentuk huruf kecil dan huruf besar didedahkan
serentak. Setelah murid menghafal semua nama huruf, pengajaran difokuskan pula
pada nama dan bunyi huruf vokal a, e, i, o, dan u.
Setelah murid menghafal nama
semua huruf dan mengenal huruf vokal serta bunyinya, pelajaran diteruskan
dengan pembentukan suku kata secara berturutan. Murid dilatih tubi membaca suku
kata itu. Daripada suku kata itu
dibentuk perkataan seperti baba, baca, bola, buku, dada, dan cucu. Latih tubi
mengeja perkataan diadakan.
Lazimnya pengejaan dilakukan
dengan menyebut nama huruf pada sesuatu suku kata diikuti dengan penyebutan
suku kata itu. Misalnya untuk perkataan “buku”, mula-mula disebut nama
huruf bi dan yu diikuti penyebutan bunyi suku
kata “bu”; kemudian disebut nama huruf ke dan yu dikuti
penyebutan bunyi suku kata “ku”, dan akhir disebut perkataan “buku”. Penekanan terhadap nama abjad dan bunyi suku kata sesuai dengan sistem
ejaan bahasa Melayu. Kecuali bentuk digraf seperti konsonan ng dan diftong ai,
umumnya satu huruf dalam bahasa Melayu melambangkan satu bunyi sahaja. Setiap
perkataan pula mesti terdiri daripada sekurang-kurangnya satu suku kata. Suku
kata itu terhasil dengan menggabungkan satu atau lebih daripada satu konsonan
dengan satu vokal atau diftong.
Dengan perkataan lain,
struktur suku kata bahasa Melayu bersifat tetap dan mudah dikenal pasti. Hal
ini memudahkan murid mengingat dan menyebut suku kata. Apabila murid menguasai
suku kata, mereka dapat membentuk perkataan. Seterusnya, murid dapat membentuk
apa-apa sahaja perkataan baharu dengan suku kata itu walaupun mereka tidak
memahami makna perkataan itu. Rumusannya, kaedah ini menyediakan murid asas
yang kukuh untuk membaca.
Kaedah ini mudah dikendalikan
dan tidak memerlukan alat bantu belajar yang banyak. Berbekalkan pengalaman
belajar membaca dengan menggunakan kaedah ini dan dengan menggunakan sumber
yang minimum seperti buku, ditokok dengan kesungguhan dan kesabaran, sesiapa
sahaja dapat mengajarkan bacaan kepada mana-mana kumpulan sasar dengan
menggunakan kaedah ini. Guru sekolah rendah dapat melaksanakan kaedah ini
berpandukan buku dan dengan menggunakan carta abjad, carta suku kata dan kad
perkataan.
3.2 Kaedah Fonik (Tahap bacaan mekanis).
Kaedah ini lebih menekankan
amalan membuat latih tubi tentang penyebutan bunyi huruf, suku kata, frasa,
ayat-ayat dan kurang memberi tumpuan kepada nama huruf. Kanak-kanak dilatih
menyebut huruf secara terasing dan kemudiannya menggabungkan dengan bunyi-bunyi
huruf lain untuk membentuk suku kata dan perkataan. Contoh lambang ‘b’ bukannya
‘bi’ tetapi disebut ‘beh’, ‘a’ disebut ‘ah’ dan begitulah seterusnya.
Kaedah fonik ini sesuai diajar
kepada kanak-kanak kerana bahasa Melayu terdiri daripada suku kata yang hampir
tetap bunyinya. Amalan ini akan membolehkan mereka yang baru belajar membaca
melakukan latihan sebutan perkataan-perkataan baru.
Menurut Sofiah Hamid (1985:
1), selepas murid-murid mempelajari sejumlah perbendaharaan kata, mereka akan
membandingkan unsur-unsur yang sama dalam perkataan-perkataan tersebut, dan
kemudiannya membuat satu kesimpulan umum mengenai bunyi-bunyi yang terdapat
dalam perkataan-perkataan yang telah dipelajari. Contohnya, selepas murid-murid
diajarkan perkataan-perkataan yang dimulakan dengan bunyi yang sama
seperti mana, mama, makan, baju,
bapa, bawa, mereka diajar melihat dan mengenal bahawa
perkataan-perkataan itu bermula dengan huruf dan suku kata yang sama tetapi
memberi makna yang berbeza-beza.
3.3 Kaedah Seluruhan Perkataan (Tahap bacaan dan kefahaman).
Kaedah ini juga dikenali
dengan ‘kaedah perkataan’, ‘kaedah rangkai kata’, dan ‘kaedah ayat’. Kaedah ini
lebih menumpukan kepada menyebut keseluruhan perkataan dengan bantuan gambar
untuk merujuk kepada menyebut keseluruhan perkataan dengan bantuan gambar untuk
merujuk benda yang dipamerkan itu.Kanak-kanak dilatih untuk melakukan dua
kemahiran di dalam satu masa, iaitu menyebutkan keseluruhan perkataan dan
melakukan pengesanan terhadap rangsangan berbentuk gambar.
Berbantukan gambar yang
dilabelkan berhampiran dengan perkataan tersebut, kanak-kanak boleh menyebut
perkataan untuk mewakili maksud yang terdapat di dalam gambar tersebut.
3.4 Kaedah Frasa.
Seperti kaedah perkataan,
kaedah ini pun mementingkan unsur-unsur yang bermakna semasa permulaan
pengajaran membaca. Kaedah ini berasaskan andaian bahawa frasa merupakan unit
yang lebih besar daripada perkataan, dan dengan ini lebih menarik minat
murid-murid daripada perkataan. Frasa-frasa yang bermakna boleh
dibentuk dengan dua atau tiga perkataan yang mudah, contohnya:
i.
Ini meja
ii.
Ini kerusi
iii.
Itu buku
Frasa-frasa ini kemudiannya
dipanjangkan untuk membentuk ayat-ayat mudah, misalnya:
i.
Ini meja saya
ii.
Ini kerusi guru
iii.
Itu buku saya
Semasa mengajar, guru akan memilih
frasa-frasa yang sesuai agar terdapat peningkatan dalam proses pengajaran,
daripada yang senang kepada yang susah. Dengan cara ini juga
perkataan-perkataan yang baru dapat diperkenalkan.
3.5 Kaedah Kalimah (Ayat)
Menurut kaedah ini,
murid-murid terlebih dahulu diperkenalkan kepada kalimat-kalimat atau ayat-ayat
yang pendek dan bermakna. Guru akan menulis dan membaca satu kalimat daripada
pertuturan beberapa kali. Kemudian murid-murid disuruh mengulangi membaca
kalimat tersebut. Sesudah itu perhatian murid-murid ditarik kepada
perkataan-perkataan yang membentuk kalimat itu. Perkataan-perkataan yang
dipelajari kemudian disisipkan ke dalam kalimat-kalimat baru. Selepas itu barulah unsur-unsur suku kata dan huruf dalam perkataan
diperkenalkan. Pengetahuan mengenai unsur-unsur kemudiannya digunakan untuk
membentuk kemampuan mengenal perkataan baru secara tepat dan berdikari.