Latarbelakang
Teori
pembelajaran sosial diperkenalkan oleh Albert Bandura, seorang ahli psikologi
Kanada. Bandura dilahirkan pada 4 Disember 1925 di Mondare Alberta, Kanada.
Bandura merupakan anak bongsu daripada enam orang adik-beradik. Bandura
mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah kecil yang mempunyai hanya dua orang
guru. Setelah menamatkan pelajaran dalam bidang psikologi selama tiga tahun di
Universiti British Columbia, Bandura meneruskan pelajaran ke peringkat Ijazah
Sarjana di Universiti Lowa. Bandura mengikuti program yang mengkaji teori
pembelajaran sosial. Pada tahun 1953, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor
Falsafah dalam bidang psikologi klinikal. Pada tahun 1953, beliau telah mula
berkhidmat sebagai tenaga pengajar di
Universiti Stanford sehingga sekarang.
Teori pembelajaran sosial
Menurut
Albert Bandura, manusia secara semula jadi belajar melalui proses peniruan dan
pemerhatian iaitu dengan cara melihat orang lain melakukan, mendapat ganjaran
daripada perlakuan atau melihat orang menerima hukuman daripada perlakuan. Pada
awalnya, teori ini dikenali sebagai teori pembelajaran sosial. Teori sosial kemudiannya
berkembang sebagai teori kognitif-sosial kerana proses kognitif juga terlibat
dalam teori ini. Teori ini menekankan bahawa secara semula jadi manusia belajar
melalui proses peniruan. Manusia meniru bukan sahaja tingkah laku yang baik
tetapi juga tingkah laku yang tidak diterima masyarakat. Contohnya, kanak-kanak
dan remaja pada hari ini memperaga pelbagai fesyen hasil ikutan penyanyi atau
pelakon kesukaan mereka tanpa memikirkan pandangan masyarakat terhadap frsyen
tersebut. Teori sosial menjelaskan bagaimana proses peniruan ini berlaku.
“Social
Cognitive Theory examines the processes involved as people learn from observing
others and gradually acquire control over their own behaviour’
( Bandura 1986, 1997 )
( Bandura 1986, 1997 )
Teori
sosial juga dikenali sebagai teori pembelajaran peniruan dan pembelajaran
pemerhatian atau modeling. Terdapat
tiga bentuk peniruan iaitu peniruan secara langsung, peniruan sekatan laluan
dan tak sekat laluan serta peniruan elisitasi. Peniruan secara langsung ialah
peniruan yang berlaku secara langsung apabila melihat model melakukan sesuatu.
Contohnya, guru menunjukkan cara menyepak bola, maka pelajar mengikut langkah
menyepak bola tersebut. Manakala peniruan elisitasi pula ialah peniruan yang
melibatkan emosi dan keinginan. Contohnya, apabila melihat manusia melakukan
perniagaan dan berjaya dalam perniagaan tersebut, maka timbul keinginan
individu untuk melibatkan diri dalam perniagaan tersebut. Seterusnnya, peniruan
sekatan laluan dan tak sekatan laluan pula ialah peniruan yang melibatkan
tindakan yang boleh dillakukan dalam semua situasi dan tindakan yang hanya
boleh dilakukan dalam situasi tertentu. Contoh bagi peniruan ini ialah sapaan
tidak formal sesuai digunakan dalam situasi tidak formal. Panggilan sapaan ibu,
kakak, abang atuk dan ayah pula boleh digunakan mengikut kesesuaian.
Terdapat
empat langkah meniru menurut Bandura. Langkah pertama ialah tumpuan perhatian.
Dalam langkah ini, individu hendaklah memerhatikan perlakuan model. Proses
pemerhatian ini boleh berlaku berulang-kali. Pemerhatian juga boleh dilakukan
ke atas beberapa tingkah laku. Contohnya, pelajar memerhati tunjuk cara guru menanam
anak pokok bunga langkah demi langkah. Sambil membuat tunjuk cara, guru
tersebut memberi penerangan. Langkah kedua ialah penyimpanan dalam ingatan.
Semasa memerhati tingkah laku guru, pelajar akan menyimpan dalam ingatan. Hal ini
menyebabkan berlakunya proses mental yang melibatkan proses menyimpan dan merekod.
Seterusnya, langkah ketiga iaitu pengeluaran. Dalam langkah ini, segala
maklumat, tingkah laku atau kemahiran yang disimpan akan dikeluarkan dalam
bentuk perlakuan. Contohnya, setelah guru selesai melakukan tunjuk cara, pelajar
melakukan aktiviti menanam anak pokok bunga secara berkumpulan. Langkah terakhir
ialah motivasi dan pengukuhan. Apabila pelajar berasa seronok, berjaya atau
mendapat peneguhan daripada orang lain, maka tingkah laku akan diulang dan
diperkukuhkan. Aktiviti menanam anak pokok bunga akan menjadi lebih mudah
apabila pelajar mendapat peneguhan daripada guru dan rakan-rakan. Ini
seterusnya akan mendorong pelajar untuk sentiasa bersemangat dalam apa jua
aktiviti yang dijalankan dalam kelas.
Dalam
teori sosial, orang yang ditiru tingkah laku dipanggil model dan tekniknya
ialah modeling. Menurut Ormrod (2008),
model dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu model sebenar dan model
simbolik. Model sebenar juga dikenali sebagai model hidup. Model ini merupakan
tingkah laku orang, haiwan atau objek yang ditiru. Contohnya, guru merupakan
model sebenar apabila dia menunjuk cara menanam anak pokok kepada pelajar.
Model simbolik pula merujuk kepada langkah kerja atau prosedur. Model simbolik
boleh dalam bentuk bahasa atau bentuk visual iaitu gambar, carta alir dan
gambar rajah. Contohnya, resepi memasak. Model simbolik termasuklah watak dalam
cerita, tokoh sejarah serta tingkah laku watak-watak yang ditonton dan didengar
melalui media dan televisyen.
Satu
kajian yang telah dibuat oleh Albert Bandura iaitu uji kaji anak patung Bobo. Kanak-kanak
tadika dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk menonton video. Kumpulan 1
menonton video orang dewasa bertindak kasar dengan memukul, mengetuk dan
menendang Bobo. Perbuatan itu mendapat peneguhan. Kumpulan 2 pula, menonton
video yang sama tetapi tidak mendapat peneguhan. Manakala kanak-kanak kumpulan
3 menonton tindakan orang dewasa yang tidak bertindak ganas. Selepas menonton,
kanak-kanak dimasukkan ke dalam bilik permainan
yang terdapat patung Bobo. Kanak-kanak kumpulan 1 bertindak ganas seperti yang
diperhatikan dalam video. Kanak-kanak kumpulan 2 kurang bertindak ganas tetapi
apabila diberi peneguhan kanak-kanak bertindak sebagimana yang diperhatikan.
Kanak-kanak kumpulan 3 pula tidak menunjukkan sikap ganas terhadap anak patung
Bobo. Kesimpulan bagi kajian ini ialah kanak-kanak meniru tingkah laku yang
diperhatikan, terutama tingkah laku yang mendapat peneguhan.
Secara
keseluruhannya, unsur utama teori pembelajaran sosial ialah pemerhatian dan
peniruan. Tingkah laku model juga boleh dipelajari melalui bahasa, misalan dan
teladan. Dalam teori ini, pelajar meniru sesuatu kemahiran daripada kecekapan
demontrasi guru sebagi model. Ringkasnya, proses pembelajaran sosial meliputi
pemerhatian, peniruan dengan tingkah laku atau gerak balas yang sesuai dan diakhiri
dengan peneguhan yang positif. Oleh itu, guru perlu memastikan pelajar dapat
melihat model dengan jelas dengan menegaskan perlakuan yang hendak ditiru dan
diperkukuhkan. Ulang dan tegaskan langkah yang penting serta beritahu sebab dan
kewajaran langkah tersebut.