MY BELOVED FOLLOWER (^__^)

Tuesday, September 9

PENILAIAN

PENILAIAN
3.1 Definisi
Penilaian merupakan satu proses untuk menghasilkan nilai kuantitatif untuk menentukan peringkat pencapaian dan kedudukan dalam pembelajaran. Penilaian merangkumi aspek pengujian dan pengukuran. Penilaian juga dapat didefinisikan sebagai satu proses/prosedur yang sistematik bagi membuat pertimbangan dalam mentafsir hasil pengukuran, yang bertujuan untuk memberi maklumat tentang pencapaian akademik, kemahiran atau sikap.
Penilaian merupakan satu proses atau aktiviti yang bersistematik bagi memperoleh maklumat yang berguna dalam menentukan sesuatu prestasi.  Dalam kurikulum Bersepadu sekolah Rendah (KBSR) semakan (2003) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (mulai 2011), penilaian merupakan satu proses untuk menguji, mengukur dan membuat pertimbangan tentang kebolehan atau kemahiran dan kefahaman murid berdasarkan objektif pengajaran dan pembelajaran.
Stufflebeam et al. (1971) menyatakan bahawa “accessment is the process of delineating, obtaining and providing useful information for judgements decision alternatives”. Kenyataan beliau bermaksud penilaian adalah satu proses untuk mendapatkan maklumat yang akan digunakan untuk membuat pertimbangan yang seterusnya digunakan dalam membuat keputusan.
Menurut Gay (1985) pula berpendapat bahawa, penilaian ialah satu proses yang dianggap sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai. Penilaian ini membantu guru supaya dapat membuat pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran. Prosedur penilaian mengandungi aspek pengujian, pengukuran, penganalisisan serta merumuskan data yang diperolehi. Penilaian juga boleh dilaksanakan berdasarkan lima prosedur seperti berikut : 
Penilaian dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan aspek penting yang dapat membantu meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di samping dapat mencungkil potensi dan bakat pelajar. Guru perlu menjalankan penilaian secara berterusan untuk membentuk perkembangan pelajar secara menyeluruh dan seimbang. Penilaian secara berterusan boleh dibuat melalui berbagai cara seperti pemerhatian proses dan hasil tugasan pelajar (Yap Yee Khiong, Wan Chwee Seng dan Ismail, 1985)
3.2 Tujuan Penilaian
Penilaian adalah penting sebelum pengajaran dan pembelajaran bermula kerana guru perlu meninjau sejauh manakah pelajar-pelajarnya menguasai pengetahuan dan kemahiran asas kepada tajuk yang hendak diajar. Misalnya, seseorang guru Bahasa Melayu yang akan mengajar pelajar bukan penutur asli bahasa Melayu, perlu mengetahui aspek pengetahuan dan kemahiran manakah yang telah mereka kuasai, seperti tatabahasa, perbendaharaan kata dan sebagainya. Maklumat ini penting untuk guru membuat keputusan dalam menentukan peringkat yang bersesuaian untuk memulakan pengajaran.
Selain itu, guru juga dapat memilih pelajar untuk dikelompokkan dalam sesuatu kumpulan berasaskan tahap penguasaan mereka. Sekiranya penguasaan mereka berbeza, guru perlu menempatkan mereka mengikut tahap penguasaan masing-masing dan seterusnya merancang dan melaksanakan pengajaran mengikut keperluan mereka yang berbeza-beza itu. Dalam keadaan ini, tujuan penilaian ialah untuk memilih dan menempatkan pelajar mengikut penguasaan pengetahuan dan kemahiran mereka.
Selain memulakan sesi pengajaran, tujuan penilaian juga adalah untuk memilih dan menempatkan pelajar mengikut aliran tertentu. Misalnya, keputusan pelajar yang cemerlang dalam mata pelajaran sains memungkinkan ditempatkan dalam aliran sains atau mengikut kecenderungan seseorang murid berkenaan.
Penilaian juga dapat digunakan untuk tujuan bimbingan dan kaunseling kepada pelajar yang memerlukannya. Setiap pelajar sepatutnya mempunyai motivasi untuk belajar dan ia mungkin bersifat intrinsik, iaitu motivasi daripada dalam diri pelajar itu sendiri. Contohnya, mereka yang belajar disebabkan ingin mengetahui sesuatu dengan mendalam, akan memperoleh pencapaian yang baik dan seterusnya akan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Selain motivasi yang bersifat intrinsik ini, terdapat pula motivasi yang bersifat ekstrinsik/luaran, iaitu motivasi daripada luar, seperti dorongan daripada ibu bapa/rakan sebaya atau nasihat daripada guru/guru besar.
Membantu guru mengetahui keupayaan penguasaan pelajar, membantu guru dalam membuat perbandingan antara seseorang pelajar dengan rakan-rakannya atau antara kelas tersebut dengan kelas yang lain, membuat perbandingan pencapaian pelajar dalam subjek tersebut dengan pencapaian dalam subjek lain, menentukan pelajar yang tinggi keupayaannya dan yang amat lemah keupayaannya dan lemah pencapaiannya, membantu guru dalam menentukan pengayaan dan pemulihan bagi pelajar yang berkenaan, membantu guru dalam membuat jangkaan terhadap potensi atau bakat pelajar terhadap pembelajaran, membolehkan guru menilai bahan-bahan dan teknik serta kaedah pengajaran mereka, melalui ujian penilaian yang dilakukan guru dapat berusaha meningkatkan keberkesanan pengajaran mereka dan pelajar berpeluang mengetahui kelemahan dalam sesuatu kemahiran atau bidang dan segera memperbaikinya.
3.2 Bentuk Penilaian
Menurut Tuan Jah Tuan Yusof PhD dan Faridah Nazir PhD (2014) telah menyatakan terdapat tiga jenis ujian dalam penilaian iaitu penilaian mengesan penguasaan, penilaian mengesan kemajuan dan penilaian mengesan pencapaian. Berikut merupakan rajah jenis-jenis penilaian;
Rajah 7 : Jenis-Jenis Penilaian


Penilaian mengesan penguasaan ialah penilaian yang dijalankan ketika guru berada di dalam bilik darjah. Penilaian ini bertujuan untuk mengesan kelemahan penguasaan muriddalam sesuatu kemahiran yang sedang diajarkan, supaya kelemahan tersebut dapat dibetulkan serta merta.
Manakala penilaian mengesan kemajuan pula ialah penilaian yang dilakukan selepas beberapa kemahiran dalam sesuatu topik telah diajarkan. Penilaian ini bertujuan untuk mengesan kemajuan murid tentang kemahiran-kemahiran yang telah dipelajari supaya dapat menentukan siapa yang memerlukan aktiviti pengayaan dan pemulihan.

Penilaian mengesan pencapaian ialah penilaian yang dijalankan selepas guru telah mengajar beberapa topik pelajaran, biasanya dalam tempoh satu penggal. Penilaian ini bertujuan untuk mengesan pencapaian murid dalam beberapa topik pelajaran untuk menentukan kedudukan murid-murid dalam kumpulan masing-masing.

PENGUJIAN

PENGUJIAN
2.1 Definisi
Menurut Tuan Jah Tuan Yusof PhD dan Faridah Nazir PhD (2014) dalam buku mereka Pentaksiran Bahasa Melayu Sekolah Rendah menjelaskan konsep pentaksiran pengujian merupakan satu teknik untuk mendapatkan maklumat tentang perubahan tingkah laku seseorang individu. Ujian terdiri daripada satu set tindak balas atau respons. Ianya satu proses yang sistematik bagi mengukur pencapaian pelajar yang biasanya dibuat secara bertulis. Tujuan pengujian ialah untuk menentukan pencapaian pelajar dalam sesuatu sesi pembelajaran.  Pengujian dapat dianggap sebagai proses penyerahan set soalan yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrumen bersama satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar.


Menurut Cronbach (1970) “Ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan batuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori”. Menurut Robert Mills Gagne, pengujian ialah satu cara yang sistematik untuk mengukur perubahan tingkah laku individu. Pengukuran ini merupakan suatu proses bagi guru untuk menentukan perubahan dan membuat pertimbangan nilai. Melalui pengujian, seseorang guru akan mudah untuk mengetahui tentang pencapaian objek, kaedah mengajar dan keberkesanan sesebuah kurikulum.
Pengujian bertujuan untuk menentukan sejauh mana objektif-objektif bagi sesuatu bidang mata pelajaran yang diajar itu dicapai oleh pelajar-pelajar. Meletakkan pelajar-pelajar di dalam gred-gred tertentu mengikut pencapaiannya. Mengumpul data tentang apa yang pelajar tahu dan apa yang pelajar boleh buat Memantau pembelajaran pelajar Memperbaiki pembelajaran, pngajaran dan keberkesanan program secara berterusan
2.2 Bentuk Pengujian
            Terdapat lima jenis ujian yang digunakan dalam pengujian. Antara jenis ujian tersebut ialah ujian pencapaian, ujian kecerdasan, ujian prestasi, ujian diagnostik serta ujian bakan dan personaliti. Berikut merupakan rajah jenis-jenis ujian;

Rajah 6 : Jenis-Jenis Ujian


Contoh skala bernombor ialah angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100/120 untuk ujian kecerdasan (IQ Test) dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains. Manakala contoh sistem berkategori pula ialah “ekstrovert” atau “introvert” bagi ujian personaliti, atau “rabun warna” bagi ujian penglihatan. Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros 1981, (dipetik dari Raminah, 1991) yang menegaskan bahawa:
“Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contoh perlakuan yang diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperoleh daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan”.(Raminah 1991:2).
Hasil daripada pemarkahan jawapan pelajar, satu ukuran yang disebut sebagai “markah” akan diberikan kepada pelajar tersebut. Pengujian menjelaskan tahap berapa baiknya prestasi pelajar yang diuji.
2.2.1 Ujian Pencapaian
Penilaian yang dijalankan pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran dapat memberikan maklumat tentang tahap penguasaan para pelajar terhadap pengetahuan, kemahiran dan sikap yang ingin disampaikan guru. Selain itu, penilaian yang dijalankan pada akhir tempoh pengajian; misalnya pada akhir Tahun 6 (UPSR), Tingkatan 3 (PMR) dan Tingkatan 5 (SPM); adalah bertujuan untuk menentukan gred pencapaian para pelajar secara keseluruhan. Penilaian pada peringkat ini lebih bercorak formal dengan tujuan akhirnya untuk memberi sijil kepada pelajar. Hasil penilaian ini akan menunjukkan pencapaian akademik pelajar mengikut gred yang diberikan, seperti cemerlang, sederhana atau gagal. Pihak sekolah akan dapat menentukan keupayaan keseluruhan seseorang pelajar berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan dalam peperiksaan yang diduduki untuk tindakan selanjutnya, seperti pemilihan dan penempatan.



2.2.2 Ujian Kecerdasan
Ujian kecerdasan dikenali sebagai ujian mental untuk mengukur perbezaan di antara individu. Ujian ini banyak mengalami perubahan serentak dengan perkembangan bidang psikologi. Ujian ini dimulakan sejak tahun 1796 dan mula berkembang sejak Galton (1969) apabila beliau cuba mengukur ketajaman deria, gambaran mental serta pencapaian intelektual di antara pelajar genius. Tokoh-tokoh lain yang terlibat dalam mengukur aspek mental termasuklah Wundt, Cattell dan Binet (Abu Bakar, 1986).  Selain itu, ujian kecerdasan kanak-kanak terawal ialah skala Binet-Simon, Ujian ini kerap kali digunakan untuk membuat telahan pencapaian di sekolah atau institusi pendidikan tinggi. Contoh ujian kecerdasan lain seperti Ujian IQ, Skala Stanford-Binet, Weschler, Ujian Lorge-Thorndike dan lain-lain.
2.2.3 Ujian Prestasi
Umumnya, ujian prestasi adalah rumit. Namun, guru bebas menggunakan apa sahaja kaedah seperti pemerhatian atau laporan kendiri untuk mendapatkan maklumat pelajar. Pemerhatian boleh dijalankan semasa murid melaksanakan tugas yang diberikan, misalnya perbincangan kumpulan, peranan murid dalam aktiviti. Manakala melalui laporan kendiri, pelajar sendiri menilai diri sendiri melalui soal selidik tertentu yang menilai peribadi diri.
2.2.4 Ujian Diagnostik
Penilaian yang dijalankan oleh guru dalam bilik darjah akan dapat memberikan maklum balas kepada guru tentang tahap penguasaan pelajar terhadap pengetahuan dan kemahiran yang telah diajar. Selain itu, penilaian ini juga dapat memberi maklum balas tentang masalah yang dihadapi pelajar dalam pembelajaran. Dengan itu, guru dapat mengenal pasti kemajuan seseorang pelajar, sama ada pada tahap yang sangat memuaskan, memuaskan, sederhana,lemah atau tidak ada sebarang kemajuan langsung. Daripada penilaian yang dijalankan juga, guru dapat mengenal pasti pelajar yang cergas, yang memerlukan aktiviti pengayaan dan pelajar yang lemah yang memerlukan aktiviti pemulihan. Guru juga perlu membuat keputusan sama ada untuk mengubah strategi pengajaran, supaya pengajaran dan pembelajaran bersesuaian dengan keperluan pelajar. 
Penilaian yang dijalankan sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran akan memperlihatkan kemajuan pelajar dalam jangka masa tertentu. Pengesanan kemajuan pelajar secara berterusan ini akan memberi maklum balas kepada guru tentang masalah yang dihadapi pelajar.  Sekiranya pelajar menghadapi masalah dalam pembelajaran, guru akan menyelidik punca masalah tersebut. Maklumat berkenaan akan digunakan oleh guru untuk mengubah pendekatan pengajaran atau menyediakan latihan yang khusus supaya masalah yang dihadapi pelajar dapat diatasi. Tanpa bantuan khas ini, pelajar-pelajar akan terus menghadapi masalah dan akibatnya mereka akan terus ketinggalan dalam pembelajaran
2.2.5     Ujian Bakat
Ujian Bakat dikaitkan dengan aktiviti membuat telahan ke atas calon. Dahulu, bakat dikenali sebagai kebolehan istimewa semula jadi yang dimiliki oleh seseorang individu. Pada umumnya, ujian bakat dapat dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu ujian bakat yang berasaskan kajian secara besar-besaran. Contoh : Tahun 1930, kajian yang dijalankan oleh Universiti Minnesota tentang bakat mekanikal. Manakala ujian kedua ialah ujian bakat yang berasaskan kepada tujuan sesuatu ujian itu dijalankan bagi keperluan tertentu. Ujian ini juga digunakan bagi tujuan mengelompokkan individu dalam kumpulan tertentu mengikut kebolehan calon atau individu.
Terdapat tiga proses dalam pengujian iaitu Persediaan Ujian, Pentadbiran dan Pemeriksaan. Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan/ pentadbiran ujian dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui pengujian inilah seseorang guru mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai pengetahuan, kemahiran atau sikap yang ingin disampaikan guru. 
Kesimpulannya, pengesanan hasil pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat melalui pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat, yang dilaksanakan oleh guru dalam bilik darjah. Justeru, kecekapan guru membangunkan alat pengujian amat penting, malah sama pentingnya dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.


PENTAKSIRAN

PENTAKSIRAN
1.1 Definisi Pentaksiran
Menurut Tuan Jah Tuan Yusof PhD dan Faridah Nazir PhD (2014) dalam buku mereka Pentaksiran Bahasa Melayu Sekolah Rendah menjelaskan konsep pentaksiran ialah satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya melakukan penghakiman tentang sesuatu produk pendididkan. Maklumat tersebut meliputi hal-hal berkaitan topik, bukti dan prestasi. Penghakiman pula melibatkan hal-hal seperti pertimbangan dan pencapaian aspek pendidkan manakala produk melibatkan pengetahuan, kemahiran dan nilai. Tambahan pula, proses pendidikan meliputi operasi, dapatan dan hasil.
Menurut Shamsina Shamsuddin (2013) dalam bukunya Penggubalan Item Soalan juga menyatakan pentaksiran ialah proses mengenal pasti, mengumpul dan mengintepretasi maklumat mengenai pembelajaran murid. Maklumat yang diperoleh seterusnya dikaitkan dengan objektif atau matlamat pembelajaran yang telah dikenal pasti. Matlamat utama pentaksiran adalah untuk menyediakan maklumat mengenai pencapaian dan kemajuan murid serta menetapkan tunjuk arah pengajaran dan pembelajaran.
Pentaksiran merupakan satu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menginterpretasi maklumat tentang pembelajaran seseorang pelajar bagi sesuatu tujuan (LPM, 2000). Pentaksiran juga merupakan satu proses untuk mendapatkan gambaran tentang prestasi pembelajaran seseorang pelajar dalam sesuatu subjek atau aktiviti pembelajaran. Aktiviti pentaksiran dijalankan secara berterusan.
Antara tujuan pentaksiran ialah untuk mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran, menilai aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran, mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan pembelajaran memperbaiki pengajaran-pembelajaran. Di samping itu, pentaksiran juga bertujuan untuk memudahkan guru merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan sistematik bersesuaian dengan tahap keupayaan murid dengan melibatkan semua atau sebahagian besar murid dalam kelas secara efektif, merancang dan melaksanakan aktiviti tindak susul yang berkesan serta memperbaiki pengajaran dan pembelajaran.

1.2 Bentuk Pentaksiran
Untuk memperoleh maklumat dan melakukan penghakiman tentang pendidikan, para-para pendidik perlu melakukan pengukuran, dan pengukuran yang dilakukan memerlukan para-para pendidik menggunakan kaedah-kaedah pentaksiran tertentu. Maka, dapat dilihat terdapat lima kaedah yang sesuai digunakan ketika melakukan pentaksiran seperti dalam rajah di bawah:
Rajah 3 : Kaedah Pentaksiran

           

1.2.1 Kaedah Portfolio
Portfolio pada umumnya merupakan folder atau fail yang mengandungi bahan-bahan yang dikumpulkan untuk sesuatu tempoh bagi menggambarkan atau menjelaskan perkembangan kognitif pelajar tentang sesuatu tugasan yang pernah diarahkan. Portfolio merupakan satu kaedah yang digunakan untuk mengumpul dan merekodkan bukti pencapaian pelajar dalam satu jangka masa yang dipersetujui. Setiap maklumat perlu disediakan dan dikumpulkan dalam satu folder sebagai bukti.

Portfolio juga terdiri daripada bahan-bahan yang menunjukkan kemajuan pelajar terhadap pencapaian matlamat pembelajaran untuk satu jangka masa (Ryan & Kuhs, 1993). Juga, merupakan satu sistem pelbagai dimensi yang memberi gambaran lengkap tentang kebolehan dan perkembangan pelajar (Harlin, 1992). Kesimpulannya, portfolio merupakan satu bentuk sejarah pembelajaran pelajar yang didokumentasi dan diperkukuhkan dengan bukti-bukti hasil kerjanya dan kesedaran baru melalui penulisan reflektif ( Shulman, 1992).
Melalui kaedah pentaksiran portfolio, guru dapat memperkasa pelajar dengan mengalakkan amalan menilai iaitu mengkritik dan memberi maklum balas kepada sesuatu perkara. Kaedah ini juga dapat menggalakkan pelajar memberi tumpuan kepada kekuatan diri, memberi ruang kepada pelajar untuk meningkatkan bidang-bidang kemahiran dan perkembangan diri, menggabungkan semua aspek pembelajaran dengan melihat pelajar sebagai lengkap-melengkapi dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual, menawarkan kepelbagaian, memberi galakan kepada pelajar untuk mengambil bahagian secara aktif dalam menilai diri serta memberi pendekatan baru bagi menilai kemajuan pelajar.

1.2.2     Kaedah Pemerhatian
Kaedah yang sangat mudah iaitu pemerhatian terhadap perlakuan dan tindak balas responden tanpa terlibat secara langsung untuk merancang tindak balas. Kaedah in tidak memerlukan sebarang instrumen. Pemerhatian boleh dilakukan dengan menggunakan mata kasar dan tidak memerlukan kos yang tinggi untuk dijalankan. Kaedah pemerhatian merupakan satu kaedah penyelidikan yang digunakan untuk mengukur pemboleh ubah penyelidikan.
Pemerhatian juga merupakan alternatif yang ada dalam mengumpul maklumat atau pengumpulan data selain soal selidik dan temuduga. Melalui pemerhatian, penyelidik dapat mengamati sesuatu tingkah laku subjek berpandukan pemboleh ubah-pemboleh ubah yang telah dikenal pasti. Peranan penyelidik ialah sebagai pemerhati terhadap perubahan-perubahan tingkah laku, mendengar, serta melihat tingkah laku subjek sama ada dari jauh atau dari dekat.


Menggunakan kaedah ini, penyelidik atau pemerhati perlu rnemerhati sampel-sampelnya dalam tempoh masa yang tententu. Kaedah pemerhatian ini banyak digunakan dalam bidang sains tulen yang menjalankan kajian dalam makmal sains dan bidang sains sosial. Biasanya ciri-ciri yang ingin diperhati adalah sangat halus dan terperinci dan ini menjadikan keputusan yang dibuat lebih tepat.
Kaedah pemerhatian sesuai digunakan khususnya apabila penyelidik mengkaji perkembangan tingkah laku sesuatu unit sosial, misalnya mengkaji perkembangan tingkah laku kanak-kanak, kesan kesesakan terhadap kecenderungan pemberontakan, kesan kebisingan terhadap tingkah laku agresif dan kebimbangan di kalangan individu yang menghadiri temuduga.
Sebelum membuat pemerhatian, penyelidik perlu membuat perancangan yang baik dan teliti. Setiap pemerhatian mestilah mempunyai tujuan tertentu, dilakukan secara sistematik, mempunyai fokus, dan mestilah dicatatkan secara rapi dan betul. Catatan yang dibuat mestilah tepat, sah, dan boleh dipercayai.
Menurut Kerlinger (1973), terdapat beberapa kategori pe­merhatian iaitu kategori tingkah laku, unit tingkah laku, paras tafsiran pemerhati, generalisasi dan penggunaan serta pensampelan tingkah laku. Kategori-kategori tersebut memperincikan ciri-ciri tingkah laku yang perlu diperhati dan direkodkan.
Tingkah laku saling berkaitan antara satu sama lain. Tingkah laku yang berkait dan berlaku berterusan ini perlu dikategorikan ke dalam golongan yang eksklusif. Dengan kata lain, semua kemungkinan tingkah laku yang berlaku seharusnya upaya dikenal pasti dan tidak bertindan antara satu sama lain. Sistem pengkodan kategori tingkah laku oleh Flanders (1974) adalah satu contoh kaedah merekod maklumat yang melalui kaedah ini proses merekod maklumat dapat dilakukan dengan mudah dan te­pat.
Semakin kecil unit tingkah laku digunakan untuk merekod pemerhatian, semakin senang tingkah laku tersebut diperhati dan direkodkan. Penggunaan unit tingkah laku yang kecil akan meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan pemerhatian. Selain itu, paras tafsiran pemerhati juga akan mempengaruhi ketepatan maklumat mengenai tingkah laku yang diperhatikan. Kesukaran mengadakan piawaian dalam paras tafsiran pemerhati sering menjejaskan ketepatan dan kesempurnaan data yang diperoleh.

Perhatian khusus perlu diberikan dalam membuat generalisasi sesuatu tingkah laku kerana sesetengah tingkah laku bersifat khusus untuk penyelidikan tertentu sahaja, sementara sesetengah yang lain boleh digunakan dalam pelbagai penyelidikan. Selain isu mengenai generalisasi ini, isu yang lain ialah pensampelan tingkah laku. Umumnya tingkah laku yang kompleks terjadi secara berterusan dan agak mustahil penyelidik dapat memerhati tingkah laku tersebut secara berterusan.
Bagi mengatasi masalah ini, penyelidik mestilah membuat pensampelan sama ada pensampelan tingkah laku atau pun pensampelan masa. Persampelan tingkah laku merujuk kepada jenis kejadian yang hendak dijadikan sampel, sementara pensampelan masa pula merujuk kepada perwakilan masa yang dapat mewakili masa berlakunya tingkah laku yang diperhati

1.2.3 Kaedah Penulisan
Pentaksiran kaedah penulisan terbahagi kepada dua iaitu objektif dan subjektif. Soalan objektif bentuk mudah memerlukan murid menberi jawapan pendek, betul salah atau padanan serta soalan aneka pilihan dan penafsiran. Berbanding soalan subjktif lebih sukar dibina, kurang darjah kebolehpercayaan di mana kebolehpercayaan dan kesahan boleh dipersoalkan dalam kualiti jawapan dan bagaimana soalan diperiksa. Selain itu, draf jawapan mesti tepat dan tidak mengelirukan, skema disediakan semasa soalan dibina serta perlu diperiksa dua kali atau lebih dari seorang pemeriksa

1.2.4     Kaedah Lisan
Kaedah lisan iaitu pembelajaran kemahiran mendengar dan bertutur memerlukan guru menguasai kaedah yang tepat. Kaedah merujuk kepada prosedur-prosedur mengajar yang wujud berdasarkan pendekatan pengajaran bahasa yang digunakan oleh guru. Pendekatan pengajaran bahasa yang digunakan adalah berlandaskan teori linguistik dan psikologi. Oleh itu, sesuatu kaedah yang digunakan tidak boleh bercanggah daripada pendekatan. Kaedah bersifat prosedur yang terdiri daripada langkah-langkah dan peringkat-peringkat yang teratur yang harus dituruti dengan saksama untuk mencapai tujuan tertentu.
Rajah 4: Jenis-Jenis Kaedah Lisan

a.    Kaedah Terus

Kaedah ini merujuk kepada pengajaran dan pembelajaran untuk menguasai bahasa pertama secara natural. Kaedah ini juga bermaksud belajar secara terus, iaitu menggunakan terus bahasa sasaran tanpa terjemahan ke dalam bahasa ibunda. Kemahiran mendengar dan bertutur adalah diutamakan kerana perkataan yang diajarkan adalah perkara yang digunakan sehari-hari. Berdasarkan kaedah ini, perkataan konkrit contohnya, sudu di ajarkan dengan menunjukkan objek sudu. Perkataan abstrak contohnya, sayang pula diterangkan menggunakan perkataan yang diketahui oleh murid-murid. Pengajaran sesuatu topik baharu pula adalah berdasarkan sesuatu topik lain yang telah diajarkan tetapi mempunyai kaitan dengan topik baharu tersebut.
Kaedah ini mengutamakan kemahiran bahasa khususnya kemahiran mendengar dan bertutur dan bukannya pengetahuan tentang bahasa. Kelebihan penggunaaan kaedah ini ialah, kesalahan yang berpunca daripada gangguan bahasa ibunda dapat dikurangkan kerana murid-murid telah dibiasakan dengan cara berfikir dan bertutur secara terus dalam bahasa sasaran.




b. Kaedah Fonetik
Pengajaran berdasarkan kaedah ini dimulakan dengan latihan pendengaran kemudian diikuti dengan latihan penyebutan. Latihan penyebutan tersebut dimulakan dengan penyebutan bunyi, perkataan, frasa dan ayat-ayat. Ayat-ayat yang dibina berdasarkan kaedah ini kemudiannya digabungkan menjadi dialog dan cerita. Kaedah ini tidak menggunakan ejaan biasa tetapi menggunakan simbol-simbol fonetik misalnya [Əma?] untuk perkataan emak. Nahu atau tatabahasa diajarkan secara induktif, iaitu contoh-contoh penggunaan tatabahasa itu dikemukakan kepada murid-murid sebelum peraturan dan rumus-rumus itu diajarkan. Melalui kaedah ini juga murid –murid akan menulis karangan berdasarkan apa yang didengar atau dibaca.

c.    Kaedah Eklektik
Kaedah ini mengambil ciri-ciri yang baik daripada kaedah lain dan menggabungkannya. Kaedah ini turut dikenali sebagai kaedah aktif kerana gabungan ciri-ciri yang baik daripada pelbagai kaedah lain yang dimilikinya. Berdasarkan kaedah eklektik, kemahiran-kemahiran bahasa diajarkan mengikut susunan, iaitu bertutur, menulis, memahami dan membaca. Aspek tatabahasa diajarkan mengikut situasi, iaitu sama ada secara deduktif ataupun induktif. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan meliputi latihan mendengar dan bertutur, bacaan kuat dan bersoal jawab.

d.    Kaedah Audio –Lingual
Kaedah ini merupakan gabungan dua kemahiran iaitu kemahiran mendengar (audio) dan kemahiran bertutur (lingual). Kaedah ini mementingkan penggunaan bahan bantu belajar berupa alat-alat audio seperti radio, pita rakaman, compact disk (audio) dan piring hitam. Bahan-bahan yang diperdengarkan kepada murid-murid ialah petikan bunyi haiwan, bunyi sesuatu suasana misalnya suasana seram, senikata lagu, nyanyian, petikan cerita, sajak, dan sebagainya. Melalui kaedah ini, murid-murid akan mendengar (contohnya bunyi sajak daripada pita rakaman). Melalui pengalaman mendengar tersebut, murid-murid akan berlatih menyebut perkataan, frasa dan ayat yang didengar termasuk nada dan intonasinya secara latih tubi. Murid-murid seterusnya akan berlatih mendeklamasikan sajak dengan rakan secara berpasangan atau berkumpulan.
e.    Kaedah Komunikatif
Kaedah komunikatif mementingkan proses pemerolehan bahasa kanak-kanak yang melibatkan kognitif dan interaksi bahasa. Kaedah ini menitikberatkan pengajaran kecekapan bahasa, iaitu tatabahasa dan kecekapan komunikatif khususnya kemahiran mendengar dan bertutur. Ketika murid-murid melalui proses pemerolehan bahasa, mereka menguasai makna terlebih dahulu sebelum dapat menggambarkan makna tersebut dalam struktur ayat tertentu. Proses menggambarkan makna dalam struktur ayat tertentu tersebut memerlukan guru-guru melatih murid-murid menguasai kemahiran mendengar dan bertutur melalui aktiviti bahasa yang bermakna. Sehubungan itu, aktiviti-aktiviti bahasa yang bermakna dalam kaedah komunikatif ialah penyelesaian masalah, perbincangan, dialog, sumbang saran, wawancara dan sebagainya.
Teknik pengajaran merupakan taktik atau cara-cara yang digunakan oleh guru untuk mencapai hasil segera yang maksimum ketika menyampaikan  sesuatu pengajaran. Teknik dicipta dan ditentukan sebelum pelaksanaan pengajaran. Setiap teknik yang digunakan adalah selaras dengan kaedah yang digunakan dan sejajar pula dengan pendekatan yang dipegang. Teknik pengajaran juga boleh dirujuk sebagai alat yang digunakan oleh guru bahasa untuk menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk murid-muridnya. Contohnya, teknik soal jawab, teknik main peranan, teknik lakonan/drama, teknik permainan bahasa, teknik hafazan, teknik latih tubi, teknik perbincangan dan teknik penyelesaian masalah

1.2.5     Kaedah Pertimbangan Professional


Kaedah pertimbangan profesional ialah kaedah pengumpulan maklumat melalui pendapat ahli kumpulan profesional yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu, apabila orang yang bertanggungjawab untuk menilai, tidak mempunyai kepakaran tersebut. Kepakaran yang diperlukan mungkin dalam bidang pendengaran, penglihatan, masalah pembelajaran, pemulihan bacaan dan sebagainya. Berikut merupakan cirri-ciri kaedah pertimbangan professional;